
MACHANG: Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan semula jadi terutama hutan yang merupakan anugerah Allah SWT kepada rakyat Kelantan.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sehingga kini keluasan hutan simpan kekal Kelantan lebih 629,000 hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri.
Katanya kerajaan negeri akan terus komited mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi untuk kesejahteraan hidup masyarakat sejagat.
“Saya percaya sektor perhutanan akan terus memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang kepada hasil kerajaan negeri untuk masa hadapan.
“Dalam masa yang sama kerajaan negeri akan terus menyokong dan mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal daripada kementerian terutama projek berkaitan dengan eko-pelancongan dan biodiversiti hutan.
“Ia menjurus ke arah aspek kestabilan dan pengekalan alam sekitar. Ini sejajar dengan keperluan dan matlamat bagi meningkatkan hasil dan perkhidmatan hutan melalui pelbagai aktiviti perhutanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di Taman Eko Rimba Bukit Bakar dekat sini hari ini.
Hadir sama Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan Pengarah Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah.
Tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun ini ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’.
Sempena program tersebut menteri besar turut merasmikan Pokok Chengal sebagai pokok rasmi bagi Kelantan dan pelancaran Pelan Induk Pembangunan Hutan Simpan Ulu Sat dan Buku Trans Ulu Sat: Recreation Opportunity Spectrum & Pengurusan Risiko.
Pelan Induk Pembangunan Hutan Simpan Ulu Sat dihasilkan untuk memberi panduan kepada Jabatan Perhutanan bagi merancang pembangunan produk ekopelancongan di Hutan Simpan Ulu Sat. – HARAKAHDAILY 21/3/2022




















