Doktor dan staf mengadu, bukan kerana mengada-ngada

- Advertisement -

oleh Dr (Ms) Afizah Salleh dan Dr Aspalilah Alias

Jangkitan COVID 19 semakin bertambah setiap hari. Hospital semakin sesak dengan pesakit -pesakit COVID 19 sama ada di dalam wad perubatan ataupun ICU mengikut kategori yang tertentu.

Bukan itu sahaja, pusat kuarantin juga terpaksa dibuka bagi menampung limpahan pesakit covid 19. Selain itu pusat pemberian vaksin dan pusat pengambilan swab juga diuruskan oleh doktor dan staf kesihatan. Beban tugas mereka bertambah 200 %.

Dalam keadaan biasa pun doktor-doktor dan staf kesihatan ini sudah teruk bekerja setiap hari. Bergantung kepada jumlah pesakit yang datang sama ada untuk kemasukan ke wad, jabatan kecemasan dan klinik dan berapa ramai staf kesihatan atau doktor yang ada.

- Advertisement -

Setiap hari akan doktor yang akan bertugas atas panggilan dengan dibantu oleh staf kesihatan dan doktor pelatih yang bertugas secara shif. Bermakna tidak akan ada ketikanya hospital ini tiada doktor atau staf kesihatan. Dengan limpahan pesakit di klinik, Klinik Kesihatan juga sudah dibuka hingga ke waktu malam dan akan ada doktor serta staf kesihatan yang bertugas atas panggilan.

Setiap hari, tidak akan tiada doktor yang bertugas. Masa yang ada semasa bertugas atas panggilan akan diisi dengan aktiviti rondaan wad, membuat prosedur sama ada di dalam wad atau di bilik bedah jika doktor tersebut adalah doktor dari bahagian pembedahan ataupun doktor bius.

Jika bilangan doktor dalam satu-satu jabatan ramai, maka bilangan oncal akan berkurangan hanya 5 atau 6 kali sebulan dan boleh mencecah sehingga lebih 10 kali. Dan masa oncal juga mengikut nasib setiap doktor. Kadang-kadang selepas rondaan wad boleh ‘sleep well’ sepanjang malam. Kalau nasib kurang baik, boleh jadi tidak dapat tidur sepanjang malam kerana banyaknya kes yang masuk, pesakit tidak stabil atau perlukan prosedur kecemasan yang memakan masa yang panjang.

Namun begitu selepas oncal akan ada masa fasa pemulihan sekurang-kurangnya 1 atau 2 hari. Masa inilah tenaga dapat dipulihkan, emosi dapat distabilkan dan doktor boleh bekerja semula dengan minda yang lebih cergas dan semangat yang lebih kuat demi menolong pesakit yang datang ke hospital.

Apabila terlalu banyak pertambahan pesakit COVID 19 mutakhir ini, keadaan adalah seperti doktor-doktor ini oncal yang sibuk setiap hari tanpa ada masa pemulihan. Setiap waktu bertugas sentiasa ada sahaja kerja penting yang terpaksa dilakukan dan apabila ada kes resusitasi kerana pesakit yang stabil tiba-tiba jadi tak stabil (kategori 4 kepada kategori 5) atau memang datang dah nyawa-nyawa ikan (kategori 5), tenaga dan usaha akan digunakan 2 hingga 3 kali ganda.

Bayangkan jika satu hari terpaksa menghadapi 3-4 kes begini. Kes kecemasan seperti ini bukanlah mudah untuk ditinggalkan untuk diberikan kepada doktor lain bagi diselesaikan. Doktor ada etika dan tanggungjawab sebaik sahaja lulus graduan perubatan. Pesakit adalah pelanggan yang penting dan akan diberi keutamaan. Maka walaupun dalam kertas tertulis balik jam 7 pagi, boleh jadi akan tertangguh 2-3 jam atau pun hampir setengah hari.

