
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah menganggarkan antara 60 hingga 80 peratus penduduk Kesatuan Eropah (EU) dijangkiti Covid-19 ketika blok itu memasuki fasa pasca kecemasan dengan laporan besar-besaran kes jangkitan tidak lagi diperlukan.
Sebagai persediaan memasuki fasa baharu ini, kerajaan EU disarankan meningkatkan imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak, sekali gus menandakan blok itu sedang mempertimbangkan rancangan untuk membangunkan antivirus.
Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides, berkata dianggarkan antara 60 hingga 80 peratus penduduk EU kini menghidap Covid-19.
Setakat ini, katanya kes yang dilaporkan meliputi kira-kira 30 peratus daripada populasi Eropah, tetapi jika mengambil kira jumlah jangkitan yang tidak dilaporkan, kes boleh mencecah hingga 350 juta orang, iaitu kira-kira 77 peratus daripada populasi Eropah.
“Berikutan penurunan kes jangkitan dan kematian yang dikaitkan dengan Covid-19, EU kini beralih daripada dasar sebelum ini, iaitu ujian besar-besaran dan wajib melaporkan kes baharu,” katanya.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Eropah berpandangan bahawa lonjakan baharu Covid-19 boleh berlaku kerana virus itu dijangka terus bermutasi menyebabkan negara EU harus mempunyai rancangan untuk beralih kembali ke mod kecemasan dan meningkatkan vaksinasi.
Dalam dokumen yang menggariskan strategi fasa pasca kecemasan wabak itu, Brussels menggesa kerajaan EU terus melaksanakan imunisasi terhadap mereka yang tidak divaksinasi, terutama kanak-kanak sebelum permulaan penggal persekolahan baharu pada musim luruh.
Kadar imunisasi di kalangan kanak-kanak berumur antara 5 dan 9 tahun, iaitu kumpulan umur termuda yang vaksin Covid-19 dibenarkan di Eropah adalah kurang daripada 15 peratus, jauh lebih rendah berbanding lebih 70 peratus bagi remaja berumur antara 15 hingga 17 tahun.
Kyriakides berkata, suruhanjaya itu juga menyokong pembangunan ubat baharu terhadap Covid-19, terutama antivirus yang lebih mudah disimpan dan diuruskan.
Sehubungan itu, katanya EU akan meneroka kemungkinan untuk menyokong projek yang mensasarkan pembangunan antivirus.
Pil antivirus melawan Covid-19 yang dimajukan oleh Pfizer dan Merck & Co telah diluluskan untuk digunakan di EU. Namun, pengambilan pil itu terhad kerana pelbagai sebab, termasuk harga mahal dan prosedur yang rumit.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Eropah akan menyokong pembangunan vaksin Covid-19 generasi akan datang yang dijangka mampu menawarkan perlindungan yang lebih baik dan tahan lebih lama terhadap jangkitan virus itu. – REUTERS




















