
ALOR SETAR: Para pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan pada ketika ini sedaya-upaya melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan diamanahkan setakat bidang kuasa diperuntukkan pada kedudukan masing-masing.
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, beliau di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hakikatnya tidak memiliki punca kuasa kerana peruntukan berkaitan ada di Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.
Pun demikian menurutnya, dengan kedudukan tersebut membolehkan beliau berhubung dengan negeri-negeri untuk mengambil tindakan terhadap permasalahan atau isu berbangkit sebagaimana kes ajaran sesat dan penghinaan agama baru-baru ini.
“Kalau melibatkan media sosial, maka saya akan hubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi (dan Multimedia Malaysia – SKMM) yang diketuai oleh Menterinya Tan Sri Annuar Musa. Yang berlaku pelik-pelik berkenaan penghinaan agama sebagainya, maka saya hubungi Menteri Dalam Negeri.
“Dengan sebab itu tuan-tuan tengok pantas kali ini. Pagi kita report tengah hari pi angkat (ditahan penguat kuasa) dah. Kerana apabila kita ada di dalam kerajaan ini memang suara kita ini agak laku sikitlah,” ujar beliau pada majlis Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.
Terangnya, begitu juga perkara bukan di bawah bidang kuasanya seperti lesen judi, namun menerusi Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) beliau mengarahkan pemantauan di premis-premis judi.
Hasilnya ujar beliau, hanya tiga peratus sahaja orang Islam yang didapati masuk ke premis berkenaan membeli nombor ekor di mana mereka telah ditahan dan diberi masihat untuk tidak lagi berbuat demikian.
Terkini pula menurutnya, pihak beliau bersama NGO-NGO sedang berusaha mengatasi masalah kegiatan pelacuran terutama yang bergelumang di sekitar Jalan Chow Kit di mana sudah hampir tidak ada lagi.
“Yang ada ni hat muda-muda dia lebih kepada aplikasi yang melibatkan high class melalui handphone dan sebagainya. Yang hat biasa-biasa yang dialami di kawasan itu rupa-rupanya ialah masalah bersekedudukan haram. Kadang dah anak empat orang, tak tahu pak hat mana satu? Jadi budak-budak ni berpeleseran,” jelasnya.
Beliau menugaskan NGO-NGO terlibat menjejaki golongan tersebut untuk dilakukan proses pembaikan sehingga pasangan terbabit dinikahkan secara sah, manakala anak-anak yang bergelandangan dan tanpa surat kelahiran akan diuruskan.
Kata beliau, golongan ini sekiranya tidak dibantu, maka mereka akan terus mewarisi masalah sosial tersebut yang dapat dilihat di sekitar Jalan Chow Kit itu, selain terjebak pula dengan jenayah lain, seperti dadah dan sebagainya.
Ustaz Idris turut memahamkan isu dipertikaikan pihak tertentu berkaitan tindakan JAWI melepaskan wanita penghina Islam dalam isu di sebuah kelab komedi setelah melalui proses nasihat dan juga isu peruntukan kewangan untuk tenaga pengajar KAFA di mana memerlukan tatacara kewangan ditetapkan.
“Jnganlah kadang-kadang orang kata sejak PAS jadi kerajaan, PAS tidak lagi menyuarakan pandangan-pandangan baru ini dalam Parlimen, ada. Wakil rakyat PAN kata ini lebih kurang sama saja dengan PAN dengan PH dia kata. Saya kata tak sama. Mana boleh sama dengan dia.
“Dia (PAN) lain, dia tak berani bercakap langsung bab-bab agama, bab Islam ni, kita cakap. Soal tak boleh buat, (itu) soal lain. Tang bercakap kita bercakap. Tang menentang, kita menentang. Tang tak betul, kita cakap tak betul.
“Benda-benda seperti begini, benda yang kita terus konsisten dengan sikap kita yang jelas. Kepada kita ialah soal amar makruf dan nahi mungkar dan perkara-perkara bukan saja kita nak beri kepada masyarakat itu, agama, kerohanian, malahan dari segi jasmani, sudut pembangunan juga kita tidak lupa untuk kita uruskan,” tegasnya.
Beliau dalam ucapannya itu turut menyenaraikan beberapa langkah Islamisasi yang sedang dijayakan oleh pihaknya menerusi program-program tertentu. – HARAKAHDAILY 24/7/2022




















