
WAHAI pemimpin,
Bertam yang pesat membangun adalah hasil air tangan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan kami amat berterima kasih atas jasa beliau.
Pak Lah mengharapkan Bertam menjadi Bandar Kediaman (Melayu) yang wujud bersama Hab Pendidikan dan Taman Perindustrian (Teknologi Tinggi).
Namun konteks semasa Bertam perlu difahami iaitu:
1. Kawasan kediaman yang sangat padat dengan perumahan selesa, selamat dan mampu milik buat orang Melayu seperti hari ini telah wujud jauh lebih awal.
2. Hub pendidikan dengan pelbagai institusi pendidikan juga telah menempatkan anak-anak pelajar dan mahasiswa menjadi sebahagian daripada warga Bertam.
3. Cadangan pembinaan perindustrian di Bertam adalah fasa terakhir bagi memenuhi impian Pak Lah sejak sekian lama.
Wahai pemimpin,
Sejak isu Penang Technology Park (PTP) menjengah di Bertam, penduduk di sini hanya tertumpu kepada satu soalan besar; Adakah PTP ini sama seperti impian Pak Lah?
Isu asrama pekerja warga asing (CLQ) dalam projek PTP menggegarkan Kepala Batas kerana CLQ itu bukan seperti yang Pak Lah harapkan.
Kami selaku penduduk Bertam telah sepakat bangun membantah PTP-CLQ sejak awal. Alhamdulillah, akhirnya CLQ dibatalkan buat masa ini.
Namun, berdasarkan kenyataan rasmi kerajaan negeri, CLQ ini sebenarnya hanyalah telah ‘dilepaskan tapi tidak dibebaskan.’
Wahai pemimpin,
Penduduk Bertam yang membantah PTP diwakili oleh Jawatankuasa Bertindak yang terdiri daripada 12 surau dan 8 persatuan penduduk serta Gabungan Komuniti Bertam Putra yang dianggotai oleh 9 persatuan penduduk dan KRT.
Kami bukan T20, bukan M40, bukan B40 tapi kami ialah penduduk Bertam yang mempunyai pelbagai latar belakang ekonomi, pendidikan namun sangat bersepakat.
Ramai menyangka kami hanya membantah CLQ sahaja, tetapi tidak membantah industri. Sebenarnya, kami lebih risau dengan kehadiran industri di PTP Bertam berbanding CLQ.
Jika industri di PTP tiada, maka CLQ pasti tak akan wujud sama sekali selamanya. Namun, apabila PTP akan dibangunkan dengan pelbagai jenis industri, maka isu CLQ akan kembali timbul satu hari nanti.
Selain itu, PTP ini terlalu hampir dengan kawasan kediaman iaitu jarak sekitar 50-100 meter sahaja. Laporan EIA PTP yang disemak secara jelas menunjukkan kepincangan antara penyataan keperluan (statement of needs) dan perincian projek (project description).
Ertinya, PTP ini bukanlah taman perindustrian berteknologi tinggi yang berteraskan 4IR dan teknologi, tapi hanyalah plot-plot kecil untuk mengisi ‘light and medium industries’ (SMIs).
SMIs ini sangat berpotensi untuk mencemarkan alam sekitar seperti yang telah berlaku di banyak tempat lain atas alasan ‘insufficient capital to comply or maintain to the related industrial or environmental standards or measures.’
Kami khuatir peristiwa pencemaran seperti Sungai Kim-kim di Johor pada tahun 2019 akan berulang di Bertam pada masa hadapan.
Jelas sekali bahawa PTP ini bukanlah kawasan perindustrian seperti yang diharapkan oleh Pak Lah.
Cadangan PTP di Bertam sangat berbeza dengan konsep perindustrian hi-tech seperti industri automotif skala besar dan syarikat atau industri (vendor) auto-part kenderaan seperti impian Pak Lah.
Wahai pemimpin,
Kini muncul kumpulan yang menyokong PTP atas alasan mereka perlukan peluang pekerjaan di Kepala Batas.
Tidakkah mereka sedar peluang pekerjaan di Bertam masih sangat banyak? (Mydin, Lotus, Sunshine dan lain-lain masih membuka iklan pekerjaan yang belum diisi).
Berdasar tiga kali sidang media, amat jelas bahawa penyokong PTP ialah orang di luar Kepala Batas dan bukan penduduk Bertam.
Maka suara penyokong PTP tersebut tidak sah dan tidak perlu didengari seperti yang disyaratkan dalam kajian impak alam sekitar (EIA) dan kajian sosial impak (SIA).
Kami tahu bahawa mereka tersebut merupakan golongan nelayan luar yang makan upah dan sebahagiannya pula kumpulan ‘kekanda sado’ tertentu.
Kami tahu bahawa pemimpin dan jurucakap kumpulan tersebut bukan orang Kepala Batas tetapi orang Seberang Jaya dan Bagan Ajam.
Kami tahu siapa di Kepala Batas yang berhubung dengan mereka dan menyusun serta mengupah orang hadir untuk ke sidang media.
Kami telah tahu siapa di belakang A*ir Ada*son dan M*lan Bo*oi yang cuba mengelirukan orang ramai dengan sepanduk manila kad yang bermacam-macam.
Kami juga tahu bagaimana rantaian dan perkaitan antara mereka, pemimpin Kepala Batas dan pemaju.
Wahai pemimpin,
Ketahuilah bahawa pemaju PTP sangat buta warna politik dan akan bersama siapa sahaja bagi memastikan projek mereka berjaya.
Kami tahu hubungan peribadi pemaju dengan pemimpin di Pulau Pinang dan pemimpin di Kepala Batas.
Hentikanlah mengambil kesempatan dengan mengupah orang luar dan orang susah yang tak tahu apa untuk dihina maruah mereka bagi menyokong PTP secara membuta tuli.
Kami merayu supaya pemimpin Kepala Batas melihat secara bersungguh-sungguh akan jenis industri yang akan masuk ke PTP.
Jangan hanya dengar cakap pemaju tetapi dengarlah suara penduduk Bertam yang benar-benar akan terkesan dengan PTP.
Jangan hanya kerana Pak Lah mahukan industri, kita secara bermudah menerima industri tersebut tanpa melihat konteks setempat yang berbeza berbanding 20 tahun lepas.
Kami yakin bahawa jika Pak Lah mendapat maklumat yang sebenar, beliau juga pasti akan membantah projek PTP seperti yang telah dicadangkan oleh pemaju.
Sekian, terima kasih.
IBN ZABIDI AT TIROMI
24 Ogos 2022
Bertam – HARAKAHDAILY 24/8/2022




















