Peniaga harap wakil rakyat majukan Pasar Ampangan

- Advertisement -

SEREMBAN: Pengerusi Pasar Ampangan, Alizan Tambi, 55, mengakui bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang kini bertanding kembali, pernah membantu mendengar rintihan peniaga.

- Advertisement -

“YB Rafie ini ada tolong, dia ada dengar rintihan. Tapi oleh kerana dia sepenggal, bila dia nak merealisasikan benda yang dulu projek pasar ini dia yang cadangkan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Bila dia (Dr Rafie) dah tak ada dekat sini (tak dipilih sebagai ADUN Ampangan), dia dah tertinggal (tak boleh nak realisasikan keseluruhan projek pasar tersebut),” jelasnya kepada HarakahDaily di Pasar Ampangan, di sini baru-baru ini.

Alizan juga mengharapkan agar pemimpin yang dipilih nanti supaya menyelesaikan perkara masih tertangguh dan menunaikan janji diberikan kepada rakyat.

“Kalau ada YB pernah terpilih (sebelum ini dan dipilih) balik, tunjuklah bahawa kalau kerja anda tertinggal, selesaikanlah mana yang boleh. Janji dikota. Jangan janji dicapati.

“Harap sampailah mesej saya ini kepada pengundi-pengundi yang celik mata dan nak tengok apa yang berlaku,” serunya.

Walau bagaimanapun, Alizan menempelak tindakan pihak tertentu yang hanya mendakwa sebagai peneraju projek pasar berkenaan, namun tidak mengambil berat terhadap permasalahan dihadapi para peniaga di situ.

“Siapa yang ‘claim’ dia buat pasar ni (Pasar Ampangan) gah. Tapi orang itu ada datang tak tengok keadaan? Ada datang tak?

“Kerajaan dulu (sebelum bubar DUN) ada ambil berat sangat ke sampai macam saya, peniaga ayam, tempat proses tak
boleh proses di sini.

“Kita pun sekarang ni kena hantar tempat proses (ayam) lain ataupun proses di tempat lain.  (Dia melibatkan) kos kan? Sana nak bayar sini nak bayar. Dia tak fikir macam tu,” tempelaknya.

Fahami keadaan sebenar penduduk

Sementara itu, menurut beliau, wakil rakyat yang dipilih bagi kawasan DUN N.14 Ampangan perlu memahami keadaan sebenar penduduk termasuk cabaran dihadapi peniaga di pasar berkenaan.

Beliau menjelaskan, dirinya yang juga anak jati Ampangan sudah menetap di kawasan itu sejak kecil dan menyaksikan pelbagai perubahan berlaku sepanjang pertukaran pemerintahan.

“Baik buruk daripada zaman pemerintah bertukar-tukar, masih lagi anak jati duduk sini dan ramai kawan-kawan di sini,” ulas beliau yang juga juara pertama Malaysian Cub Prix 1994.

Pasar baharu belum capai matlamat

Mengulas masalah utama yang dihadapi penduduk kawasan itu, Alizan menyifatkan setiap perubahan perlu selari dengan keadaan semasa termasuk pembangunan Pasar Ampangan yang baharu.

Menurut beliau, pasar berkenaan yang dibina kira-kira tiga tahun lalu masih belum menunjukkan perubahan besar terhadap keadaan peniaga serta persekitaran penduduk.

“Kalau nak cakap berubah lagi baik ataupun sebaliknya, saya rasa macam sama saja dengan keadaan dia, dengan persekitaran penduduk di sini.

“Masalah yang banyak mengganggu adalah ‘hypermarket’ yang ada di sini. Kita boleh katakan 100 peratus di dalam ini adalah peniaga-peniaga Melayu beragama Islam.

“Dan kebanyakan setengah daripada peniaga di sini adalah penduduk sekitar Ampangan,” jelas Alizan yang juga Pengarah AS 25 Racing Team.

Alizan memaklumkan, cabaran utama peniaga mula dirasai selepas perpindahan ke pasar baharu apabila kos operasi meningkat berbanding sebelum ini.

“Sebelum buat ini macam-macam janji, macam-macam janji untuk kebaikan, untuk pembangunan.

“Tapi kita harus fikir walaupun kawasan ini Bandar Baru Ampangan, rasa-rasa belum sampai tahap macam bandar-bandar baharu seperti Seremban Dua atau Bandar Baru Senawang.

“Bangunan yang gah besar orang tengok, tapi ramai pun tak masuk dan kebanyakan peniaga tak meniaga,” kesalnya.

Beliau mendedahkan, daripada 49 kedai yang terdapat di pasar itu, tidak semuanya beroperasi sepenuhnya disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan kos sewa.

“Ada lebih kurang lima enam buah kedai yang masih lagi tidak berpenghuni. Salah satunya disebabkan oleh kos sewa naik berlipat kali ganda,” ujarnya.

Alizan menegaskan, keputusan membangunkan pasar berkenaan sepatutnya mengambil kira pandangan peniaga yang akan menjalankan perniagaan di situ.

“Patut dia nak buat benda ini mestilah berunding dengan peniaga. Yang nak meniaga, meniaga. Yang hadap (masalah dengan pelanggan adalah), peniaga,” kesalnya lagi.

Kos sewa jejaskan peniaga

Mengulas keadaan selepas berpindah ke pasar baharu, Alizan mengakui tapak sementara sebelum ini lebih memberi keselesaan kepada pelanggan untuk datang membeli.

“Saya rasa lagi lebih baik keadaan meniaga di bazar sementara dengan tapak yang ada sekarang ini. Kemungkinan masyarakat di sini tak nak susah.

“Pasar ini gah, dalam keadaan nak pergi parking walaupun parking ada disediakan, tapi masyarakat macam sinonim suka parking senang, parking bebas, tak nak naik atas. Jadi agak susah orang nak datang,” jelasnya.

Menurutnya, jumlah pelanggan lebih ramai ketika hujung minggu berbanding hari biasa menyebabkan peniaga berdepan kesukaran menampung kos perniagaan.

“Di sini, peniaga agak ramai, (tetapi) pelanggan datang hujung minggu saja, Sabtu Ahad dan cuti. Kalau hari biasa Isnin sampai Jumaat, tengoklah keadaan macam nilah, tak ada orang, kurang orang.

“Macam mana peniaga nak menampung dengan kos sewa berlipat kali ganda,” maklumnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar sewaan yang meningkat berbanding sebelum ini.

“Dulu sewa dalam RM140 ke RM160, bawah RM200 masih lagi boleh. Dengan keadaan sekarang lebih kurang dekat-dekat RM400 sewa.

“Dengan jenis perniagaan yang sama, boleh ke orang maju dan berjaya kalau tak ada cara macam ini?” soal beliau.

Peniaga perlukan sokongan

Alizan berharap pemimpin yang bakal dipilih kelak dapat memberi perhatian terhadap usaha membantu peniaga meningkatkan pendapatan selain mendengar rintihan mereka.

“Kalau ada pemimpin yang akan datang ini boleh mengusahakan macam mana untuk kemajuan peniaga-peniaga, tambah lagi pendapatan, patut diusahakan macam itu. Sekurang-kurangnya dapat mendengar rintihan,” nasihatnya.

Beliau turut menyatakan keperluan menyediakan kemudahan tempat proses bagi peniaga ayam segar supaya dapat mengurangkan beban kos.

“Kita peniaga ayam segar ini ada masalah. Kita perlukan tempat proses kita sendiri. Contohnya Pasar Borong Selayang, belakang kedai pun dia buat tempat proses. Kita pun perlukan benda macam itu,” ujarnya.

Tambahnya, cabaran sama turut dirasai peniaga lain termasuk peniaga daging, sayur dan ikan.

“Kalau tengok sendiri keadaan kita meniaga macam meniaga bermusim, macam meniaga Pekan Rabu pula,” ulasnya.

Ampangan kawasan istimewa

Alizan menyifatkan Ampangan sebagai kawasan yang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kedudukannya yang strategik dalam Seremban.

“Ampangan ini memang macam tengah-tengah. Laluan ke Jelebu, Kuala Pilah, Rasah, Senawang.

“Kalau dalam pekan Seremban ini, dia pusat, kat tengah-tengah ini, dengan peratus penduduk lebih kurang 70 peratus Melayu Islam,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kelebihan Ampangan perlu dilihat pemimpin kerana kawasan itu melahirkan ramai individu yang membawa nama Negeri Sembilan dalam pelbagai bidang.

“Ampangan ini saya rasa dalam Negeri Sembilan inilah kampung yang paling hebat seperti Kampung Baru atau Keramat.

“Ramai orang di Ampangan ini yang bawa nama Negeri Sembilan, daripada segi pentadbiran, sukan dan pelbagai bidang,” katanya.

Pilih pemimpin fahami keadaan Ampangan

Beliau mengharapkan wakil rakyat yang dipilih kelak benar-benar memahami keadaan Ampangan termasuk latar belakang penduduk serta peniaga.

“Tak kisahlah siapa memerintah, tapi eloklah orang yang faham keadaan dan anak jati Negeri Sembilan, anak jati Ampangan.

“Faham keadaan persekitaran, faham keadaan peniaga terutama peniaga Pasar Ampangan ni kita kita alu-alukan,” katanya.

Mengulas ciri pemimpin yang diharapkan menjadi wakil rakyat Ampangan, Alizan menegaskan individu dipilih perlu sentiasa turun padang dan memahami keadaan kawasan.

“Pemimpin ini sering bertukar-tukar. Saya tengok mana-mana pemimpin pun selalunya akan datang bila nak mengundi, bila perlukan datang melawat. Jarang yang lepas menang datang semula,” kesalnya.

Menjelang hari pengundian, Alizan menyeru pengundi DUN N.14 Ampangan membuat pilihan terbaik demi masa depan kawasan itu.

“Kepada penduduk sekitar Ampangan dan DUN N.14 ini, kita buatlah pilihan yang terbaik, pilihan yang rasa-rasa menjamin Ampangan ini, menjaga penduduk dan persekitaran,” serunya. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -