Pengambilan vaksin COVID-19: Hukum dan permasalahannya

- Advertisement -

MUKADIMAH

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga Baginda, para Sahabat seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. Sehingga kini 28 Disember 2020, jumlah pesakit COVID-19 di Malaysia telah mencapai 108,615 lebih. Hal ini sentiasa bertambah dari sehari ke sehari dan di peringkat dunia, angkanya telah melebihi 80 juta dan yang meninggal dunia akibat COVID-19 telah hampir mencecah 2 juta orang.

Sebanyak 17 buah negara mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 10 juta kes. Amerika Syarikat paling teruk terjejas dengan jumlah kes terkini sebanyak 19.2 juta kes. Ini menggambarkan pandemik COVID-19 cukup mencabar dan gelombang ketiga lebih dahsyat berbanding dengan gelombang yang sebelumnya.

Justeru, amat wajar suatu tindakan untuk mengekang penularan wabak yang belum nampak lagi cahaya di penghujungnya. Tetapi kita yakin dan percaya dengan usaha oleh semua pihak, dan kajian demi kajian untuk menyelesaikan isu ini melalui vaksin amat pantas dilakukan oleh pakar-pakar seluruh dunia. Insya-Allah, vaksin mula menampakkan hasilnya melalui kajian terkini untuk penyelesaian isu ini.

- Advertisement -

Justeru, majalah al-Bayan pada kali ini memfokuskan secara khusus berkenaan tajuk ini dan dinamakan Pengambilan Vaksin COVID-19: Hukum dan Permasalahannya. Semoga majalah pada kali ini dapat memberi sebuah kefahaman kepada seluruh masyarakat berkenaan isu ini dengan lebih tuntas dan jelas.

Isu vaksin COVID-19

Pada 22 November 2020, Malaysia melalui Menteri Kesihatan telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi

10 peratus rakyat Malaysia. Manakala pada 24 November 2020 Kerajaan Malaysia melalui Menteri Kesihatan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer [1] untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia. Sehubungan itu, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin COVID-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia.

Pada 22 Disember 2020 pula, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan baru sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi. Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telahpun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca. Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta. [2]

Perjanjian ini bertujuan untuk memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan di samping menjamin akses kepada vaksin tersebut sekiranya sedia untuk diedarkan oleh pihak syarikat. Pfizer pada 9 November 2020 menyatakan bahawa analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin (vaccine efficacy) tersebut adalah 95 peratus.

Melalui perjanjian ini juga, Pfizer telah menjanjikan penghantaran sebanyak 1 juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat. Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, di samping mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia.

Proses pemberian vaksin, setelah diperolehi nanti, akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan COVID-19. Kumpulan berisiko tinggi ini termasuklah petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCO) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya. Seterusnya, vaksin ini juga akan diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain. [3]

Bagi pihak kami di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kami mengambil cakna akan suara-suara kerisauan daripada warga masyarakat khususnya yang beragama Islam berkenaan hukum pengambilan vaksin COVID-19 ini. Begitu juga kami menekuni persoalan-persoalan yang turut diajukan ke meja kami berkenaan bahan-bahan yang digunakan dalam proses penghasilan vaksin COVID-19.

Pengenalan asas berkenaan vaksin

Kami mulakan dengan pengenalan ringkas berkenaan vaksin dari sudut definisinya, cara penghasilannya serta jenis-jenisnya bagi memberi suatu gambaran awal berhubung permasalahan yang akan dibincangkan.

(1) Definisi vaksin.

Vaksin adalah sejenis bahan yang dapat membantu mencegah sesuatu penyakit. Sebagai perumpamaan, badan manusia dilindungi oleh sistem pertahanan atau sistem imun sebagaimana suatu negara dilindungi oleh angkatan tentera. Vaksin umpama bahan latihan untuk angkatan tentera badan kita, ia akan digunakan untuk mengenali dan menewaskan musuh, iaitu bakteria atau virus yang mungkin boleh menjangkiti badan dan menyebabkan penyakit pada masa hadapan. Pemberian vaksin secara berleluasa sejak beberapa dekad lalu telah mampu mengurangkan pelbagai jenis penyakit yang dahulunya datuk nenek kita pernah alami, seperti Cacar (Smallpox), Polio dan sebagainya.

(2) Bagaimana vaksin dihasilkan?

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan Kebangsaan dan Antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

(a) Memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
(b) Memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria.

Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

(a) Pembiakan: Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
(b) Pengasingan: Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
(c) Penulenan: Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
(d) Formulasi: Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM)

(3) Apakah kandungan vaksin?

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan. Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. la mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuriMethyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. [4]

(4) Vaksin COVID-19 dan jenis-jenisnya.

Vaksin COVID-19 ialah vaksin yang akan digunakan untuk merawati penyakit Corona Virus 2019 (COVID-19). Vaksin ini mengandungi atau akan menghasilkan antigen untuk COVID-19 yang akan merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh untuk membentuk imuniti terhadap penyakit COVID-19.

Daripada calon vaksin aktif yang telah disahkan, 56 (72 peratus) sedang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pemaju vaksin yang terkenal. Manakala 22 (28 peratus) lagi daripada projek yang diterajui oleh sektor akademik, awam dan organisasi bukan berkeuntungan lain. Sebilangan besar aktiviti perkembangan vaksin COVID-19 adalah di Amerika Utara, dengan 36 (46 peratus) pemaju calon vaksin aktif yang disahkan berbanding dengan 14 (18 peratus) di China, 14 (18 peratus) di Asia (tidak termasuk China) dan Australia, dan 14 (18 peratus) di Eropah. [5]

Kami perincikan di sini beberapa jenis vaksin COVID-19 yang sedang dibahaskan oleh khalayak masyarakat. Antara agensi yang sedang berusaha dalam membangunkan vaksin ini adalah:

(i) BioNTech (Jerman) [6] / Fosun Pharma / Pfizer RNA (US).
(ii) Moderna [7] / NIAID RNA (US).
(iii) Johnson & Johnson Non-Replicating Viral Vector (US).
(iv) Novavax Protein Subunit (US).
(v) AstraZeneca [8] / University of Oxford Non-Replicating Viral Vector (UK).
(vi) Sinovac Inactivated (China) [9]
(vii) Sinopharm – Wuhan Institute of Biological Products Inactivated (China)
(viii) Sinopharm – Beijing Institute of Biological Products Inactivated (China)
(ix) CanSino Biological Inc. Non-Replicating Viral Vector (China)
(x) Anhui Zhifei – Longcom Protein (China)
(xi) Bharat Biotech Inactivated (India)
(xii) Gamaleya Research Institute Non-Replicating Viral Vector (Russia) [10]
(xiii) Medicago Inc. Plant-derived virus-like particles (Canada)

Pada 24 November 2020, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma. [11] Kenyataan daripada YB Khairy Jamaluddin pada 23 Disember 2020 pula menunjukkan bahawa Malaysia cuba mendapatkan vaksin untuk sejumlah 82.8 peratus bagi keperluan rakyat Malaysia pada tahun 2021. [12]

Kepentingan mengambil vaksin

Kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi. Ujian-ujian klinikal dijalankan untuk menentukan tahap keselamatan dan keberkesanan vaksin-vaksin yang sedang dibangunkan. Jika terdapat kesan sampingan yang teruk (severe adverse effect), maka vaksin tersebut tidak akan diluluskan. Sebagai contoh, vaksin yang dihasilkan oleh University of Queensland yang telah menghasilkan antibody untuk HIV, telah diberhentikan.

Oleh itu, vaksin yang telah lulus ujian klinikal fasa 3, dan mendapat kelulusan NPRA, kebiasaannya adalah selamat untuk diambil dan berkesan untuk melindungi daripada penyakit COVID-19. Kesan jika tidak ambil vaksin adalah rakyat berkemungkinan akan mendapat COVID-19 dan sebahagian akan hilang nyawa. Terdapat juga kajian yang menunjukkan kesan jangka masa panjang kepada pesakit yang telah sembuh. Menggunakan vaksin juga berkemungkinan dapat memberhentikan jangkitan. Maka kita akan dapat melindungi orang lain yang tidak boleh mendapat vaksin seperti wanita mengandung, kanak-kanak dan pesakit yang immunocompromised.

Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi daripada jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria atau virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. la berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria atau virus tersebut. Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka. [13]

Kami mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah menyalurkan maklumat kepada kami. Begitu juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Prinsip Islam dalam mendepani penyakit

Islam merupakan agama yang menitikberatkan soal kesihatan dengan meletakkan beberapa prinsip asas dalam mendepani penyakit, sebelum dan juga semasa penyakit menimpa seseorang. Antara prinsip yang diajarkan oleh Islam dalam berhadapan dengan penyakit adalah seperti berikut:

(1) Berdoa kepada Allah S.W.T.

Berdoa dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan seseorang itu ditimpa penyakit. Ini seperti doa-doa dan zikir yang diajarkan menerusi pelbagai nas yang sahih seperti:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَ سْقَامِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila,
kusta, dan juga penyakit-penyakit berbahaya yang lain.” [14]

(Riwayat Abu Daud (1554))

Begitu juga Islam menganjurkan umatnya agar membaca pada waktu pagi dan petang zikir berikut sebanyak tiga kali:

بِسْمِ اللَهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السّمِيعُ الْعَلِيمْ

“Dengan nama Allah yang mana dengan nama-Nya tidak ada mudarat terhadap sesuatu pun di bumi dan juga di langit, dan Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [15] 

“Hal ini kerana, Rasulullah S.A.W mengatakan bahawa sesiapa yang membacanya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan petang, nescaya dia tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan.”

(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (660))

(2) Mencegah.

Islam amat menitikberatkan soal pencegahan penyakit sebelum ia menimpa. Terdapat beberapa langkah pencegahan yang dianjurkan seperti yang ditunjukkan dalam beberapa riwayat yang sahih. Antaranya sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abd Al-Rahman bin ‘Auf R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

“Sekiranya kamu mendengar mengenai taun yang menimpa sesuatu kawasan, maka janganlah kamu masuk ke tempat tersebut. Sekiranya ia berlaku di sesuatu kawasan dan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya untuk melarikan diri darinya. [16]”

(Riwayat al-Bukhari (5730))

Hadis di atas jelas menunjukkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum dan juga selepas seseorang itu terlibat dengan penyakit berjangkit. Dari sudut sekiranya seseorang itu mengetahui akan penularan sesuatu wabak di tempat tertentu, janganlah dia pergi ke tempat tersebut bagi mengelakkan dirinya daripada dijangkiti penyakit tersebut. Manakala jika seseorang itu telah berada dalam kawasan yang merebak padanya wabak, tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut, bagi mengelakkan penularannya ke kawasan-kawasan yang lain.

Begitu juga sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti penyakit, Islam membenarkan kita untuk menjauhkan atau menjarakkan diri daripada individu yang menghidap penyakit berjangkit. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ

“Dan hendaklah kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa.”
 [17]

(Riwayat al-Bukhari (5707))

(3) Merawat.

Sebaik sahaja seseorang itu ditimpa penyakit, Islam memberi penekanan kepada kepentingan merawat. Di samping redha dengan takdir Allah S.W.T, tuntutan untuk merawat penyakit juga tidak boleh diabaikan. Ini berdasarkan sebuah Hadis daripada Usamah bin Syarik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ

“Hendaklah kamu merawat (penyakit) kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan ubat baginya, melainkan satu penyakit sahaja iaitu ketuaan.”

(Riwayat Abu Daud (3855), Riwayat Ahmad (4/278))

Manakala dalam sebuah Hadis yang lain, Nabi S.A.W bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ 

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”

(Riwayat Muslim (2004))

Imam al-Nawawi menjelaskan: Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al- Qadi ‘Iyadh: Dalam Hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya… (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 359/14).

Begitu juga berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Al-Darda’ R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan juga ubat. Serta Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka hendaklah kamu semua berubat dan janganlah kamu berubat dengan suatu yang haram
.” [18]

(Riwayat Abu Daud (3874))

(4) Tawakal.

Setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan, agama mengajar kita agar menyerahkan segala urusan seterusnya kepada Allah S.W.T. Inilah bentuk tawakal iaitu penyerahan diri yang mutlak kepada Allah setelah usaha-usaha dilakukan. Allah S.W.T berfirman:

 فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِینَ

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(ali ‘Imran: 159)

Inilah pegangan akidah sejati seorang Muslim, yang menghimpunkan antara mengambil usaha الأخذ بالأسباب  serta bertawakal kepada Allah S.W.T dalam setiap tindakan yang dilakukan. Sekiranya segala usaha mengelakkan penyakit seperti doa dan langkah pencegahan telah diambil, namun seseorang itu tetap diuji juga dengan penyakit, maka hendaklah dia menenangkan dirinya dengan firman Allah S.W.T:

قُل لَّن یُصِیبَنَاۤ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sama sekali ujian tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah Allah tetapkan untuk kita. Dia lah pelindung kita, dan kepada Allah jugalah golongan beriman itu perlu bertawakal.”
 [19]

(al-Taubah: 51)

Hukum berubat dengan najis atau bahan yang haram

Antara isu yang sering dibangkitkan oleh sebahagian pihak sehingga menimbulkan kegusaran dan kerisauan masyarakat terhadap vaksin ialah dakwaan bahawa vaksin ini mengandungi kandungan atau bahan yang haram di dalamnya.

Isu berubat dengan bahan haram atau najis ini bukanlah isu baharu. Bahkan sabit larangan berkenaannya dalam nas syarak. Antaranya menerusi sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Al- Darda’ R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan juga ubat. Serta Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka hendaklah kamu semua berubat dan janganlah kamu berubat dengan suatu yang haram.”

(Riwayat Abu Daud (3874))

Begitu juga dengan sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.A, daripada Nabi S.A.W, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.”

(Riwayat Ibn Hibban (1391))

Juga berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju’fi R.A bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan arak. Kemudian Baginda melarang atau tidak menyukai untuk dia melakukannya. Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat”. Maka Baginda S.A.W berkata:

إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ دَاءٌ 

“Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi ia merupakan suatu penyakit.”

(Riwayat Muslim (1984))

Berdasarkan beberapa Hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa terdapat dua noktah penting seperti berikut:

(1) Rasulullah S.A.W melarang berubat dengan sesuatu yang haram.
(2) Rasulullah S.A.W melarang berubat dengan arak yang termasuk dalam kategori najis dan Baginda menyifatkannya sebagai penyakit dan bukannya ubat.

Oleh yang demikian, Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu hukum berubat dengan najis, beliau mengatakan bahawa larangan berubat dengan najis hanyalah merujuk kepada arak. Adapun najis-najis selain daripada arak, hukum asal penggunaannya juga adalah haram melainkan dalam keadaan darurat yang mana tidak ada bahan suci lain yang boleh menggantikannya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

 وَقَدۡ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَیۡكُمۡ إِلَّا مَا ٱضۡطُرِرۡتُمۡ إِلَیۡهِۗ  

“Sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.”

(al-An’am (119))

Kenyataan Imam al-Nawawi adalah seperti berikut:

وَأَمَّا التَّدَاوِي  بِالنَّجَاسَاتِ غَيْرِ الْخَمْرِ فَهُوَ جَائِزٌ سَوَاءٌ فِيهِ جَمِيعُ النَّجَاسَاتِ غَيْرُ المُسْكِرِ هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ وَبهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

“Adapun berubat dengan najis-najis selain daripada arak, maka ia adalah dibolehkan sama ada terdapat padanya keseluruhan najis selain suatu yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab dan pendapat yang dinaskan dan inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur.”

وَإِنَّمَا يَجُوزُ التَّدَاوِي بِالنَّجَاسَةِ إِذَا لَمْ يَجِدْ طَاهِرًا يَقُومُ مَقَامَهَا فإِنْ وَجَدَهُ حَرُمَتْ النَّجَاسَاتُ بِلَا خِلَافٍ … فَهُوَ حَرَامٌ عِنْدَ وُجُودِ غَيْرهِ وَلَيْسَ حَرَامًا إذَا لمْ يَجِدْ غَيْرَهُ

“Sesungguhnya yang membolehkan berubat dengan najis hanyalah apabila tidak terdapat bahan yang suci yang boleh menggantikan tempatnya. Sekiranya terdapat bahan yang suci (untuk digunakan dalam merawat), maka haram (menggunakan) najis-najis tanpa sebarang khilaf. Hukumnya haram ketika wujud selainnya (bahan yang suci) dan ia tidak haram sekiranya tidak terdapat bahan selainnya.”

(
Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 9/50-51)

Pendapat beliau yang mengatakan bahawa najis selain arak dibenarkan untuk dijadikan rawatan adalah berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

أَنَّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ثَمَانِيَةً قَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعُوهُ عَلَى الإسْلام ، فَاسْتَوْخَمُوا الأَرْضَ فَسَقِمَتْ أَجْسَامُهُمْ ، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَهِ صَلَّى اللَهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَفَلَا تَخْرُجُونَ مَعَ رَاعِينَا في إِبلِهِ ،  فَتُصِيبُونَ مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا

“Sesungguhnya terdapat sekumpulan rombongan daripada bani ‘Ukl seramai lapan orang telah datang kepada Rasulullah S.A.W dan mereka berbai’ah kepada Baginda ke atas Islam. Kemudian mereka tidak selesa dengan cuaca di Madinah sehingga menyebabkan tubuh badan mereka menjadi sakit. Lalu mereka mengadu akan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Baginda berkata: “Apa kata kamu keluar bersama dengan pengembala kami pergi ke arah untanya, lalu kamu merasa susunya serta air kencingnya.”

(Riwayat al-Bukhari (6899))

Berdasarkan Hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W menyarankan agar mereka merawat kesakitan yang dihidapi dengan cara meminum susu dan juga air kencing unta. Sebagaimana yang kita ketahui, air kencing unta termasuk dalam kategori najis. Justeru, inilah yang menjadi sandaran kepada sebahagian Fuqaha’ untuk membenarkan perbuatan berubat dengan najis selain arak, selama mana tidak terdapat bahan suci lain yang boleh digunakan.

Hukum vaksin kembali kepada intipati kandungan yang terdapat di dalamnya

Berkenaan dengan isu bahan kandungan yang terdapat di dalam vaksin, Mufti Wilayah Persekutuan yang ke-7 telah mengulas berkenaannya secara panjang lebar pada tahun 2016 yang lalu, dengan menyebutkan:

Dalam hal ini, terdapat beberapa bahagian yang telah disebutkan oleh para ulamak:

Pertama: Vaksin yang mengandungi kandungan yang harus untuk digunakan serta mempunyai kesan yang bermanfaat. Tidak syak lagi bahawa kategori jenis ini adalah harus untuk digunakan. Bahkan ia merupakan antara nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan kepada sekalian makhluk-Nya. Pencapaian perubatan (medical achievement) seumpama ini telah memberi sumbangan yang besar dalam mengurangkan pelbagai wabak yang tersebar pada hari ini.

Kedua: Vaksin yang mengandungi isi kandungan yang harus untuk digunakan. Akan tetapi ia boleh menyebabkan mudarat yang lebih banyak kepada tubuh badan berbanding manfaatnya. Ataupun ia tidak bermanfaat pada asalnya. Vaksin seumpama ini tidak dinafikan lagi bahawa tidak boleh untuk digunakan kerana kita dilarang untuk memudaratkan diri kita dengan makanan, minuman, ubat-ubatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Vaksin yang mengandungi bahan yang diharamkan ataupun ia najis pada asalnya akan tetapi ia telah dirawat dengan bahan kimia ataupun ia telah dicampur dengan bahan-bahan lain yang menukarnya daripada namanya kepada ciri bahan yang diharuskan penggunaannya. Inilah yang dipanggil sebagai proses istihalah (proses perubahan kepada halal) serta mempunyai kesan-kesan yang bermanfaat. Vaksin kategori ini tidak syak lagi diharuskan penggunaannya. Ini kerana proses istihalah yang berlaku telah mengubah nama dan sifatnya justeru menjadikan hukumnya juga berubah, maka ia adalah boleh untuk digunakan.

