
RAKYAT Malaysia hampir semuanya tahu lagu bangau oh bangau. Ia menjadi alunan turun temurun masyarakat kita. Kalau dilihat secara negatif, ia berkaitan saling menyalahkan. Jika dilihat secara positif, ia kaedah mencari punca masalah.
Kes COVID-19 sudah sampai ke tahap yang sukar dikawal walaupun kita tahu dan miliki kaedah untuk mengawal. Dari awal kes berkembang, kerajaan telah memperkenalkan kempen ‘Kita Jaga Kita’. Kaedah ini paling berkesan.
Negara pernah mencapai angka satu kes sebelum ia berkembang melebar. Ramai sedar bahawa kes kembali berkembang di negara kita selepas PRN Sabah. Ia telah diduga. Juga telah diingatkan, namun menyesali dengan berterusan menuding jari tidak lagi bererti.
Dalam pada kes yang berterusan begini pun masih ada lagi seruan Parlimen dibubarkan. Semacam tidak mengambil langsung peduli apa terjadi kepada rakyat negara kita hari ini. Saya perhatikan kelompok yang sama juga yang menyeru diberi kebebasan untuk berhari raya. Namun hari ini seruan itu bertukar nada.
KKM mengesan, kes yang mencanak ini berlaku akibat keingkaran merentas negeri dan balik beraya di kampung. Ia terdedah apabila soal siasat mengesan punca dilakukan oleh KKM. Ini bukan lagi isu kayangan tetapi isu kedegilan. Kayangan dan marhaen saling berlumba menambah angka.
Sudah sampai masa sepatutnya kita insaf dan bersatu menghadapi keadaan sukar ini. Tinggalkan seketika kegilaan merebut kuasa. Tinggalkan juga menuding jari mencari salah siapa. Tinggalkan dulu menjadi enau melepaskan pucuk sendiri. Mencari populariti kononnya bijak bestari memberi cadangan dan sindiran di media maya.
Rakyat sudah jemu dengan helah politik. Rakyat tidak juga rela diheret untuk mencapai agenda politik peribadi. Hentikan dulu seruan menuntut persidangan Parlimen. Hentikan dulu sindiran dan lawak cemburu kononnya paling bijak dan cerdik.
Cadangan peringkat pimpinan salurkan sahaja kepada wakil yang ada dalam kerajaan. Jawatankuasa Darurat juga melibatkan semua parti politik. Sandiwara kononnya prihatin dengan bantuan rakyat tidak lagi diterima.
Saya terbaca ulasan bekas Menteri Kewangan yang popular dengan ‘kepala otak dia’ baru-baru ini. Lim Guan Eng (LGE) masih lagi dengan sandiwara politik di saat rakyat dan kerajaan bertungkus lumus menghadapi kemelut COVID-19. Frontliner hampir tidak berdaya malah katil hospital terutama ICU sudah kritikal. Angka kematian makin tinggi.
LGE baru baru ini memaki kerajaan kononnya tidak membenarkan Kerajaan DAP Pulau Pinang menerima sumbangan dua juta dos vaksin. Namun Khairy Jamaludin mendedahkan ianya penipuan. Kesan dari pendedahan itu Ketua Menteri Pulau Pinang memohon maaf, namun LGE ‘menghilangkan diri’ dan muncul dengan isu lain seolah-olahnya kepala otak dia tidak lalui apa apa.
Sebagai rakyat, tentunya kita mengharapkan bencana ini dapat diatasi segera. Jika ahli politik masih lagi bermain dengan agenda politik kepentingan diri mereka, rakyat perlu bersatu membantu kerajaan menghadapi kemelut ini. Bukan masanya kita bergurindam ‘bangau oh bangau’… Tetapi masanya kita menghalau langau…
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 27/5/2021




















