Dapat manfaat PN hapus hutang peneroka Felda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Generasi kedua Felda Tenggaroh mengakui ibu bapa mereka menerima manfaat daripada langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghapuskan hutang peneroka Felda.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Mohd Fazli Tumpang ketika beliau bersarapan di Warung Wak Long Corner Felda Tenggaroh 3, Mersing, semalam.

Beliau berada di situ sempena majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Mersing yang diadakan malam semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, banyak juadah disediakan di warung yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Mohd. Fazli Tumpang dan isterinya Jamilah Burabir.

“Antaranya nasi dagang Terengganu, nasi lemak, nasi himpit dan pelbagai lagi dan semua enak-enak belaka,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Katanya, Mohd Fazli dan Jamilah merupakan generasi kedua Felda Tenggaroh dan mengusahakan kedai makan sejak beberapa tahun lalu.

Jelasnya lagi, Mohd Fazli juga antara penerima faedah Geran Khas Prihatin (GKP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dua tahun lalu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

“Beliau bersyukur inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu peniaga dan penjaja kecil sedikit sebanyak telah meringankan beban hidup mereka yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut beliau, Mohd Fazli memberitahu, kedua orang tuanya turut menerima manfaat daripada langkah kerajaan PN menghapuskan hutang peneroka Felda tahun lalu.

Kata Muhyiddin lagi, seperti selalu, beliau juga mengambil peluang berbual dan bertanya khabar dengan penduduk setempat yang kebetulan turut bersarapan di warung tersebut.

Tambahnya, rata-rata yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana sudah dapat menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik terutama selepas kerajaan PN melaksanakan program imunisasi secara besar-besaran sehingga membolehkan banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

“Ketika saya berbual dengan Haji Shukor Abas, beliau menceritakan bagimana pandemik memberi kesan teruk kepada perniagaan inap desa yang diusahakannya.

“Tidak ada orang yang mahu menyewa kerana sekatan pergerakan sekali gus menjejaskan pendapatan bulanan tambahannya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Haji Shukor juga mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menghapus dan menyelaras balik hutang para peneroka Felda yang dilaksanakan oleh kerajaan PN tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berdoa semoga perniagaan warung Mohd Fazli dan inap desa Haji Shukor akan terus maju dan mendapat sambutan. – HARAKAHDAILY 18/2/2022

- Advertisement -