Rujuk Bayan Linnas Siri Ke-59: Hukum Pengambilan Vaksin Dari Sudut Pandang Fiqh & Maqasid Syariah [Edisi Kemaskini] menerusi pautan berikut https://bit.ly/2WkYU5C

Pendapat para ulamak dan institusi agama berkenaan vaksin COVID-19

Berikut kami kongsikan beberapa kenyataan dan pendapat yang dikemukakan oleh para ulamak kontemporari serta badan-badan agama berautoriti berkenaan isu vaksin secara umumnya serta beberapa kenyataan mereka berkenaan vaksin COVID-19:

(1) Kenyataan badan berautoriti agama.

(a) Universiti al-Azhar al-Syarif, Mesir.

Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Tayyib melalui Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar telah menghuraikan dengan panjang lebar berkenaan isu ini. Antara lain mereka menyebut: Pendapat dan fatwa oleh semua institusi feqah moden telah mengemukakan pandangan berkenaan dengan keharusan memanfaatkan sebarang bentuk yang terkait dengan sel manusia. Jika sekiranya penggunaan tersebut boleh menghilangkan wabak Corona atau menjadi ubatan dengan apa yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dalam kajian mereka dan terdapatnya darurat atau keperluan yang amat, ketika itu hukumnya harus.

Akan tetapi, persoalan ini hendaklah dirujuk kepada pakar dan ahli ikhtisas daripada kalangan pakar perubatan, farmasi dan pembuat ubat-ubatan yang dipercayai. Kami berdoa semoga Allah mengangkat bala dan penyakit ini serta dimudahkan kami untuk merawatnya di samping diberi hidayah kepada-Nya. [20]

(b) Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Badan Fatwa ini menyatakan: Di antara perkara yang membawa kepada hukum wajib adalah ketika berlakunya wabak penyakit yang berjangkit di mana ketika itu rawatan adalah termasuk dalam bab menghilangkan kemudaratan yang menjadi tuntutan Syarak. Kami menyatakan sebagaimana dalam fatwa majlis bilangan 11 untuk tahun 2020 bahawa wajib menurut syarak atas semua puak atau kumpulan dalam masyarakat untuk beriltizam dengan sepenuhnya sebarang bentuk taklimat kesihatan dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak yang ditetapkan oleh pemerintah seperti Kementerian Kesihatan. Tambahan dengan mengambil segala tindakan yang sewajarnya bagi menghalang tersebarnya penyakit. Begitulah berkenaan pengambilan vaksin apabila diperintahkan secara jelas oleh badan berautoriti.

Kami memberi fatwa kepada umat Islam akan keharusan penggunaan vaksin COVID-19 dan kami menyeru mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan suntikan vaksin dan menghormati segala langkah untuk memelihara dan penjagaan sebagaimana kami menyeru mereka agar sentiasa kembali kepada Allah dengan berdoa dan membanyakkan istighfar. Ini diharapkan agar Allah kurniakan kepada seluruh umat dengan rahmat-Nya dan mengangkat bala. [21]

(c) Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah, Amerika.

Antara lain dinyatakan: Berkenaan dengan isu suntikan vaksin COVID-19, kami telah mendapat pandangan daripada para doktor Muslim yang thiqah bahawa suntikan tersebut telah melalui dan telah diterima oleh badan perubatan yang telah membuat uji kaji melebihi daripada 40,000 jiwa, sedangkan tiada gejala dalam tempoh 2 bulan. Ini lebih daripada memadai bilangan untuk ujian berdasarkan kajian terdahulu. Justeru, menggunakan dan mengambil suntikan vaksin

COVID-19 adalah harus atau sunat, manakala kepada yang terlibat secara langsung (barisan hadapan atau frontliner) hukumnya adalah wajib untuk maslahat umum. [22]

(d) Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-raja.

(2) Kenyataan tokoh ulamak.

(a) Fadhilah al-Syeikh Dr. Sa’d bin Nasir al-Syatsri, Anggota Jawatankuasa Kibar al-Ulama Arab Saudi.

