Siasatan sivil: Mahkamah arah Trump, anak-anaknya beri keterangan

- Advertisement -

NEW YORK: Bekas Presiden  Amerika Syarikat,  Donald Trump, serta anak-anaknya, Ivanka dan Donald Jr., diarahkan mahkamah untuk memberikan keterangan dalam siasatan sivil Peguam Negara New York mengenai amalan perniagaan mereka.

Hakim Mahkamah Agung New York,  Arthur Engoron pada Khamis (17 Feb) turut menolak percubaan untuk membekukan proses siasatan yang sedang dijalankan Peguam Negara, Letitia James, berhubung sama ada Trump mengelirukan pemberi pinjaman, syarikat insurans atau pihak lain dalam penyata kewangan perniagaan keluarganya.

- Advertisement -

Sepanjang perbicaraan selama dua jam pagi Khamis sebelum membuat keputusannya, hakim  tersebut sebanyak beberapa kali telah menyatakan keraguan terhadap hujah Trump bahawa hak perlembagaan anak-anaknya dan dirinya sendiri akan terjejas sekiranya ketiga-tiga mereka memberi keterangan dalam siasatan sivil.

“Hujah (Trump)  itu ‘benar-benar meleset’,” tulis Engoron dalam perintah bertulis mahkamah  yang dikeluarkan pada petang Khamis. 

Dalam hujahnya, Engoron berkata, Trump dan dua anaknya itu mempunyai hak untuk menolak menjawab soalan khusus dalam siasatan sivil berkenaan, seperti yang dilakukan oleh anak ketiga Trump, Eric ketika dia hadirmemberikan keterangan dalam siasatan sivil sebelum ini.

Engoron juga mengecam Organisasi Trump kerana mendakwa bahawa siasatan yang dilakukan James boleh dipertikaikan susulan firma perakaunan lama bekas Presiden itu, MazarsUSA, baru-baru ini memutuskan bahawa penyata kewangan bagi tempoh 10 tahun terakhir yang disediakannya tidak boleh dipercayai kesahihannya.

Keputusan Mahkamah Agung New York itu adalah yang terbaharu dalam siri kekalahan undang-undang yang dialami oleh bekas Presiden itu, yang sebelum ini berusaha keras untuk menangkis penyiasatan dan tindakan undang-undang yang melibatkan organisasi perniagaannya.

Terdahulu, Organisasi Trump baru-baru ini telah dikembalikan sebagai defendan dalam kes yang dibawa oleh Peguam Negara Washington DC, Karl Racine, yang mendakwa dana untuk  sebuah majlis perasmian Trump pada tahun 2017 telah disalahgunakan.

Dalam kes berkenaan, mahkamah Washington juga pada Khamis memutuskan bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangan Organisasi Trump, Allen Weisselberg perlu hadir untuk memberi keterangan di hadapan Racine.

Dalam kes yang diputuskan Mahkamah Agung New York itu juga, Engoron mengarahkan Trump dan dua anaknya itu agar membuat deposit dalam tempoh 21 hari dari perintah yang telah dikeluarkannya, dan hakim memberikan tempoh 14 hari buat bekas Presiden itu untuk mematuhi tuntutan peguam negara untuk menyediakan dokumen dan rekod tertentu sebelum hadir untuk memberikan keterangan.

“Dalam analisis akhir, Peguam Negara mula menyiasat entiti perniagaan (Trump dan dua anaknya), mendedahkan banyak bukti kemungkinan penipuan kewangan, dan mahu mempersoalkan, di bawah sumpah (undang-undang), beberapa prinsip entiti berkenaan, termasuk namanya. Beliau (Peguam Negara)  mempunyai hak yang jelas untuk berbuat demikian,” tulis Engoron lagi.

Sementara Ronald Fischetti, peguam yang mewakili Trump, memberitahu CNN bahawa dia akan membuat rayuan terhadap keputusan dibuat mahkamah New York, selain perintah mahkamah tersebut ditangguhkan.

“Kami kalah sebelum berhujah. Saya memberitahu anak guam saya (Trump) bahawa saya tidak mempunyai sebarang harapan bahawa hakim ini (Engoron) akan memberikan kelegaan yang kami mahukan,” ulas Fischetti.

Peguam untuk anak-anak Trump (Ivanka dan Donald Jr.), Alan Futerfas pula memberitahu CNN, kedua-dua anak guamnya  berkemungkinan akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah New York tersebut. – Agensi

- Advertisement -