Penerbangan pertama Israel guna ruang udara Arab Saudi

Penerbangan pesawat komersial Israel pertama terbang melintasi ruang udara Arab Saudi ke negara bukan Teluk pada 23 Ogos 2022 ke destinasi di Seychelles. (FOTO Getty Images)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

RIYADH: Di sebalik kecaman Palestin terhadap Perjanjian Abraham (Abraham Accords) yang dilabelkan sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan menentang kekejaman zionis Israel, sebuah penerbangan komersial dari Tel Aviv terbang melintasi Arab Saudi ke destinasi bukan negara Teluk buat kali pertama pada Selasa (23 Ogos) waktu tempatan.

Palestin sebelum ini mengecam Perjanjian Abraham sebagai menunjukkan bahawa sebilangan negara-negara Teluk  telah ‘bermurah hati’  memberi kelonggaran kepada Israel membenarkan ruang udara negara masing-masing untuk dijadikan laluan penerbangan komersialnya, sedangkan Tel  Aviv berterusan menceroboh Tebing Barat dan mengepung Semenanjung Gaza, serta  kerap melanggar hak asasi manusia Palestin termasuk melakukan serangan maut membabitkan kehilangan beratus nyawa rakyat yang tidak berdosa.

- Advertisement -

Menurut laporan The New Arab, penerbangan Arkia Israeli Airlines IZ611 berlepas dari lapangan  terbang Ben Gurion di Tel Aviv pada kira-kira jam 1:15 pagi Selasa itu ke Seychelles, sebuah negara kepulauan di luar pantai Afrika Timur.

Ini adalah kali pertama penerbangan Israel terbang melintasi Arab Saudi ke destinasi bukan Teluk, dan ia memendekkan tempoh penerbangan selama 20 minit ke destinasi berkenaan.

“Malam ini, pesawat Arkia akan menjadi pesawat berlesen Israel pertama yang terbang melintasi Arab Saudi –  bukan ke Dubai, tetapi ke Seychelles,” kata ketua juruterbang Arkia, Din Gal sebelum penerbangan, lapor The Times of Israel pula.

Tambah laporan itu, Israel berharap kebenaran menggunakan ruang udara Saudi  itu akan diikuti dengan langkah serupa dari Oman, yang akan membolehkan penerbangan lebih pendek dari Israel ke destinasi timur seperti India atau Thailand.

Sejak Perjanjian Abraham 2020, selepas beberapa negara Teluk menormalisasikan hubungan dengan Israel, Saudi akhirnya sebelum ini membenarkan syarikat penerbangan Israel menggunakan ruang udaranya untuk penerbangan ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Perjanjian Abraham membenarkan penerbangan Israel menggunakan ruang udara Saudi telah dicapai pada bulan lalu semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke Timur Tengah, yang membantu menjadi perantara pemindahan dua pulau Laut Merah dari Mesir ke Saudi.

Perjanjian itu telah dilihat secara meluas sebagai pencetus  kepada Saudi bagi menormalisasikan sepenuhnya hubungan dengan Israel, walaupun Riyadh telah menafikannya. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -