
ALOR SETAR: Kedah kini menjadi pengeluar semikonduktor terbesar di Malaysia melibatkan penghasilan mikrocip dan wafer untuk teknologi maklumat (IT), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) yang memenuhi keperluan sektor industri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ekoran pandemik COVID-19 yang turut menutup sektor industri, telah menyebabkan dunia mengalami kekurangan bekalan mikrocip hingga menyebabkan masalah kepada pengeluaran produk terkini.
“Apabila peluang ini dihidu oleh industri-industri, pemain-pemain dalam sektor penghasilan mikrocip, maka kilang-kilang berlumba-lumba untuk memperbesarkan industri masing-masing. Inilah tuah yang datang kepada kita di Kedah ini.
“Semua sektor industri yang terbabit dalam sektor semikonduktor mula menambahkan pelaburan masing-masing. Ada kilang Risen Energy yang mengumumkan sekali gus pelaburan RM42 bilion dalam beberapa fasa dan memilih Kedah sebagai destinasi,” ujarnya.
Beliau membentangkan demikian pada majlis Amanat Khas Presiden PAS dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.
Kedah pada tahun lalu mencatatkan penerimaan pelaburan diluluskan sebanyak RM68.3 bilion dan setakat suku pertama 2022 juga masih mendahului negeri-negeri lain dengan merekodkan kemasukan sebanyak RM8.55 bilion.
Jelasnya, kemasukan pelaburan tersebut telah membawa kepada limpahan ekonomi terutama secara langsung mendatangkan peluang pekerjaan yang semakin banyak dibuka dan menjadi kesempatan untuk direbut anak negeri Kedah.
“Bukan lagi operator pengeluaran, bukan tukang sapu, bukan tukang kebun, tetapi orang-orang yang akan mengendalikan teknologi tinggi dalam sektor pembuatan. Mahu tidak mahu kita di Kedah ini mesti mempersiapkan human capital, tenaga-tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kita telah bercakap dengan semua IPT dan IPTS (Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta) di Utara Semenanjung ini termasuk universiti-universiti teknikal di Kuala Lumpur untuk menghasilkan pelajar-pelajar dalam jurusan kejuruteraan yang dikehendaki oleh pasaran.
“Kita perlukan daripada sekarang sampai (tahun) 2035 sebanyak) 150,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi. Ini peluang untuk kita rebut. Pastikan anak kita mengaji, belajar, jangan drop out daripada sekolah,” ujarnya memberitahu di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) kini mempunyai 35,000 tenaga kerja daripada pelbagai negeri.
Peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang disediakan di KHTP serunya, perlu direbut sepenuhnya oleh anak-anak Kedah, jika tidak ia akan dipenuhi oleh orang lain daripada Perak, Kelantan, Terengganu, Johor, termasuk Sabah dan Sarawak.
“AT&S syarikat Austria yang melabur RM8.5 bilion (sebelum ini), sekarang ni pelaburan (syarikat itu) telah ditambah menjadi RM10 bilion (di KHTP). Sedang melipat gandakan, mempercepatkan pembinaan kilang dia. Tiap-tiap bulan dia mai update saya, mai present.
“Apa yang kami (AT&S) buat dah setakat la ni. Tiap-tiap bulan dia mai. Dia seronok. Hat ni dia akan hantar pekerja batch pertama ni ke China, training di sana. Batch yang kedua dibawa trainer daripada China train di sini. (Tahun) 2025 ni dia akan mulakan operasi.
“Dia akan bekalkan mikrocip kepada syarikat-syarikat besar yang dirahsiakan. Saya tahulah tapi dia tak bagi habaq ini business strategi dan dia menjadi vendor kepada company-company dunia yang turut berada di Kulim Hi-Tech,” ujarnya.
Maklum beliau juga, kerajaan negeri telah meluluskan pembukaan tambahan kawasan bagi sektor industri ini di KHTP untuk Fasa 4A seluas 250 ekar dan akan membuka lagi Fasa 5 melibatkan seluas 400 ekar lagi. – HARAKAHDAILY 24/7/2022




















