Perjuangan perangi Covid-19 belum berakhir

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Bagi meningkatkan lagi program vaksinasi di Perlis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) menyediakan kemudahan khas untuk penduduk di Dun Guar Sanji.

Program itu turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata seramai 420 individu mendaftarkan diri menerima suntikan vaksin sempena Program Vaksinasi Komuniti Dun Guar sanji yang berlangsung hari ini.

“Alhamdulillah sambutan penduduk tempatan menggalakkan, sekaligus membuktikan kesedaran mereka untuk menerima vaksin semakin tinggi.

“Sekiranya peratusan penerima vaksin ini mencapai 60 peratus dalam masa 10 hari lagi, insyaAllah Perlis boleh beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” katanya selepas meninjau Program Vaksinasi Komuniti Dun Guar Sanji di Dataran Behor Mentalon dekat sini.

Program itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang diadakan secara berfasa.

Mohd Ridzuan juga berkata, sasaran yang ditetapkan sekurang-kurangnya 3,000 individu diberi vaksin sehari.

“Saya difahamkan bilangan individu berusia 18 tahun ke atas yang menerima dua dos vaksin mencecah 49 peratus,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas inisiatif pihak berkenaan bagi memudahkan penduduk sekitar menerima suntikan vaksin Covid-19.

“InsyaAllah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Guar Sanji akan sentiasa menyokong apa sahaja program yang memberi manfaat kepada penduduk.

“Bagaimanapun perjuangan kita dalam memerangi Covid-19 belum berakhir dan jangan kita leka dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan ketika ini,” ujarnya.

Pada program itu Adun Guar Sanji menyampaikan Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -