Ziarah Merdeka jejaki ‘peneroka emas’ FELDA Lurah Bilut

- Advertisement -

BENTONG: PAS Cawangan Bilut telah mengadakan Ziarah Merdeka dan serahan bakul makanan kepada ‘peneroka emas’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 di FELDA Lurah Bilut, di sini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah memimpin delegasi diiringi Ketua PAS Bilut, Hosman Mat Ali menyantuni para perintis FELDA pertama negara yang penuh bersejarah itu.

“Asalnya kami merancang menziarahi warga FELDA yang dikuarantin akibat COVID-19, tetapi ‘menambah nilai’ program ini bertepatan semangat Hari Kemerdekaan. FELDA Lurah Bilut dirintis 616 peneroka awal, kini hanya beberapa orang sahaja masih hidup,” ujar Hosman.

- Advertisement -

Antara mereka itu adalah Abu Bakar Ibrahim, 73 dan Sulong Mat, 91 serta Borhan Ismail, 83 yang juga ahli As-Sabiqun PAS Bilut, selain bekas Ketua Kampung FELDA Lurah Bilut, Kamaruddin Mad Doa, 82 dan Apachi Ammasy, 83.

Delegasi menyaksikan tubuh yang pernah berbudi memugar tanah rancangan tersebut kini sangat uzur, namun berusaha melangkah sekalipun dengan bantuan tongkat di sebalik hiba terzahir menerima kunjungan delegasi.

Menurut Khairuddin Abdullah, PAS sejak sebelum penubuhan rasminya lagi telah mengucur keringat menuntut kemerdekaan, dan pasca Merdeka pula menjadi salah sebuah parti yang turut sama membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Sehingga ke hari ini, PAS konsisten dan istiqamah berjuang dan bekerja meneruskan legasi pejuang terdahulu. PAS berjaya menonjolkan sebagai sebuah parti politik Islam yang berperanan besar menjadi ‘King Maker’ perpaduan sejak dahulu hingga kini.

“Atas semangat roh perjuangan Islam itulah, kami gagahkan hati dan kaki untuk terus melangkah dan tidak pernah berhenti berbakti serta tidak pernah berkira-kira untuk ‘memberi’ demi rakyat. Biarlah apa orang nak kata, rakyat memerhati,” ujarnya bersemangat.

Tambah beliau lagi, sudah 64 tahun masyarakat majmuk di dalam negara ini yang terdiri daripada tiga rumpun utama diterajui bangsa Melayu, diikuti kaum Cina dan India serta lain-lain kaum hidup aman, makmur dan sejahtera.

Khairuddin mahu masyarakat memelihara ‘resepi’ perpaduan ini dan jangan biarkan pihak luar atau mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab merenjut kebahagiaan dan keharmonian Keluarga Malaysia.

Turut hadir, adalah waris generasi pertama merangkap Ketua Kampung FELDA Lurah Bilut, Zulkifli Mad Yunus yang bertindak sebagai ‘penunjuk arah’ mengiringi lori sarat dipenuhi 30 pek makanan dan beras sumbangan PAS Bilut.

Lurah Bilut merupakan projek rintis Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dengan objektif membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat di luar bandar. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -