
ALOR SETAR: Kelangsungan perjuangan Islam akhirnya akan diberikan kemenangan oleh Allah SWT, tetapi mereka yang mendukungnya mestilah memenuhi syarat-syarat kemenangan, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, tidak cukup dengan beriman dan percaya kepada Islam sahaja, tetapi mestilah menghadapi ujian diri sendiri dan ujian dalam kalangan umat Islam juga terutama kalangan yang jahil dan tidak bersama perjuangan ini.
Beliau mengupas perkara itu dalam Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.
Kata Tuan Guru, Islam walaupun bermula di Makkah iaitu lembah tanpa sumber ekonomi dan tenaga manusia, tetapi dengan Quran yang membawa mukjizat ilmu telah melahirkan para pemimpin berwibawa dalam sejarah dunia.
Menurutnya, Islam bukan sahaja memimpin manusia dalam beribadah, tetapi juga tamadun antaranya kewujudan hospital dan bank termasuk urusan cek, juga tadbir urus integriti tanpa rasuah serta bersandar pahala dan dosa.
Orang Islam juga ceritanya, mendahului dengan penciptaan teknologi antaranya jam waktu di mana ada Raja Eropah dan rakyatnya yang bebal hingga menganggap itu sebagai sihir daripada orang Islam.
“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri. PRU14 pilih orang bukan-Islam jadi wakil rakyat, pilih orang Liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, Kerajaan Pakatan Harapan, yang lebih teruk daripada Umno.
“Umno ada masalah, tapi PH lebih mencabar Islam, mencabar Perlembagaan, mencabar Raja-raja. Gejala-gejala menghina Islam. Ini kerana kejahilan orang Islam. Kita mesti bersabar menghadapi kejahilan orang Islam,” ujarnya.
Menurut Tuan Guru, serangan pemikiran menyebabkan ramai orang Islam jahil agama sendiri khususnya berkaitan politik di mana musuh juga aktif menggunakan media dan jentera untuk melemah dan menghina Islam.
Akui beliau, walaupun sakit dan panas hati, tetapi pejuang Islam mestilah sabar, termasuk oleh musuh yang menggunakan kekerasan kerana tujuan mereka adalah menyekat Islam menjadi kuat dan memerintah.
“Untuk menzahirkan Islam ini mengatasi segala yang lain, tanggungjawab kita memenangkan Islam, mendaulatkan Islam. Allah Taala janji nak bagi kemenangan. Mesti sabar menghadapi kejahatan lawan kita. Kita mesti bijak.
“(Adakan) ribat. Ribat ni termasuklah tunggu sembahyang jemaah, untuk beribadat, tunggu majlis ilmu, menyediakan kekuatan. Ribat, tunggu pangkalan, dalam perjuangan Islam di sempadan, keselamatan, perbekalan, muslimin, muslimat, ada tugas-tugas dia dalam perjuangan, ini ribat.
“Bertugas tubuh cawangan, bertugas kuatkan pentadbiran, bertugas, macam-macam tugas. Termasuk keselamatan. Ini ribat,” serunya dengan turut menyenaraikan beberapa hadis berkaitan.
Untuk mendapat kemenangan juga katanya, mestilah bertakwa kepada Allah, tanpa melakukan maksiat agar mendapat pertolongan-Nya, serta bersatu dalam jemaah dengan tidak berpecah-belah.
Di mana dalam jemaah terangnya, ada perbezaan pendapat, namun apabila telah jadi keputusan, maka mesti diterima dan dilaksana serta bertawakal serta menanggung kesannya bersama.
“Alhamdulillah dalam taklimat yang diberi, saya dapati PAS Kedah mempunyai jentera-jentera yang sangat mencukupi. Cuma bagaimana kita nak urus jentera-jentera ini supaya berkesan untuk menarik pengundi-pengundi yang seramai-ramainya menyokong kita.
“Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu. Kedah boleh insya-Allah,” yakininya dalam motivasi itu. – HARAKAHDAILY 24/7/2022




















