Hujan lebat berterusan: Puluhan ribu penduduk Sydney dipindahkan

Orang ramai terperangkap dalam banjir besar di bandar Lismore selepas hujan lebat melanda di timur laut New South Wales, Australia, pada 28 Februari 2022. (FOTO Reuters)
- Advertisement -

SYDNEY: Berpuluh-puluh ribu rakyat Australia meninggalkan kediaman masing-masing dan pihak berkuasa memindahkan mereka ke penempatan di hospital pada hari ini (2 Mac) ketika hujan lebat berterusan melanda pantai timur negara itu.

Sebelas orang maut sejak cuaca ekstrem melanda Australia lewat minggu lalu, menenggelamkan pusat bandar, kediaman penduduk dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Sementara ribut turut melanda dari negeri Queensland hingga ke negeri jirannya, New South Wales (NSW) dan dijangka melanda Sydney, yang menempatkan populasi kira-kira 5 juta, pada lewat hari ini.

- Advertisement -

Menteri Perkhidmatan Kecemasan NSW,  Stephanie Cooke berkata pada pagi Rabu, beratus-ratus penduduk kini terjejas. 

Menurut Biro Meteorologi Australia pula, penduduk Sydney harus bersiap sedia untuk  mengalami hujan lebat yang ‘terkumpul’ selama berbulan-bulan yang akan melanda bandar raya hanya dalam tempoh beberapa jam.

Ia adalah susulan laporan bahawa Empangan Warragamba, bekalan air utama bandar raya berkenaan mula melimpah pada pagi hari ini.

Sebuah bangsal kelihatan tenggelam hampir ke paras bumbung di tebing Sungai Clarence yang melimpah di Grafton, kira-kira 130 km dari bandar Lismore di New South Wales pada 1 Mac 2022. (FOTO AFP)

Biro cuaca negara itu memberi amaran kepada penduduk Sydney dan kawasan sekitarnya  bahawa jumlah hujan yang akan turun boleh mencecah sehingga 200 mm (8 inci) dalam tempoh enam jam kemudian. 

Menurut data rasmi sebelum ini, purata taburan hujan Sydney untuk Mac dijangka pada 138 mm.

Sementara itu, di bandar utara Ballina, para pesakit di hospital utama telah dipindahkan, menjelang hujan lebat yang dijangka akan menyebabkan banjir besar di lokasi berkenaan.

Banjir besar di bandar Lismore selepas hujan lebat melanda di bahagian timur laut New South Wales pada 28 Februari 2022 (FOTO AP Images/Reuters)

Di Lismore, sebuah bandar yang agak jauh ke utara Australia yang dilanda banjir besar pada Selasa (1 Mac), penduduk menunggu paras air surut bagi  membolehkan perkhidmatan kecemasan menghubungi mereka dengan membawa  bekalan bantuan kecemasan.

Krew kecemasan NSW menjalankan 300 penyelamatan banjir selepas mendapat 2,200 permintaan bantuan kecemasan semalam. 

Helikopter tentera mengangkut orang ramai yang terkandas dari atas bumbung, manakala pemandu dan haiwan yang terkandas diselamatkan dari jambatan di lokasi berkenaan selepas air banjir yang  deras menenggelamkan kedua-dua hujung jambatan berkenaan. – ABC

- Advertisement -