Daifnya jalan raya Persekutuan di Kelantan

Tuntut perhatian Kerajaan Pusat demi keselamatan anak perantau pulang menjelang Aidil Fitri

- Advertisement -

STRUKTUR jalan raya Persekutuan di negeri ini yang berada dalam keadaan daif dari aspek kualiti dan fizikal pembinaannya menuntut satu perhatian kritikal dan serius pihak Kementerian Kerja Raya. Apatah lagi dalam realiti penggunaannya melibatkan densiti tinggi pelbagai jenis kenderaan, ia begitu mudah rosak dan memerlukan pengurusan penyelenggaraan yang kerap.

- Advertisement -

Pemerhatian khusus ke lokasi telah diadakan di jalan raya Persekutuan di Sungai Asap, Chiku, Sungai Sam, Renok Baru, Lepan Jaya di Gua Musang hingga ke sempadan Pahang (Mentara) serta Lebuhraya Timur-Barat di Jeli beberapa hari lalu dan semalam. Kami juga akan ke beberapa lokasi lagi bagi meninjau sendiri dan memaparkan keadaan semasa keadaan jalan raya. Khususnya yang menjadi pintu masuk atau laluan utama ke negeri ini.

Semasa kami di Sungai Asap, Gua Musang itu, sempat kami ke bengkel kenderaan berdekatan yang memberitahu sudah lebih 10 kenderaan pecah tayar angkara lubang di situ. Syukurlah tidak terjadi sesuatu lebih buruk dari itu, tetapi keadaan jalan demikian tetap mengundang risiko. Kalau tak pun pada keselamatan, poket juga melayang terbang ringgit untuk penggantian tayar atau kerosakan lain diakibatkan.

Kerana dalam masa seminggu sahaja lagi, anak perantau Kelantan yang berada di seluruh pelusuk negara ini akan pulang untuk berhari raya bersama keluarga. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri telah menjangkakan sekurang-kurangnya dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan menjelang Aidil Fitri.

Kebimbangan kami, jalan raya Persekutuan berkenaan melibatkan antaranya lagi adalah laluan di antara Hentian R&R Titiwangsa hingga ke Sempadan Kelantan-Perak, dan sebahagian besar juga dari Bandar Baharu Gua Musang ke Sungai Sam berada pada struktur yang tidak memenuhi standard keselamatan apatah lagi rosak untuk dilalui. Ia tentunya bakal mengundang risiko melibatkan kemampuan kenderaan termasuk keselamatan nyawa manusia.

Keadaan sedemikian telah berlaku sejak puluhan tahun dan walaupun ada pembaikan dilakukan, tetapi ia sekadar penurapan untuk jangka pendek. Agak tidak adil untuk dikatakan kerja kontraktor berkenaan menangani kerosakan yang berlaku itu ‘sekadar melepaskan batuk ditangga’. Kerana hakikatnya Kerajaan Persekutuan sendiri memberi ‘bajet ciput’.

Bagi tujuan berkenaan, untuk seluruh Malaysia seperti kami kemukakan sebelum ini, hanya diperuntukkan 5 peratus daripada jumlah yang diperlukan seperti yang berlaku pada 2019 iaitu RM100 juta untuk nilai sebenar penyelenggaraan RM2 bilion. Akibatnya, pembinaan dan penyelenggaraan sewajarnya tidak dapat diadakan atau ditangani. Kelantan sepertimana juga pada masa-masa lalu, terus diabaikan atau dikemudiankan.

Kekesalan kami juga sekiranya benar dakwaan beberapa pihak bahawa di Parlimen berkenaan, Ahli Dewan Rakyatnya tidak mengajukan permohonan berkaitan ke pihak berwajib secara serius. Kerana itu akhirnya kami mewakili suara rakyat terpaksa merayu dengan membangkitkan perkara ini di media. Harapan kami, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas semangat Keluarga Malaysia, sudilah kiranya membantu. Selesaikanlah jalan jalan utama, pintu masuk ke Kelantan demi keselamatan anak rantau kami.

Jalan raya Persekutuan di Kelantan teramat-amat memerlukan tindakan segera bagi menampung kepulangan dua juta kenderaan bergembira pada Aidil Fitri ini. Kami tidak rela mendengar dan berkongsi walau satupun kesedihan akibat tragedi berkaitan yang berpunca dari jalan raya daif seperti ini. Na’uzubillahiminzalik, kami mohon Allah melindungi keselamatan dan menjauhkan segala musibah.

Tetapi usaha mesti ada di sebalik pemanduan anak perantauan serta mereka yang perjalanannya memasuki Kelantan dengan mematuhi etika dan peraturan ditetapkan. Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya masih punya kesempatan mengenali ‘hot spot‘ atau lokasi kritikal ini untuk segera ditangani. 

Dijangka seawalnya pada Khamis nanti anak perantau akan mula pulang. Nasihat kami juga agar masing-masing memanfaatkan teknologi bagi mencari laluan alternatif serta pilihan pengangkutan awam. MAS, AirAsia, ETS KTM dan bas ekspres Sani, Mutiara, Perdana, Pantai Timur dan lain-lain juga sangat boleh dimanfaatkan.

Kekal tenang dan sabar sepanjang perjalanan, patuhi undang-undang keselamatan. Berdoa, saling bertolak ansur, hormat serta membantu dan mempermudahkan sesama pengguna. Kita ‘Kelantanese‘ adalah bersaudara, sama-sama gembira pulang berhari raya.

NAZMAN CHE IBERAHIM & MOHAMED HILMI CHE RAMLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 22/4/2022

https://m.facebook.com/100004414572310/posts/2220985241391940/?d=n

https://m.facebook.com/100004414572310/posts/2220993551391109/?d=n

https://www.facebook.com/100004414572310/posts/2220979848059146/

https://m.facebook.com/100004414572310/posts/2222550334568764/?d=n

https://m.facebook.com/100004414572310/posts/2222592404564557/?d=n

https://m.facebook.com/100004414572310/posts/2222569464566851/?d=n

- Advertisement -