
MELETAKKAN nilai-nilai Islam dalam segala aspek kehidupan, termasuk pentadbiran dan pengurusan organisasi adalah sunnah yang dituntut oleh agama.
Hakikatnya, Islam hadir dengan tujuan yang suci, untuk menegakkan kebaikan dan keadilan buat seluruh umat.
Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu kaum atau tamadun akan dipandang tinggi kerana nilai-nilai murni yang diamalkan dalam kehidupan mereka.
Kerajaan telah mengambil usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam bermula dengan Panduan Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1979, diikuti dengan Kempen Bersih Cekap dan Amanah dalam tahun 1982.
Kerajaan juga telah melancarkan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran pada tahun 1985, dengan memberi penekanan kepada penerapan nilai-nilai teras agar dihayati oleh setiap anggota perkhidmatan awam ke arah mencapai kualiti perkhidmatan yang cemerlang.
Langkah-langkah untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan yang unggul terus diberi keutamaan melalui Gerakan Budaya Kerja Cemerlang, dan berbagai usaha peningkatan kualiti dan produktiviti melalui amalan nilai-nilai yang menjurus kepada perubahan sikap, minda (mindset), budaya dan seterusnya paradigma perkhidmatan awam.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak JAKIM serta Kerajaan Negeri Melaka atas penganjuran Seminar Penghayatan Nilai-nilai Islam peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2022.
Terima kasih buat YBhg. Datuk Wira Md Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka yang mewakili YAB Ketua Menteri untuk merasmikan seminar semalam.
Semoga penerapan nilai-nilai Islam dapat terus dihayati dan dipraktikkan dalam segala aspek gerak kerja kita, dalam menuju ke arah Malaysia yang sejahtera. Insya-Allah.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 24/8/2022






















