Operasi ‘airport’ Pengkalan Chepa hampir 100 peratus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa kini kembali beroperasi sepenuhnya setelah penggunaannya hampir mencecah 100 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, penggunaan LTSIP kembali seperti sebelum wabak Covid-19 melanda.

Katanya, situasi itu secara tidak langsung dapat merancakkan kembali perkembangan ekonomi Kelantan.

- Advertisement -

“Pemulihan tersebut cukup pantas dan sudah menyamai situasi sebelum Covid-19 melanda. Ini kerana LTSIP mempunyai penerbangan ulang alik ke Kuala Lumpur; Subang, Kuching, Kota Kinabalu, Johor dan Pulau Pinang serta Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat berkaitan perkembangan terkini Projek LTSIP Pengkalan Chepa di sini semalam.

Sebelum itu, Mustapa dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail meninjau perkembangan projek pembesaran lapangan terbang terbabit.

Menurutnya, situasi tersebut menjadi petanda baik perkembangan projek pembesaran LTSIP dijangka siap dalam tempoh lebih singkat.

“Projek ini cukup penting buat rakyat Kelantan kerana ia akan menjadi pemangkin ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP Pengkalan Chepa membabitkan kos RM440 juta dijangka siap pada pertengahan tahun 2024.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan bangunan terminal baharu yang mengasingkan balai ketibaan dan pelepasan. Bangunan terminal baharu mampu mengendalikan empat juta penumpang setahun.

Selain itu pembinaan tempat letak kereta bertingkat, jambatan udara (aerobridge) ditambah lima menjadikan keseluruhannya lapan.

TSIP antara lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini dengan mengendalikan 1.8 juta penumpang setahun. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -