99 peratus kes Omicron kategori 1 dan 2

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Walaupun negara mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 varian Omicron, lebih 99 peratus kes harian yang dicatatkan adalah pada kategori dan 1 dan 2.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata trend peningkatan kes Covid-19 baharu melebihi 10,000 kes sehari akibat varian Omicron bermula pada 6 Februari lalu, iaitu sebanyak 10,089 kes.

- Advertisement -

Katanya, jumlah kes positif baharu sebanyak 32,070 pada 24 Februari lalu, menjadikan jumlah itu sebagai kes harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Walaupun trend kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron meningkat, kadar discaj dari hospital juga naik dengan mendadak memandangkan kadar sembuh yang tinggi dan tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan,” katanya menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berbanding varian Delta, Khairy berkata Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan dan sifat ini memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah serta pantas.

Selain itu, katanya Omicron kurang berkapasiti menjangkiti tisu paru-paru dan ini mungkin menjelaskan mengapa individu yang dijangkiti varian tersebut mempunyai jangkitan lebih ringan, berbanding varian Delta.

Sejak awal Februari lalu, katanya terdapat peningkatan bilangan pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kes kematian harian.

Namun, katanya jumlah itu adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu ketika gelombang Delta walaupun kes ketika ini adalah lebih tinggi.

“Kesan decoupling yang membolehkan indikator sistem kesihatan terkawal berlaku kerana beberapa faktor seperti liputan vaksinasi tinggi, iaitu 78.9% populasi Malaysia menerima vaksinasi lengkap; kadar regresi pesakit Covid-19 kepada kategori 3 hingga 5 yang rendah; kadar sembuh yang tinggi serta tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, katanya Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai langkah bagi menghadapi cabaran gelombang Omicron, iaitu pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 yang setakat 28 Februari lalu, kadar liputan adalah 62 peratus populasi dewasa.

Beliau berkata, kementerian juga menambah baik pengurusan Covid-19 melalui pendekatan FTTIS (Cari, Uji, Kesan, Asingkan dan Sokong) yang diautomasikan.

“Kerjasama dengan fasiliti kesihatan swasta dalam pengurusan kes Covid-19 dengan hospital swasta menyediakan katil bagi merawat kes Covid-19. Pengamal perubatan swasta juga dilibatkan dalam pemantauan kes positif yang diasingkan di rumah.

“Kementerian juga membangunkan Laluan Penjagaan Klinikal Covid-19 bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal ketika mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk,” katanya.

Menurutnya, Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas (RTTF 2.0) juga diaktifkan semula mulai 7 Februari lalu untuk memastikan akses ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital terjamin serta melakukan pemantauan kes positif melalui Pusat Penilaian Covid-19 secara maya (VCAC). – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -