
JERAI: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Nibong Tebal telah mengadakan Operasi Amal ‘Clean and Clear’ (C&C) sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 di Kem Kenari, Yan, di sini semalam.
Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff mengetuai sendiri pasukan terdiri daripada 34 anggota ini yang juga disertai PAS Kawasan Kuala Kedah dan Pertubuhan Gerakan Amal Bersama (GRAB).
Kumpulan ini telah diselia oleh Ketua Ulamak PAS Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan turut dibantu Setiausaha Ulamak PAS Kedah, Ustaz Yusuf Ahmad selaku Pengarah Ops Cuci Kem Kenari.
Komitmen pasukan uniform merah ini mengujakan pemilik kem yang turut sudi menyediakan makan minum petugas, selain mereka juga diraikan dengan taujihat khas Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya.
Malah, penat jerih mereka yang hadir lengkap dengan jentera dan peralatan seperti jentolak mini, water jet pump, kereta sorong, penyodok dan cangkul diberi ‘kejutan’ motivasi dengan kehadiran Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.
“Mewakili PAS Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah saya mengucapkan tahniah dan terbaik atas usaha anda membantu di sini dan memberi nilai tambah kepada PAS atas AMAL di bawah entiti PAS,” ujarnya.
Nor Zamri dalam pada itu memberitahu bahawa operasi pihaknya itu merupakan kali keempat ke lokasi bencana kepala air Gunung Jerai ini dan kali kedua khusus di Kem Kenari bagi melaksanakan kerja pembersihan.
Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada Dewan Ulamak PAS Kedah atas jemputan itu dan dua dermawan yang menyumbang jentera penyodok tanah bernilai RM15,500 iaitu masing-masing memberi RM10,000 dan RM5,500.
Katanya, aset tersebut sangat membantu memudahkan tugas berat dilakukan anggota AMAL tersebut, selain mempercepatkan pembersihan kawasan kem yang dilanda lumpur setebal dua kaki ekoran bencana itu.
Beliau sendiri turut menyumbangkan jamuan istimewa minum petang berupa roti Arab dicicah gulai ayam keluaran syarikatnya, Sejati Ummah Ent dari Sungai Acheh.
“Semoga tiga ciri keberkatan amal iaitu keikhlasan, hasil yang baik dan kemanisan ukhuwah menjadi azimat semangat buat kami untuk terus memikul slogan AMAL iaitu ‘Beramal Kerana Allah’,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/9/2021













