
SHAH ALAM: Usaha berterusan membina persepsi bahawa ‘green wave‘ merupakan ancaman kepada masyarakat bukan Melayu disifatkan sebagai naratif politik untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar negara.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, gelombang politik yang lahir melalui proses demokrasi tidak sepatutnya dijadikan momokan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada rakyat, sedangkan mereka kini berdepan cabaran ekonomi.
Menurut beliau, persoalan utama ialah sama ada rakyat benar-benar diancam oleh sebuah gelombang politik atau keadaan ekonomi yang semakin menghimpit kehidupan seharian.
“Hakikatnya, rakyat hari ini lebih dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup, kelemahan kuasa membeli, cabaran peluang pekerjaan serta ketidaktentuan ekonomi.
“Dalam tempoh kebelakangan ini, banyak perusahaan kecil dan sederhana bergelut untuk terus bertahan, manakala sebahagian kilang serta syarikat pula mengecilkan operasi, mengurangkan tenaga kerja atau menutup perniagaan.
“Inilah realiti yang sedang dirasai oleh rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, naratif ‘green wave‘ telah lama dimainkan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Walhal menurut beliau, isu yang lebih mendesak ialah bagaimana kerajaan menangani kelembapan ekonomi dan beban kos sara hidup.
Katanya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, rakyat memerlukan dasar yang mampu memulihkan keyakinan pelabur, menjana peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi domestik, bukannya politik berasaskan ketakutan.
Mengulas mengenai gelombang Penyatuan Ummah, Mohamed Sukri menjelaskan usaha itu bukan bertujuan meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya menyatukan kekuatan masyarakat Melayu dan Islam sebagai kelompok terbesar di negara ini bagi mewujudkan kestabilan politik negara.
Menurut beliau, pengalaman banyak negara membuktikan bahawa kestabilan politik merupakan prasyarat penting kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan serta keharmonian sosial.
“Apabila kelompok terbesar dalam negara berjaya mencari titik persamaan dan mengurangkan perpecahan, negara akan lebih mudah ditadbir dengan berkesan.
“Kestabilan tersebut bukan hanya menguntungkan orang Melayu atau umat Islam, tetapi membuka ruang kepada kemakmuran yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pentadbiran serta keupayaannya menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berdasarkan propaganda politik yang membina persepsi negatif.
“Sudah tiba masanya kita meninggalkan politik membina ketakutan dan kembali kepada politik yang menawarkan penyelesaian.
“Ukurlah sesebuah kerajaan bukan berdasarkan propaganda, tetapi kecekapan mentadbir, kemampuan memulihkan ekonomi, mengawal kos sara hidup dan membawa kestabilan kepada negara,” tegasnya.
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berkata rakyat kini mempunyai peluang untuk menentukan hala tuju pentadbiran yang lebih stabil, berintegriti dan berwibawa demi masa depan negeri itu.
Beliau turut mengajak pengundi menyokong agenda Penyatuan Ummah sebagai asas kepada kestabilan politik, seterusnya melahirkan kemakmuran yang dapat dinikmati seluruh rakyat.
“Ayuh bersama gelombang Penyatuan Ummah. Pilih PN-BN pada PRN Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2028



















