Pintu Damsyik lambang perjuangan rakyat Palestin hadapi zionis Israel

- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Pintu Damsyik atau Bab al-Amud seperti yang dikenali dalam bahasa Arab, muncul semula sebagai lokasi paling panas antara penduduk Palestin dan tentera Zionis Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Sejak permulaan Ramadan tahun ini, hampir setiap hari tentera Israel termasuk unit yang melakukan penyamaran, menyerang dan menangkap penduduk Palestin di kawasan Pintu Damsyik. Ratusan yang lain ditahan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

- Advertisement -

Keadaan yang sama didokumentasikan pada Ramadan tahun lalu ketika protes terhadap percubaan Israel untuk memaksa penduduk Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan perang 11 hari Israel ke atas Gaza.

Pintu Damsyik ialah plaza era Uthmaniyyah, yang bentuk pintu itu tidak berubah sejak 1537. Pintu ini adalah yang terbesar daripada tujuh pintu terbuka ke Kota Lama Baitulmaqdis di Baitulmaqdis Timur.

Ia adalah laluan ke souq di kawasan Muslim, iaitu pasar utama untuk rakyat Palestin bandar ini. Di sini, segala-galanya ada daripada rempah ratus hingga peralatan rumah.

Hanya dengan berjalan kaki dari pintu ini ialah kawasan perniagaan dan komersial utama yang menjadi jantung kepada Baitulmaqdis Timur, Jalan Salah al-Din serta stesen bas sentral Palestin.

Sebagai mercu tanda sosial, budaya dan politik Palestin, Pintu Damsyik adalah antara beberapa ruang terbuka untuk penduduk berkumpul. Kegemaran popular di kalangan penduduk ialah menikmati kopi dari kawasan Musrara berdekatan dan menghirupnya di tangga batu besar di pintu pagar.

Ketika protes, tempoh ketegangan politik dan pada majlis keagamaan seperti Ramadan, bilangan penduduk Palestin yang berkumpul di Pintu Damsyik bertambah, sekali gus tindak balas ganas daripada tentera Israel meningkat.

Israel sering melabelkan penunjuk perasaan sebagai perusuh, tuduhan yang ditolak oleh rakyat Palestin.

Pintu Damsyik pada tahun 1920-an

Negara haram Israel menguasai Baitulmaqdis Timur yang majoriti penduduknya Palestin ketika perang 1967 dan melanggar undang-undang antarabangsa dengan menjadikan kota itu sebagai wilayah mereka. Namun, majoriti negara di seluruh dunia tidak mengiktiraf kedaulatan Israel di Baitulmaqdis Timur yang dilabelkan sebagai wilayah yang diduduki, manakala penduduk Yahudi sebagai pendatang haram.

Israel mengisytiharkan seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya yang lengkap dan bersatu yang termaktub dalam undang-undang.

Penganalisis berkata, Pintu Damsyik dan pekarangan Masjid Al-Aqsa adalah tempat meletusnya “perjuangan ke atas penguasaan dan ruang” antara pendudukan Israel dan Palestin di Baitulmaqdis.

“Pintu Damsyik menjadi simbol kebangsaan bagi penduduk Baitulmaqdis dan rakyat Palestin secara umumnya, simbol yang melahirkan identiti kebangsaan di bandar itu,” kata penganalisis politik, Nasser al-Hidmi.

Beliau berkata, rakyat Palestin secara berulang-ulang dan penuh gigih berkumpul di ruang itu dan wujud ungkapan pemilikan untuk menuntut ruang ini, walaupun harga mahal yang terpaksa dibayar oleh penduduk Baitulmaqdis.

“Hakikat bahawa ruang itu masih berada di bawah kawalan Palestin mengganggu pendudukan Israel. Dari segi keselamatan, ini adalah pintu masuk utama bagi pendatang haram Yahudi…Israel mahu memastikan keselamatan mereka masuk dan keluar, dan dengan penduduk Palestin berkumpul di situ, jaminan itu sukar dilaksanakan,” kata Nasser.

Kumpulan pelampau Yahudi sayap kanan juga berusaha untuk menguasai Pintu Damsyik dan kawasan Muslim di kota lama. Rabu lalu, ratusan pelampau Yahudi dihalang oleh polis Israel untuk melakukan “perarakan bendera” – perarakan mengibarkan bendera Israel melalui Pintu Damsyik dan kawasan majoriti penduduk Palestin di Kota Lama.

Kawasan souq berhampiran Pintu Damsyik

Kira-kira 200,000 pendatang Yahudi tinggal di penempatan haram di Baitulmaqdis Timur.

Mereka tinggal bersama sekurang-kurangnya 420,000 rakyat Palestin dengan “status pemastautin” Israel. Namun penduduk Palestin secara berterusan perlu menyediakan bukti mendiami bandar itu dalam proses birokrasi yang rumit yang sebenarnya adalah taktik Israel untuk menghalau rakyat Palestin dari Baitulmaqdis.

Israel memberi alasan bahawa prosedur itu perlu atas faktor keselamatan.

Sejak 1967, Israel telah membatalkan status 14,000 rakyat Palestin di Baitulmaqdis, sekali gus tidak lagi boleh mendiami bandar ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan kumpulan hak asasi telah lama mendedahkan pelbagai amalan dan dasar Israel seperti perluasan penempatan haram Yahudi, meroboh rumah penduduk Palestin dan sekatan ke atas pembangunan bandar di Baitulmaqdis.

Ini dilakukan untuk mengubah nisbah demografi supaya berpihak kepada Yahudi dengan matlamat untuk “mengekalkan majoriti Yahudi yang kukuh di bandar” dalam pelan induk 2000 perbandaran itu. – ALJAZEERA

- Advertisement -