
MENGHARAPKAN keterbukaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi secara umumnya, untuk memberikan perhatian serius terhadap resolusi yang dihasilkan sempena Seminar Pembangunan Mahasiswa Holistik 2022.
Di antara cadangan yang penting ialah agar semakan semula dibuat ke atas Kursus Umum Wajib Universiti supaya Kursus Pendidikan Islam dapat dijadikan kursus umum wajib bagi pelajar Muslim di universiti.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan pendidikan seimbang dari aspek Intelek, Rohani, Emosi dan Jasmani. Namun aspek rohani tidak diserap dalam kurikulum universiti. Bagi orang Islam pembangunan rohani mesti berteraskan Al-Quran dan Sunnah dan dilaksanakan mengikut manhaj Islami.
Adakah kursus umum sedia ada iaitu ‘Falsafah dan Isu Semasa’ serta ‘Penghayatan Etika dan Peradaban’ mampu memenuhi keperluan ini? Adakah kursus umum sebelum ini iaitu TITAS dan Hubungan Etnik telah berjaya melahirkan graduan Muslim yang holistik? Adakah wajar tradisi pendidikan jiwa Muslim berteraskan wahyu dikorbankan demi keseragaman dengan peratusan kecil non-Muslim di universiti (terutamanya universiti awam)?
Dalam seminar semalam PM Dr Abdul Aziz Mat Isa, Pengarah Pusat Islam UNITEN menjelaskan bahawa Kursus Pendidikan Islam dijadikan kursus wajib di UNITEN sejak dari awal hingga sekarang. Apa yang menarik beliau menyebut bahawa sistem berkenaan diadaptasi dari amalan di UTM yang mewajibkan kursus pendidikan Islam untuk pelajar-pelajar Muslim sesuai dengan aspirasi Naib Canselor pertama UTM, Al-Marhum Tan Sri Ainuddin Wahid.
Walau bagaimanapun UTM kemudiannya akur dengan keputusan Kementerian dan Kabinet yang menyelaraskan Kursus Umum Wajib kepada TITAS dan Hubungan Etnik, dan kini kepada ‘Falsafah dan Isu Semasa’ dan ‘Penghayatan Etika dan Peradaban’.
Diharapkan agar suara kecil dan sayup-sayup kami ini didengari. Moga rakan-rakan yang prihatin juga sudi turut sama menyuarakan isu yang penting ini. Isu pendidikan bukan isu popular. Kritikan dan pandangan kedua dalam isu pendidikan jarang diberi perhatian. Melainkan selepas kebobrokan dan kerosakan menjadi sudah parah dan sukar dipulihkan. Adakah kita mahu menunggu nasi menjadi bubur?
PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Penolong Pengarah
Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – HARAKAHDAILY 11/2/2022
https://www.utm.my/directory/staff/fathi.kl
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002592335141/posts/4825451177551246/











