Mahkamah Karnataka larang sementara pelajar pakai hijab

- Advertisement -

BENGALURU: “Mereka membuatkan kami perlu memilih antara keimanan dan pendidikan. Apakah bentuk kesamarataan ini? kata A H Almas, seorang pelajar mempertikaikan perintah sementara mahkamah mengarahkan pelajar tidak memakai pakaian berkaitan agama.

Perintah sementara itu dikeluarkan sehingga keputusan berhubung petisyen bagi membatalkan larangan memakai hijab oleh pelajar Islam diputuskan oleh mahkamah.

- Advertisement -

Mahkamah di negeri Karnataka sedang mempertimbangkan petisyen itu yang mencabar larangan memakai hijab yang dikuatkuasakan di institusi pendidikan sejak beberapa minggu lalu.

“Kami akan membuat keputusan, tetapi sehingga perkara ini diselesaikan, tiada pelajar boleh berkeras untuk memakai pakaian berkaitan agama,” lapor agensi berita Press Trust of India yang memetik kenyataan Ketua Hakim, Ritu Raj Awasthi.

Mahkamah juga mengarahkan negeri Karnataka yang diperintah oleh parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) membuka semula sekolah yang ditutup selama tiga hari berikutan peningkatan bantahan terhadap larangan memakai hijab sejak awal minggu ini.

Bantahan timbul sejak bulan lalu selepas sekolah kerajaan di daerah Udupi, melarang pelajar memakai hijab memasuki kelas.

Keadaan ini menimbulkan perasaan bimbang di kalangan pelajar Islam yang menegaskan paksaan itu bertentangan dengan hak beragama yang diperuntukkan dalam Perlembagaan India yang majoriti penduduk beragama Hindu.

Isu hijab juga menjadi viral selepas seorang pelajar perempuan, Muskan Khan, yang memakai hijab di Mandya, diserbu sekumpulan lelaki yang melaungkan slogan agama Hindu dan dibalas pelajar perempuan berkenaan dengan laungan “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar).

Kejadian di kolej milik kerajaan, Selasa lalu, menyebabkan Muskan Khan diangkat sebagai hero mempertahankan pemakaian hijab di media sosial kerana keberaniannya berdepan kumpulan lelaki terbabit.

Isu hijab di Karnataka juga menyebabkan protes berlaku di tempat lain seluruh India. Penunjuk perasaan turut ditangkap di ibu negara, New Delhi. Semalam, pelajar berarak di beberapa bandar lain seperti Hyderabad dan Kolkata. – TRTWorld.

- Advertisement -