
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Berdasarkan maklumat orang ramai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pasir Puteh menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran sebuah pusat pelancongan di Tok Bali jam 9.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakarian berkata, hasil pemeriksaan dilakukan polis menemui 589 gram dadah jenis syabu dan 3.2 gram pil kuda bernilai RM20,000.
“Ketika anggota cuba menahan dua lelaki terbabit yang merupakan adik beradik berusia antara 17 dan 27 tahun, mereka cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum mereka berjaya ditangkap.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut polis menjumpai dadah berkenaan yang disorok di tempat duduk belakang kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Ediansha Endal dan Pegawai Penyiasat JSJN ASP Ramli Mahad.
Zaizul juga berkata, dua lelaki terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – HARAKAHDAILY 20/4/2022











