Jack Wilshere latih skuad B-18 Arsenal

Jurulatih baharu skuad B-18 Arsenal
- Advertisement -

Susunan MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

Arsenal melantik Jack Wilshere sebagai ketua jurulatih bawah 18 baharu selepas pemain berkenaan mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional.

Bekas graduan Akademi Arsenal, Wilshere melakukan 197 penampilan untuk kelab itu antara 2008 hingga 2018 serta memenangi Piala FA sebanyak dua kali.

- Advertisement -

Dia mengumumkan persaraan dari bola sepak profesional, Jumaat lalu, pada umur 30 tahun setelah bermain selama lima bulan di kelab Denmark, AGF.

Wilshere dianggap sebagai calon paling menonjol bagi menggantikan Dan Micciche, yang baru-baru ini meninggalkan Arsenal untuk menyertai bekas ketua jurulatih bawah 23 tahun Arsenal, Kevin Betsy di Crawley Town.

Selain Arsenal, dia juga bermain untuk Bournemouth dan West Ham, menghabiskan masa tahun lalu bersama pemain muda Arsenal, tetapi ini akan menjadi tugasan jurulatih rasmi pertamanya.

Pelantikan bekas pemain tengah England itu adalah antara beberapa jawatan peringkat remaja yang sedang dalam proses dimuktamadkan oleh kelab.

“Ia satu penghormatan besar untuk memegang peranan ini. Bukan rahsia bahawa saya suka kelab ini. Saya suka apa yang kami perjuangkan dan anda tahu sebahagian besar hidup saya dihabiskan di akademi ini,” katanya.

Wilshere akan dibantu oleh seorang lagi bekas graduan Akademi Arsenal, Adam Birchall, sebagai penolong jurulatih bawah 18 tahun dan ketua jurulatih bawah 17 tahun, setelah mengemudi pasukan bawah 16 tahun sebelum ini.

Pengurus Akademi Arsenal, Per Mertesacker, ketika mengulas pelantikan Wilshere berkata: “Ini berita baik untuk semua orang yang terlibat dalam akademi ini. Kami membuat beberapa perubahan yang sangat positif sejak beberapa minggu lalu.

“Saya percaya kami kini mempunyai orang yang terbaik di sini untuk meneruskan kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Menurutnya, semua orang tahu betapa bersemangatnya Wilshere yang memahami apa yang mahu dicapai di sini dan tahu apa yang diperlukan untuk maju.

- Advertisement -