
AMMAN: Jordan memperhebatkan usaha untuk menekan Israel supaya menghormati status quo sejarah Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan mengelakkan konfrontasi ganas yang boleh mengancam konflik lebih meluas.
Pegawai Jordan berkata, negara itu telah memberitahu Washington berhubung kesediaan membincangkan isu itu dengan Israel selepas bulan suci Ramadan berakhir minggu depan. Ini bermatlamat untuk mengenal pasti tindakan yang Israel boleh lakukan untuk mengembalikan keadaan masjid itu kembali seperti 22 tahun lalu.
Jordan menuduh Israel secara beransur-ansur mengubah sekatan untuk beribadah di masjid itu sejak tahun 2000.
“Usaha diplomatik terbaharu ini adalah bagi menangani punca ketegangan dan memastikan perkara itu tidak meletup lagi,” kata seorang pegawai Jordan yang tidak mahu namanya disiarkan, sambil menambah bahawa Washington, baru-baru ini telah diberitahu berhubung pendirian Jordan.
Pertelingkahan sejak dua minggu lalu antara penduduk Palestin dan polis Israel di pekarangan masjid mencetuskan kemarahan dunia Islam, selain kebimbangan antarabangsa mengenai konflik Israel-Palestin menjadi lebih meluas.
Ini berikutan usaha pelampau Yahudi menuntut tapak ketiga paling suci dalam Islam yang orang Yahudi dakwa sebagai Temple Mount, iaitu tapak paling suci dalam agama Yahudi.
Jordan sebagai penjaga tempat suci Muslim dan Kristian di Baitulmaqdis, menyatakan bahawa sejak tahun 2000, Israel telah menjejaskan tradisi berabad-abad, iaitu orang bukan Islam tidak dibenarkan beribadat di pekarangan Masjid al-Aqsa
Amman memberitahu Washington bahawa Israel juga harus menamatkan sekatan ke atas kakitangan Jabatan Wakaf Islam dan membiarkan jabatan itu menguruskan semua lawatan pengunjung bukan Islam, selain tidak membenarkan ibadat oleh bukan Islam.
Israel menafikan cuba mengubah status quo tapak suci umat Islam di Kota Lama Baitulmaqdis, yang diduduki dalam Perang Arab-Israel 1967. Rejim Zionis juga mendakwa menguatkuasakan larangan penganut Yahudi bersembahyang di pekarangan Masjid al-Aqsa.
Jordan menyatakan bahawa Israel menyekat umat Islam memasuki masjid dan tidak menghalang nasionalis sayap kanan Yahudi yang sejak dahulu melanggar status quo yang dari sudut pandangan Islam, mencemarkan tapak suci itu.
“Jordan meneruskan hubungannya secara langsung dengan Israel dan Washington serta pihak antarabangsa lain untuk menuntut Israel menghormati situasi sejarah yang wujud sebelum tahun 2000,” kata seorang lagi pegawai Jordan. – REUTERS




















