Kemarau ekstrem: 20 juta populasi Tanduk Afrika diancam kebuluran

Penduduk dari kawasan yang dilanda kemarau teruk tiba di kem penempatan di Mogadishu, Somalia pada 4 Feb 2022. (FOTO AP)
- Advertisement -

GENEVA: Kira-kira 20 juta populasi di negeri dalam wilayah Tanduk Afrika bakal berdepan dengan krisis kebuluran dalam tempoh enam bulan akan datang ini, susulan kemarau melampau yang diburukkan lagi dengan fenomena ‘hujan tertunda’.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Makanan Sedunia (WFP) dalam kenyataannya pada Selasa berkata, negara-negara Tanduk Afrika yang terdiri daripada Djibouti, Ethiopia, Eritrea, dan Somalia juga malangnya ketika ini sedang berhadapan dengan krisis kekurangan bantuan kemanusiaan.

- Advertisement -

“Masa bergerak semakin pantas, negeri di wilayah Tanduk Afrika terutama Somalia bakal menghadapi risiko kebuluran yang sangat nyata dalam tempoh enam bulan akan datang ini.

“Sementara itu, dianggarkan 7.2 juta rakyat di negeri di wilayan lain di Afrika, iaitu Ethiopia sudah mencecah tahap tidak cukup bekalan makanan, dan setengah juta rakyat Kenya hanya selangkah lagi daripada tahap bencana kelaparan dan kekurangan zat makanan,” ujar kenyataan tersebut.

Pengarah Serantau WFP untuk Afrika Timur, Michael Dunford berkata bahawa berdasarkan pengalaman lalu, adalah sangat penting untuk melakukan tindakan awal bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan.

“Namun keupayaan kami untuk melancarkan respons telah terhad kerana kekurangan dana setakat ini,” ujarnya.

Pemandanggan di sekitar selatan Omo, Ethiopia yang mengalami kemarau teruk pada saat ini. (FOTO WFP)

Negeri-negeri Tanduk Afrika pernah dilanda  kemarau pada 2016 hingga 2017, tetapi bantuan kemanusiaan telah ditingkatkan lebih awal, sekali gus menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kebuluran yang dahsyat.

Sejak tahun lalu, WFP dan agensi kemanusiaan dibawahnya telah memberi amaran bahawa kemarau semasa boleh membawa malapetaka jika masyarakat antarabangsa tidak bertindak segera.

Menurut  sebuah lagi agensi di bawah PBB, Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), selama tiga musim berturut-turut, hujan yang turun adalah di bawah paras purata telah membawa kepada kemerosotan berterusan dalam keselamatan makanan.

“Kesannya telah dirasai dalam isi rumah yang menternak tanaman atau haiwan,” kata Penyelaras Subregional FAO untuk Afrika Timur, yang berpangkalan di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa, Dr Chimimba David Phiri.

Seorang ibu membawa bayinya untuk ditimbang berat badannya di Wajir, Kenya. (FOTO WFP)

Menurutnya, kira-kira tiga juta ternakan telah mati di seluruh selatan Ethiopia, dan di kawasan gersang dan separa gersang di Kenya,  manakala di Somalia, sehingga 30 peratus ternakan isi rumah telah mati sejak pertengahan 2021.

“Tambahan pula, di sebalik musim kemarau, banyak kawasan yang kita bimbangi telah dilanda konflik dan ketidakamanan, serta cabaran makroekonomi dan kenaikan harga makanan,” kata Dr. Phiri.

Situasi di Tanduk Afrika juga telah diburukkan lagi dengan akibat daripada krisis perang di Ukraine, apabila kos makanan dan bahan api terus melambung tinggi.

WFP berkata bahawa negara-negara yang dilanda kemarau berkemungkinan paling teruk terjejas. 

“Kos bakul makanan telah meningkat, terutamanya di Ethiopia dan Somalia, yang banyak bergantung kepada import gandum yang datang dari negara-negara di rantau Laut Hitam,”  jelasnya.

Tanah kering dan merekah akibat kemarau teruk pada ketika ini di Somalia. (FOTO IRIN)

Dr. Phiri menambah bahawa FAO juga bimbang tentang kekurangan bekalan baja dari wilayah Laut Hitam pada separuh kedua tahun ini.

“Kami percaya bahawa krisis Ukraine sememangnya telah mengambil sedikit kilauan daripada keperluan wilayah Tanduk Afrika.

“Adalah penting bagi dunia bahawa semasa mereka mempertimbangkan keperluan Ukraine, mereka juga mempertimbangkan keperluan untuk Tanduk Afrika,” tegasnya.

Kawasan tandus akibat kemarau teruk di Eritrea yang membawa ancaman kepada krisis kebuluran penduduknya. (FOTO BBC)

Sehubungan itu, kedua-dua agensi PBB berkenaan, kini sedang mencari peningkatan dalam sokongan untuk operasi mereka dalam pada dibelenggu kebimbangan kerana kekurangan dana, yang menyebabkan timbul kesukaran untuk menghadapi malapetaka kemanusiaan yang kian semakin hampir.

“Kita mesti bertindak sekarang tanpa penyesalan jika kita mahu mencegah malapetaka kemanusiaan, dan kita mesti meningkatkan pelaburan kita dengan ketara dalam sistem makanan yang berdaya tahan,” kata Dr. Phiri.

Kali terakhir WFP membuat rayuan untuk mendapatkan dana yang sangat diperlukan adalah pada Februari lepas tetapi ia hanya menerima kurang daripada empat peratus daripada apa yang diperlukan. 

Kira-kira AS$473 juta diperlukan dalam tempoh enam bulan akan datang. Sehubungan itu, FAO telah melancarkan pelan tindak balas kemarau dengan matlamat jumlah AS$130 juta pada Januari untuk membantu kira-kira 1.5 juta penduduk di Afrika dan kira-kira AS$50 juta telah diterima setakat ini. – Agensi

- Advertisement -