PAS juarai aktiviti keagamaan, kebajikan

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN & SUZIANA GHANI

SANDAKAN:
Masyarakat di pedalaman Sabah kini semakin mengenali PAS terutamanya menjuarai aktiviti berbentuk keagamaan dan kebajikan.

Malah program korban dianjur PAS turut mendapat sambutan penduduk tempatan di mana sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, seramai 100 petugas mengendalikan program tersebut yang bermula aktiviti menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan mengedar kepada asnaf.

- Advertisement -

Katanya, diharap pada masa akan datang, lebih ramai lagi masyarakat menyertai ibadah korban untuk membolehkan ramai asnaf merasai daging korban.

“PAS Sandakan juga berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menyempurnakan korban di mana agihan hampir 1,100 pek daging kepada asnaf di sekitar Sandakan,” katanya pada program tersebut yang diadakan di Taman Rekreasi Indah Jaya semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan ahli jawatankuasa PAS Sandakan.

Sahar yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan berkata, melalui penganjuran program seumpama itu membolehkan masyarakat tempatan mengenali PAS dengan lebih dekat.

Beliau turut merakam ucapan penghargaan kepada petugas yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut.

Program serupa turut dianjurkan PAS Kunak yang diadakan di SRITI Al Falah, di sini Ahad lepas.

Timbalan Yang Dipertua PAS Lahad Datu Kasman Karate berkata, program Korban Perdana itu merupakan tahun ke-10 dilaksanakan.

Katanya, pada tahun ini sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan, di mana 350 kilogram daging serta 70 kampit beras diagihkan kepada masyarakat setempat.

“Program ini bertema Misi Penyelamat dan Kasih Sayang bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Menurutnya juga sebanyak 100 kg daging diagihkan kepada penduduk di Kampung Bagiang, 50 kg di Kampung Palauh, manakala selebihnya asnaf sekitar daerah Kunak.

Program tersebut disebut diadakan dengan kerjasama NGO Lestari, Kelab Belia Kampung Bagiang, Dai Yayasan Amal Malaysia, PAS Cawangan Pekan dan Mostyn. Seramai 80 sukarelawan terbabit menjayakan program berkenaan. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -