Pulihkan Black Lake kembali kepada asal – MPKj

Pemandangan indah Black Water Lake berhampiran Seksyen 5, Bandar Mahkota Cheras, Selangor yang dirakam pada Ogos 2021 (FOTO my.worldsorg.com)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH dan YUSMAN AWANG

KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi syarat kepada pemilik tanah tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake), di sini, supaya memulihkan lokasi berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata pihaknya kini dalam usaha mengenal pasti pemilik tanah berkenaan sebagai langkah untuk menjalankan tindakan undang-undang kepada pemilik atas kejadian itu.

- Advertisement -

“Hasil lawatan bersama beberapa agensi tempoh hari, kita mensyaratkan kepada pemilik untuk pulihkan tanah ini supaya kembali kepada asal. Ini salah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh pemilik dengan membiarkan tanah milik mereka dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Ini boleh menimbulkan keresahan penduduk setempat dan menyebabkan pencemaran alam sekitar,” katanya kepada HarakahDaily ketika ditemui selepas menyita tapak pembuangan sampah haram itu, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Kamarul Izlan Sulaiman ketika ditemui Harakahdaily semasa membuat tinjauan di Black Lake. Foto HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE.

Menurut Kamarul Izlan, MPKj melihat serius kejadian itu dan berharap untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

Katanya, kemungkinan terdapat tindakan susulan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) daripada hasil tinjauan bersama pada Selasa yang juga disertai Ahli Parlimen Bangi, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat.

Ditanya jika MPKj mempunyai solusi berhubung bau busuk yang di dakwa penduduk berkemungkinan berpunca daripada sebab lain, kata Kamaruzl Izlan, MPKj tidak mempunyai kepakaran untuk mengesahkannya.

Sampah sarap memenuhi sebahagian permukaan Black Lake, di Bandar Mahkota Cheras, Selangor pada 2 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Bagaimanapun, beliau memaklumkan MPKj sudah pasti akan memantau lokasi berkenaan dari semasa ke semasa.

“Tindakan MPKj, kita boleh kawal aktiviti di mana kita sudah sita lebih kurang enam atau tujuh buah lori yang membuang sampah dalam kawasan ini dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

“Kita juga buat kawalan secara statik, tetapi tidak 24 jam, kawalan hanya secara berkala untuk memastikan aktiviti ini tidak berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -