
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Kekuatan jentera bagi sesebuah parti mampu memberikan impak besar kepada parti bagi meraih sesuatu di luar jangkaan dalam mana-mana pilihan raya.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata jentera PAS yang dikerahkan bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diharapkan mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Ini kerana menurut beliau, kekuatan jentera dalam PRN Johor akan memberikan gambaran bagi mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Jangan dilihat PRN Johor ini sebagai satu pilihan raya semata-mata kerana kita juga akan menghadapi PRU yang lebih besar berbanding dengan PRN.
“Jadi sewajarnya jentera-jentera yang digerakkan sekarang ini bukan sekadar berdepan dengan PRN Johor tetapi sebagai persiapan untuk menghadapi PRU15 yang lebih besar impaknya terhadap negara,” katanya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai peluang PAS untuk menang di Johor, kata Ir Khairil Nizam, menang atau kalah adalah adat dalam pertandingan pilihan raya.
Katanya, apa yang lebih penting adalah persediaan jentera PAS untuk menghadapi PRN Johor, dan juga PRU15 yang dijangka diadakan lebih awal.
“Setiap pilihan raya yang kita masuki ini, pastinya ada pelbagai risiko, menang dan kalah itu adat dalam bertandinglah.
“Kalau betul dari sudut pengurusan kita, dan bacaan politik dan analisis yang kita lakukan, insya-Allah kemungkinan kemenangan itu ada, kalau sebaliknya maka kita kena berusaha dengan lebih keras untuk kita menghadapi keadaan berikutnya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 11/2/2022











