
SEREMBAN: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, mengajak pengundi DUN N.11 Lobak memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN), PM Kumar yang disifatkannya sebagai berpengalaman, komited dan dekat dengan rakyat.
Bakri berkata, beliau mengenali PM Kumar sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu apabila calon itu bertanding di Parlimen Bahau, malah pernah menjadi antara mentornya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu PM Kumar sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan dan membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Saya yakin jika pengundi N.11 Lobak memberikan undi kepada beliau, insya-Allah beliau akan rajin turun padang dan menyantuni rakyat.
“Saya bukan sekadar bercakap kosong kerana saya sendiri melihat komitmen beliau dalam kerja sosial dan kebajikan,” katanya ketika berkempen bagi calon PN itu.
Bakri turut mendedahkan bahawa ketika beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu tanpa menerima peruntukan, PM Kumar tetap tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk di Melaka.
Katanya, PM Kumar pernah menyumbangkan pelbagai keperluan termasuk beras, kerusi roda dan beg sekolah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan walaupun tidak mempunyai kepentingan politik di negeri itu.
“Beliau tiada kepentingan di Melaka, tetapi sering datang membantu saya mengagihkan bantuan kepada masyarakat. Itu menunjukkan keikhlasan beliau dalam berkhidmat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menyeru pengundi DUN Lobak agar memberikan kepercayaan kepada PM Kumar pada hari pengundian.
“Saya doakan beliau berjaya. Kepada semua pengundi N11 Lobak, jangan lupa pada 1 Ogos nanti berikan undi anda kepada calon nombor satu dari PERIKATAN NASIONAL, PM Kumar,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026











