
Oleh SYAHIRAH SALLEH dan YUSMAN AWANG
KAJANG: Penduduk Taman Seri Budiman, Abdullah Hadaran, 51, mendakwa bau busuk yang dipercayai berpunca daripada tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake) berhampiran kawasan perumahannya tidak mengeluarkan bau sepanjang masa.
Menurutnya, aliran air dalam longkang bersebelahan rumahnya yang dipercayai mengalir dari Black Lake hanya mengeluarkan bau pada waktu tertentu seawal pagi dan tengah malam sejak tiga bulan kebelakangan ini.
“Dalam tempoh seminggu, akan ada sekali atau dua air busuk itu mengalir dalam longkang tersebut seolah-olah ia dilepaskan ke situ. Kadang-kadang tengah malam ataupun pagi, biasa pagi semasa penduduk keluar hendak pergi kerja.
“Bau dia semerbak, Allahu Akbar, susah untuk gambarkan, melekat pada baju, masuk dalam rumah, bau macam bau bangkai, busuk amat sangat,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di kediamannya, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Menurut Abdullah, dia dapat menyaksikan aliran air berwarna hitam pekat itu kerana dia sering meluangkan masa bercucuk tanam di kawasan sekitar longkang berkenaan.
Katanya, sesekali kira-kira jam tiga atau empat pagi dia akan terjaga disebabkan bau busuk itu memandangkan rumahnya hanya terletak bersebelahan longkang berkenaan.
“Kalau bau itu berlalu pergi begitu sahaja tidak mengapa, tetapi bau itu melekat. Tidak kira hujan atau tidak hujan. Kalau hujan, kurang sedikit (bau) sebab ikut alir hujan, tetapi kalau tidak hujan, bau busuk itu seratus peratus dengan air mengalir deras.
“Aliran air dalam longkang itu tidak mempunyai jangka masa lama, hanya mengalir sekitar satu hingga ke dua jam. Longkang ini juga ada mengalir air dari alur lain yang bersih dan tidak tercemar,” katanya.

Tambah Abdullah, sepanjang tiga bulan kebelakangan ini penduduk sering tertanya-tanya punca bau tersebut, namun persoalan mereka itu terjawab apabila foto Black Lake dipenuhi sampah itu di media sosial Selasa lalu.
Sepanjang 14 tahun menetap di Taman Seri Budiman, kata Abdullah, ini tahun pertama kejadian itu berlaku. Katanya, jika perkara itu dibiarkan, dia bimbang ia akan memberi masalah dan bahaya kepada kesihatan penduduk.
Sementara itu, seorang juruteknik, 49, yang enggan mendedahkan namanya, turut mendakwa bau busuk itu hanya dihidu penduduk sejak kebelakangan ini.

Katanya, dia tidak tahu mengenai lokasi pembuangan sampah haram itu dan hanya dimaklumkan penduduk yang mendaki di sekitar bukit berhampiran tasik berkenaan.
Justeru, dia mengesyaki bau busuk tersebut berkemungkinan bukan berpunca daripada tapak pembuangan sampah secara haram di Black Lake.
“Sekarang memang tiada bau, sebab air berwarna hitam itu tidak mengalir (dalam longkang), kita buat aduan kerana tidak tahu daripada mana air itu datang. Tapi bau busuk itu lebih busuk daripada bau bangkai.
“Kami sudah buat aduan kepada JAS (Jabatan Alam Sekitar) apabila ada bau itu, dan saya suruh semua penduduk buat aduan sama.

“Kemudian saya telefon JAS dan maklumkan kawasan perumahan kami terletak di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan JAS terus memaklumkan akan mendapatkan kerjasama MPKj. Itu yang kami baru tahu bahawa ada sampah banyak di Black Lake. Mungkin sampah itu sudah lama, cuma saya rasa ada lori tangki yang buang bahan toksik lain ke situ atau kawasan berhampiran.
“Kalau sebab sampah, ia sudah lama berada di situ. Jika sampah yang menyebabkan bau busuk, mesti sudah hari-hari kita menghidu bau busuk itu.

“Ini tidak, dia macam ada benda toksik yang mereka buang, itu yang air sungai jadi warna kelabu hitam. Saya rasa ada isu berbeza, satu disebabkan sampah, satu lagi disebabkan toksik. Sebab kalau hujan, mungkin hujan itulah punca bau busuk itu, tapi yang peliknya sampah itu tetap berbau busuk walaupun hari tidak hujan.
Bagaimanapun, juruteknik itu sedikit terkilan apabila JAS yang datang ke Black Lake pada Selasa hanya mengambil sampel air di situ dan tidak dari kawasan longkang di Taman Seri Budiman.
“Rasanya JAS hanya mengambil sampel air di Black Lake sahaja tetapi tidak dari longkang di Taman Seri Budiman ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022




















