GENERASI lega kerajaan cakna isu peneroka Felda

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan di atas inisiatif yang ditawarkan kepada peneroka Felda berhubung isu pelupusan hutang mereka.

Presidennya, Ustaz Roslan Md Esa berkongsi, dalam satu sesi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, GENERASI menerima maklum balas yang baik berhubung 10 resolusi yang dihantar GENERASI sebelum ini.

Katanya, dalam sesi tersebut GENERASI disambut baik dan banyak perkara berhubung masalah peneroka Felda dikemukakan dan dibincangkan bersama pihak Felda dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“NGO GENERASI turut terlibat secara langsung, kita diundang untuk terlibat dalam sesi libat urus ini untuk memberi pandangan-pandangan kita.

“Terdahulu, kita menghantar resolusi atau memorandum kepada YB Menteri di bangunan Parlimen. Alhamdulillah, kita disambut baik dan banyak perkara yang diperkatakan, dibincangkan.

“Rentetan daripada pertemuan itu membawa kepada satu sesi precounsil yang melibatkan NGO GENERASI dengan pihak kawal selia Felda di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, di Putrajaya.

“Kita diminta untuk memberi penerangan dan penjelasan terhadap 10 resolusi, dan bagi pihak GENERASI saya berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang telah diberikan.

“Demikian juga apabila berlaku sesi perbincangan dua hala ini, banyak perkara yang kita mendapat maklumat daripada pihak pengurusan Felda.

“Mereka juga mendapat maklumat-maklumat yang ada di luar daripada pengetahuan mereka dengan apa yang berlaku di peringkat grass root ini melibatkan Felda dan juga peneroka melibatkan generasi (anak-anak peneroka) kedua, ketiga dan sebagainya,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily pada Isnin.

Tambah beliau, perbincangan bersama itu telah menjawab pelbagai persoalan, kebimbangan dan ketakutan peneroka berhubung isu pelupusan hutang dengan mengambil kira 10 resolusi yang dikemukakan GENERASi sebelum ini.

“Banyak perkara yang telah diperkatakan, dibincangkan, yang saya kira sebahagian daripada addendum pihak Felda keluarkan itu.

“Sebahagiannya telah dijawab secara jelas dan (saya) berpuas hati dengan apa yang telah diberikan (daripada) 10 resolusi yang kita kemukakan itu mengambil kira kebimbangan para peneroka, ketakutan peneroka dengan syarat-syarat yang dinyatakan.

“Saya tidak nafikan juga, (ada) di kalangan NGO-NGO membuat desakan, memberi pandangan.

“Namun Alhamdulillah, budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkan oleh kita semua telah membawa kepada satu titik yang saya sifatkan dia sebagai win-win situation.

“Penghapusan hutang peneroka Felda yang ditawarkan oleh Felda ini adalah the best choice yang ada pada peneroka yang berhutang.

“Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang paksaan kepada peneroka untuk tandatangan ataupun tidak, bergantung kepada kehendak peneroka itu sendiri.

“Kalau dia rasa dia hendak urus ladang sendiri, dengan tidak menurunkan tanda tangan terhadap perjanjian itu, maka dia tidak terlibat dalam tawaran penghapusan hutang tersebut.

“Jadi, peneroka yang urus ladang sendiri, tidak ada hutang. Mereka akan dapat insentif sepertimana yang dijanjikan oleh Felda,” ujarnya.

Selain itu kata Ustaz Roslan, beliau turut mengajukan soalan berhubung penyata hutang peneroka yang negatif.

Respon dari soalan itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa Felda akan membayar semula hutang-hutang tersebut kepada penerokanya.

Sementara itu, bagi peneroka yang gagal menguruskan ladang secara persendirian, kata Ustaz Roslan, tawaran yang diberikan Felda ketika ini adalah pilihan terbaik yang boleh dilakukan peneroka.

“Kita kena maklum bahawa jadi peneroka ini, masalahnya tidak sama. Ada yang mereka tidak mampu uruskan ladang, bahkan ada peneroka yang rumah sahaja ada. Tetapi ladang sudah terbengkalai, dibiar begitu sahaja.

“Walaupun dia berselindung di atas nama tanam sendiri, tetapi mudah saya sebut, gagal menguruskan ladang sehingga ladang terbiar dan tidak ada tanaman sawit pun atas ladang itu.

“Maka, peneroka-peneroka yang sebegini, inilah peluang sebenarnya. Waktu apabila ditawarkan untuk serahkan pengurusan ladang kepada Felda, saya rasa ini adalah the best choice untuk peneroka yang ada seperti ini.

“Demikian juga peneroka ladang getah, yang bercadang untuk menyerahkan ladang dan diurus oleh Felda dan pastinya nanti akan ditanam semula dengan tanaman kelapa sawit, dan inilah masa yang sesuai.

“Jadi, saya rasa banyak perkara yang telah diperkatakan, dan saya sendiri membuka pandangan-pandangan, isu isu yang berlaku di peringkat peneroka, di mana peneroka ini kalau maklumat yang saya ada, ramai juga yang telah memajak ladang,” katanya.

Jelasnya lagi, agak mustahil untuk Felda memastikan lebih 112,600 peneroka menandatangani tawaran yang diberikan, namun unuk mencapai 80 peratus daripadanya adalah tidak mustahil.

“Mungkin boleh capai, tetapi adapun daripada itu saya pun agak, agak sukar kerana mungkin boleh, tetapi perlu ada pelan jawatankuasa task force atau pelan yang strategi bagaimana hendak selesaikan (masalah) peneroka-peneroka yang telah memajak ladang mereka ini.

“Bukan cerita setahun dua, tetapi sudah bertahun-tahun lamanya. Ada juga peneroka yang, walaupun hari ini, ladang itu hari ini masih tertera namanya, tetapi hakikatnya sudah beberapa tahun, ladang itu menjadi milik orang, kerana dia dah jual.

“Dia jual dan dia sudah ambil duit, pulangan dan sebagainya, dan dia pun sudah berhijrah (dan) tidak mendiami lagi di tanah rancangan tersebut.

“Ketiga, ada kalangan peneroka yang telah memberanikan diri untuk memajak ladang.

“Ini pun satu perkara yang saya utarakan pada malam ini dalam sesi libat urus supaya pihak pengurusan Felda memberi perhatian. Kerana kita pun tidak bersetuju untuk tanah tanah Felda ini untuk dijualkan begitu,” katanya.

Justeru itu, beliau mewakili GENERASI mengucapkan terima kasih di atas kesudian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Pengerusi Felda, pihak penguusan Felda yang bersungguh mencari solusi kepada permasalah yang dihadapi segelintir peneroka.

“Felda akan gemilang, peneroka akan terus bersemangat. Kita ambil semangat tahun baru Hijrah ini untuk kita melakukan yang terbaik, untuk demi generasi kita di masa masa akan datang, dan Felda akan terus unggul di seantero dunia, Insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -