
ALOR SETAR: Malaysia kita tidak seharusnya terjerumus ke dalam mana-mana pakatan yang tidak memberikan keuntungan kepada negara di mana sebarang bentuk rundingan haruslah memastikan kestabilan rantau ini sentiasa terjamin.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pergelutan tuntutan Malaysia dan beberapa negara ASEAN terhadap sebahagian wilayah Laut China Selatan perlu diberikan perhatian serius.
“Pendekatan ‘hedging’ negara-negara ASEAN serta prinsip The ASEAN Way memerlukan kepada kebijaksanaan negara-negara anggota bagi mengekalkan penyelesaian secara aman di rantau Asia Tenggara.
“Rantau Asia Pasifik sentiasa berhadapan tumpuan kuasa-kuasa besar sejajar dengan kedudukan geografi perairannya iaitu Selat Melaka yang menjadi tumpuan laluan perdagangan global,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Tegasnya, soal kedaulatan negara perlu sentiasa diberikan keutamaan yang serius di mana tragedi kehilangan Batu Puteh selepas penghakiman daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 tidak harus berulang.
Bidas beliau, langkah Kerajaan Malaysia tidak meneruskan rayuan pada tahun 2018 adalah amat malang sekali, namun Penubuhan jawatankuasa berdasarkan undang-undang ‘Tort of Misfeasance’ perlu dipantau.
Ia menurut Ahmad Fadhli supaya kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan rayuan pada tahun 2018) dapat diteliti syor-syor terbaharu yang dikemukakan, kerana konflik sebegini memerlukan kepada suatu garisan sempadan maritim yang jelas.
“Isu ini perlu sentiasa berada dalam radar Kementerian Luar bagi memastikan kedaulatan di perairan negara sentiasa terjamin. (Begitu juga) Isu kemasukkan 1.2 juta warganegara China ke Malaysia sebagai pelancong, tetapi tidak pulang juga perlu diberikan perhatian serius.
“Perkara ini telah menimbulkan keresahan di pelbagai peringkat dan telah berlanjutan tahun tahun 2018. Pemuda PAS ingin mencadangkan agar pihak kerajaan menjalinkan kerjasama dengan pihak Kerajaan China.
“(Ini) dalam usaha mengekang kemasukan warga mereka yang memang berniat untuk menyalah gunakan visa pelancong. Kerajaan juga boleh melaksanakan program-program pengukuhan komuniti bagi memperkasa komuniti tempatan di bandar-bandar utama.
“Komuniti tempatan adalah akar umbi yang paling ampuh dalam usaha mengesan pelancong yang tidak diundang,” ujarnya memberitahu Dewan Pemuda PAS Malaysia tetap mengambil berat tentang apa yang berlaku di luar negara.
Hal ini kerana katanya, PAS bukanlah hanya sebagai parti politik semata-mata, namun, sebuah gerakan Islam yang mengambil cakna terhadap saudara-saudara se-Islam di seluruh dunia.
Melalui Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa maklum beliau, pihaknya telah mengadakan Program Minggu al-Quds Sedunia yang dianjurkan oleh Aid4Palestine dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta.
Juga katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan rakyat dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang diketuai oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Pemuda PAS beritahunya, turut terlibat secara serius dalam siri persidangan antarabangsa yang berfokuskan kepada perbincangan nasib umat Islam di rantau Asia Tengah.
“Antaranya, Muktamar Antarabangsa Uighur yang berlangsung di Turkiye turut dihadiri oleh wakil-wakil pimpinan Umat Islam dari lebih 40 buah negara. Kita juga turut terlibat dalam siri-siri forum yang khusus membincangkan nasib umat Islam di Kashmir.
“(Selain) menjalinkan beberapa hubungan strategik dengan sayap-sayap pemuda parti yang berteraskan Islam di Nusantara dalam mendepani isu-isu umat Islam di sana,” ujarnya.
Isu umat Islam di Palestin menurutnya, tidak pernah padam dalam ingatan umat di mana pelbagai rangka kerja program, diskusi, wacana sentiasa dianjurkan bagi memperingati dan menyemarakkan semangat juang Palestin dalam masyarakat di negara ini.
Bantuan kemanusiaan turut digerakkan bagi membantu perjuangan dan kebajikan rakyat di Palestin di mana semua aktiviti tersebut antara contoh, bagi menunjukkan Pemuda PAS sentiasa bersolidariti dan mengambil berat terhadap situasi semasa umat Islam di peringkat global. – HARAKAHDAILY 1/9/2022




















