
AMMAN: Hampir 200 telefon pintar milik wartawan, aktivis dan anggota mahkamah diraja Jordan adalah antara ribuan yang menjadi sasaran skandal penggodaman Pegasus yang dikaitkan dengan sebuah syarikat milik Israel, NSO Group.
Pada pertengahan tahun lepas, aplikasi perisikan gred tentera ciptaan NSO Group dari Israel dikenali sebagai Pegasus dikatakan telah menyusupi peranti telekomunikasi seperti telefon pintar milik lebih 50,000 individu yang terdiri daripada pemimpin negara, wartawan, pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, peguam dan aktivis daripada seluruh dunia.
Menurut laporan sebuah agensi berita Jordan, penerbit Ammon News, Samir Hiari berkata beliau telah dimaklumkan tentang perkara itu oleh seorang wartawan Reuters yang sedang membuat laporan mengenai skandal berkenaan.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Apple telah menghantar mesej tentang kemungkinan berlaku penggodaman telefon terhadap beberapa warga Jordan, termasuk peguam dan aktivis, Hala Ahed Deeb; selebriti media sosial berpengaruh, Deema Amad; dan Senator Mustafa Hamarneh.
Pada 17 Januari tahun ini, telefon biimbit Deeb dan seorang aktivis Bahrain, Ebtisam Al-Saegh dilaporkan telah menjadi mangsa penggodaman Pegasus.
“Sebaik sahaja kami mengumpul maklumat, didapati bahawa kira-kira 200 telefon pintar warga Jordan sudah menjadi mangsa penggodaman syarikat syarikat yang dikaitkan dengan Israel, yang termasuklah antaranya anggota mahkamah diraja dan ahli jawatankuasa Olimpik dan aktivis.
“Telefon pintar mangsa yang digodam menyebabkan segala-galanya yang ada dalam telefon mereka dipadamkan termasuk kandungan WhatsApp, mesej, foto, video dan mesej teks,” ujar laporan berkenaan.

Wartawan Ammon News, Ahmad Hiari memetik sumber media Amerika Syarikat pula dilaporkan sebagai berkata, masih tidak jelas sama ada ‘mana-mana pihak tempatan bekerjasama dengan Tel Aviv dalam penggodaman (telefon pintar)’ tersebut.
Dalam pada itu, pengasas bersama dan bekas pengarah eksekutif Arab Reporters for Investigative Journalism, Rana Sabbagh memberitahu Arab News, bagaimana dia mendapati telefon pintarnya telah digodam.
“Seorang rakan memberitahu saya bahawa mereka menerima mesej daripada Apple … jadi saya memutuskan untuk menghantar kedua-dua telefon pintar saya kepada pakar keselamatan data OCCRP untuk diuji,” ujarnya.
Sabbagh, yang kini seorang editor kanan di Projek Pelaporan Jenayah dan Rasuah Terancang Jordan, berkata, ujian forensik menunjukkan kedua-dua telefon bimbitnya itu telah digodam pihak tertentu.
“Didapati dua telefon bimbit saya itu masing-masing telah digodam sejak Julai 2020 dan April 2021. Seorang lagi rakan sekerja dari organisasi yang sama mendapati telefonnya digodam sejak September 2021,” katanya lagi.

Menurut Sabbagh yang merupakan seorang wartawan veteran Jordan dan bekas ketua pengarang Jordan Times, skandal penggodaman itu sangat membimbangkan dirinya.
“Ia adalah sangat menjengkelkan apabila anda mendapati bahawa seluruh hidup anda telah diceroboh besar-besaran. Mereka merampas semua dokumen, foto dan video dalam telefon pintar kami. Saya tidak pasti sama ada penggodaman dari dalam negeri (Jordan) atau antarabangsa.”
Hiari pula berkata bahawa dia kini bimbang tentang bagaimana maklumat yang digodam itu mungkin digunakan pihak tertentu.
“Saya tahu bahawa sentiasa ada usaha untuk mengintip telefon bimbit kami. Tindakan ini tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang dan kita tahu ini berlaku. Saya khuatir tentang bagaimana maklumat itu digunakan.
“Saya bimbang tentang individu yang mungkin akan diperas ugut, jadi kita memerlukan perlindungan antarabangsa,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang peguam Palestin dan warganegara Israel, Botrus Mansour memberitahu Arab News bahawa perisian Pegasus ciptaan NSO Group itu adalah sebahagian daripada ekosistem keselamatan Israel.
“Sistem itu telah digunakan bukan sahaja terhadap rakyat Palestin dan orang lain di seluruh dunia tetapi juga untuk menggodam telefon pintar warga Israel sendiri, termasuk pengarah kementerian dan datuk bandar tanpa sebarang waran undang-undang.
“Apa yang berlaku di wilayah yang diduduki dicerminkan dalam negara Israel sendiri dan telah menyebabkan penghakisan besar nilai-nilai demokrasi di Israel walaupun terhadap negara itu sendiri – fenomena yang dipercepatkan oleh percubaan perdana menteri Israel terakhir sebelum ini untuk melarikan diri daripada tindakan mahkamah,” jelas Mansour.
Sementara itu, pengulas politik Israel yang berpangkalan di Haifa, Wadie Abu Nassar memberitahu Arab News bahawa Israel telah melanggar garis merah moral sebelum ini.
“Pengintipan adalah tabiat lama di Israel. Garisan merah (moral) telah lama dilanggar sejak dahulu tetapi baru kini ia didedahkan dengan bukti bahawa ia telah dimanipulasi secara sistematik terhadap semua orang,” katanya. – Agensi




