Keesokan harinya pula wajib datang semula untuk menjalankan tugas. Kalau ada yang tidak mengikut jadual sebab sakit, emosi terganggu, semua orang akan terganggu dan menerima akibat. Hal yang sama berlaku kepada staf kesihatan yang bekerja secara shif, mereka terpaksa melakukan 2 shif kerana staf tidak mencukupi.

Doktor dan petugas kesihatan juga manusia biasa. Mereka juga ada keluarga yang menjadi tanggungjawab mereka, mereka boleh terganggu emosi dan menjadi stress yang melampau, mereka boleh dijangkiti penyakit dan tenaga mereka boleh kehabisan akibat kerja yang teruk dan tidak cukup tidur. Belum lagi ditambah dengan cuti yang dibekukan dan tidak dapat bekerja dalam bidang yang disukai (kerana menumpukan pesakit COVID 19 yang sebenarnya di bawah penjagaan doktor perubatan atau doktor bius).

Perkongsian atau aduan daripada doktor dan petugas kesihatan yang terlibat secara langsung menjaga pesakit covid 19 ini adalah untuk melepaskan stress mereka bekerja. Selain itu, untuk menyedarkan masyarakat luar tentang keadaan sebenar yang berlaku di hospital atau pusat kuarantin.

Mereka tidak melihat sendiri keadaan di hospital, maka mereka tidak tahu betapa bahayanya jangkitan ini. Walaupun ada jangkitan yang ringan, tetapi ada juga kes yang datang dan perlu diberi bantuan pernafasan ataupun lebih teruk lagi datang sudah tidak bernyawa.

Kalau dulu ni hanya berlaku kepada warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,tetapi dengan strain terbaru, kategori 5 boleh juga berlaku kepada orang muda dan tiada penyakit.

Ramai orang yang tidak sedar selagi tidak terkena diri sendiri atau keluarga mereka. Melanggar SOP dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa takut. Berhimpun beramai-ramai, merentas negeri atau daerah bukan atas tujuan yang penting dan yang terbaru berziarah hari raya atau berjumpa keluarga di komplek membeli belah.

Bukanlah perkara mudah untuk kerajaan melaksanakan PKP ketat seluruh untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana ia melibatkan faktor kerugian ekonomi negara. Rantaian jangkitan boleh diputuskan dengan rasa tanggungjawab setiap individu. SOP yang telah diajar sejak hampir 2 tahun sepatutnya sudah sebati dalam diri setiap orang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Peringatan dan tarbiyah terbaik daripada hadis ini supaya kita sentiasa berwaspada dengan waktu kehidupan beserta cabarannya.

Bagi mereka yang terpesona dengan tipu daya dunia pasti akan alpa dan leka dengan putaran kehidupan lalu mensia-siakan anugerah masa 24 jam sehari yang dikurniakan kepada seluruh umat manusia. Kita tidak tahu bila Allah SWT akan memanggil kita. Wabak COVID 19 ini tidak mengira usia, tua atau muda, tidak mengira tahap kesihatan, mempunyai penyakit atau tidak dan tidak mengira bangsa. Semua orang mempunyai potensi untuk memperolehinya. Kita semua dalam bahaya.

Peliharalah diri kita dan ahli keluarga serta sahabat sekeliling kita. Janganlah mencipta teori teori yang tidak ada asasnya dan berkongsi maklumat yang tidak sahih kepada orang ramai berkaitan dengan vaksin. Jangan gagalkan usaha kerajaan untuk pemberian vaksin. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk kita sama sama teruskan berdoa serta menjaga SOP, mengambil vaksin, self lockdown, duduk di rumah serta keluar jika ada keperluan mendesak sahaja. In shaa Allah moga Allah menyembuhkan penyakit ini daripada muka bumi ini. Wallahualam.

Dr Ms Afizah Salleh adalah Pakar perunding Pembedahan Am, Hospital Pakar Annur dan Dr Aspalilah Alias adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -