
KOTA BHARU: Selain Hospital Pakar Perdana terdapat sebuah lagi hospital pakar di Kota Bharu iaitu Kota Bharu Medical Centre (KBMC) yang terletak di Lundang.
KBMC merupakan hospital swasta pertama di Kelantan mula beroperasi pada 1998, terletak di laluan utama dari Pusat Bandar Kota Bharu ke Kubang Kerian.
Memandangkan sambutan pelanggan begitu menggalakkan termasuk dari selatan Thailand dan Terengganu hospital tersebut kini membesarkan lagi operasi dengan membina bangunan baharu.
Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin berkata, KBMC membina dua blok bangunan baharu iaitu hospital setinggi 12 tingkat serta blok bangunan parkir dan klinik-klinik pakar setinggi 11 tingkat.
Katanya, kedua-dua blok terbabit dibangunkan di kawasan seluas 2.86 ekar dihubungkan melalui jejantas pejalan kaki.
“Hospital baharu KBMC akan mempunyai kapasiti 205 katil turut menyediakan pelbagai fasiliti dengan kelengkapan perubatan terkini antaranya dewan bedah moden, labor dan delivery suite.
“Selain itu unit radiografi (MRI, CT Scan), pusat saringan kesihatan, unit rawatan rapi, wad rehabilitasi, pusat rawatan kimo, makmal dan sebagainya,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari itu.
Sebelum itu beliau merasmikan pecah tanah pembinaan bangunan baharu KBMC.
Pembinaan hospital baharu itu akan bermula pertengahan tahun ini dan dijangka beroperasi suku pertama tahun 2025.
Dr Izani juga berkata, pembangunan KBMC akan menawarkan sehingga 400 peluang pekerjaan terutamanya anak-anak tempatan.
Pembangunan KBMC tersebut juga secara tidak langsung akan membantu merancakkan ekonomi Kelantan melalui Medical Tourism. – HARAKAHDAILY 2/6/2022




















