
KOTA BHARU: Kerja-kerja pembinaan Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan di bawah Pakej Dua, giat dilaksanakan dengan kemajuan fizikal semasa projek adalah sebanyak 37 peratus setakat ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tangki-tangki berkenaan dijangka boleh mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan 2022 dan siap sepenuhnya pada Jan 2023.
“Di bawah Pakej Dua ini, ia melibatkan 53 penggantian dan pembaikan tangki di sekitar jajahan Kota Bharu, Tumpat, Machang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.
“Setelah projek penggantian dan pembaikan tangki siap, peningkatan kapasiti storan sebanyak 31.2 juta liter akan memberi manfaat kepada 175,000 pengguna,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Program NRW Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan dekat Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata pelaksanaan program itu membabitkan empat skop kerja iaitu penggantian dan pemasangan meter System Input Volume (SIV), penukaran meter pengguna, pembangunan Geographical Information System (GIS) dan membaiki serta menukar tangki-tangki lama yang telah bocor atau rosak.
“Penukaran 56,000 meter air akan memberikan bacaan yang lebih tepat terhadap penggunaan air dan secara keseluruhan program ini akan meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan kawalan NRW di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata program NRW Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan terdiri daripada dua pakej yang juga projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 membabitkan kerja-kerja pembinaan berjumlah RM69.1 juta bertujuan untuk menaik taraf kemudahan asas pengukuran kadar NRW lebih tepat. – BERNAMA




















