
PARIS: Emmanuel Macron menjadi sasaran sekumpulan penduduk yang membaling buah tomato ke arahnya ketika membuat penampilan umum pertamanya selepas kemenangan dalam pemilihan semula Presiden Perancis.
Macron sedang bertemu penduduk apabila beberapa buah tomato nyaris mengenai mukanya, tetapi terkena beberapa orang di sekelilingnya.
Anggota pasukan keselamatan bergerak pantas dan menjerit “peluru! peluru!” lalu menutup kepala Macron dengan tangan mereka sebelum melindunginya dengan payung hitam.
Macron kelihatan tidak terkesan dengan gangguan itu dan sebaliknya mahu meneruskan lawatan itu secepat mungkin.
Beliau kedengaran berkata: “Tidak! Tidak! Jangan bergaduh.”
Walaupun dianggap kecil, kejadian ini mengingatkan cabaran untuk melindungi sepenuhnya seorang Presiden yang pergi ke kawasan awam, terutama di kawasan yang tidak menyokongnya.
Pada Jun 2021, seorang lelaki menampar muka Macron yang sedang melawat penduduk tempatan bandar raya ini.
Macron sedang mempertimbangkan pembentukan kerajaan baharu berikutan kemenangannya menewaskan pemimpin sayap kanan, Marine Le Pen.
Bagi membuktikan janjinya untuk menyatukan Perancis yang berpecah belah, beliau memilih lawatan pertamanya selepas pilihan raya ke Cergy-Pointoise di pinggir bandar raya ini, kawasan berpendapatan rendah yang calon berhaluan kiri, Jean-Luc Melenchon, menduduki tempat teratas dalam pusingan pertama pengundian pada 10 April.
Pegawai Macron menyatakan bahawa lawatan ke Cergy-Pointoise berlangsung dalam suasana yang baik dengan kekecohan kecil berlaku adalah akibat orang ramai yang cuba mendekati Presiden sedekat mungkin.
“Di kawasan kejiranan termiskin, sama ada di bandar atau luar bandar, kita perlu benar-benar mewujudkan keadaan kesamarataan peluang yang sebenar dan berkesan,” kata Macron ketika lawatan itu.
“Hanya itu satu-satunya cara untuk menghilangkan perasaan tidak percaya dan rasa dipinggirkan,” katanya.
Majlis Perlembagaan Perancis dijangka mengesahkan keputusan pilihan raya pada Rabu, membuka jalan kepada penggal kedua Macron yang bermula bulan depan.
Berdasarkan pilihan raya Parlimen pada Jun ini, Macron dijangka dalam beberapa hari akan datang menamakan Perdana Menteri dan kerajaan baharu, dan telah memberikan beberapa petunjuk kemungkinan pemimpin yang mungkin beliau pertimbangkan.
“Saya akan melantik seseorang yang komited dalam isu sosial dan alam sekitar serta produktif,” katanya ketika spekulasi tersebar bahawa seorang wanita akan mengetuai kerajaan buat kali pertama sejak Edith Cresson pada 1991. – AFP




