Beliau berkata: Antara permasalahan yang berkaitan dengan wabak-wabak penyakit adalah: Hukum mengambil suntikan vaksin yang diberikan dengan tujuan untuk mencegah daripada penyakit. Maka kami katakan:

“Vaksin yang diberikan ini terdiri daripada: Sesuatu yang telah dikenalpasti kesannya berdasarkan penyelidikan dan uji kaji bahawa ia dapat mencegah penyakit dengan izin Allah. Perkara ini baginya hukum-hakam rawatan bahkan ia termasuk sebagai satu jenis daripada jenis-jenis perubatan. Ini kerana ia termasuk dalam sabda Rasulullah S.A.W: “Berubatlah kalian.” Maka ia turut mengambil hukum rawatan.”

Kata beliau lagi:

“Yang zahirnya, perbuatan ini (penggunaan vaksin) tidak ada masalah padanya. Bahkan ia termasuk di dalam amalan qurbah (ibadah). Ini kerana masuknya kemudaratan di dalam ini tidak menyebabkan mudharat yang lain bahkan ia membawa kemaslahatan untuk mencegah individu yang diberikan vaksin ini dari sebarang penyakit yang teruk. Inilah bukti bahawa ianya tidak dilarang.”

(b) Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz.

Ditanyakan kepada Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz Rahimahullah mengenai hukum berubat sebelum berlakunya sebarang penyakit seperti penggunaan vaksin. Maka beliau menjawab: Tidak mengapa untuk melakukan rawatan sekiranya ditakuti berlakunya penyakit disebabkan terdapatnya wabak atau faktor-faktor lain yang ditakuti berlakunya penyakit disebabkannya. Maka tidak menjadi masalah untuk memberikan ubat atau rawatan bagi menghalang sesuatu bala yang ditakuti berlaku.

Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ

“Sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudharatan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir.”

(Riwayat Muslim (2047))

Hadis ini daripada bab menghalangnya bala bencana sebelum ia berlaku. Maka demikianlah apabila ditakuti berlakunya sesuatu penyakit lalu diberikan vaksin untuk menghalang wabak yang berlaku di dalam sebuah negara ataupun di mana sahaja maka tiada sebarang masalah pada hal tersebut. Rujuk Fatawa Ibn Baaz (6/21).

(c) Dr. Taha Ahmad Al-Zaidi, Anggota Majlis Tertinggi Majma’ Fiqh Iraq.

Dalam sebuah kertas kerja oleh Dr. Taha Ahmad Al-Zaidi yang bertajuk: Hukum Suntikan Imunisasi dan VaksinasiSebelum Ditimpa Wabak, beliau menyifatkan vaksin (COVID-19) ini sebagai suatu rawatan pencegahan. Kemudian beliau berhujah menggunakan Hadis larangan masuk ke tempat wabak dengan katanya: Hadis ini menunjukkan kepada pensyariatan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi seorang yang sihat dengan menghalangnya dari memasuki tempat-tempat wabak kerana khuatir akan terkena penyakitnya. Inilah juga maqsad (tujuan) daripada vaksinasi maka ia jelas menunjukkan kepada pensyariatannya.

Kemudian beliau menambah: Kami melihat bahawa suntikan imunisasi dan vaksin bagi menghalang penyakit-penyakit berbahaya yang bakal berlaku itu merupakan suatu perkara yang menepati syarak. Ini kerana ia termasuk dalam kategori menghalang mencampakkan diri ke dalam kerosakan serta usaha menjauhi kebinasaan. Rujuk Muktamar Fiqh Al-Thawari’ – Petunjuk Petunjuk Feqh Pasca Kemunculan Virus Corona.

(d) Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, Anggota Majma’ Fuqaha’ al-Syari’ah Amerika.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan dakwaan terdapatnya sel-sel babi dalam vaksin dan juga dakwaan vaksin mengandungi sel janin yang gugur, beliau berkata: Vaksin Pfizer dan Moderna yang mana keduanya ini akan terdapat di pasaran dalam masa terdekat sama sekali tidak menggunakan unsur-unsur ini serta tidak terdapat pada keduanya sesuatu yang mendatangkan syak akan kehalalan keduanya daripada sudut ini.

Rujuk al-Fatwa al-Mufassalah al- Sodirah min Majma’ Fuqaha’ al-Syari’ah fi Amrika.

Hujah dan dalil

Berdasarkan kepada pandangan ulamak dan badan berautoriti, kami kemukakan di sini beberapa hujah:

(1) Sebagaimana bab rawatan berdasarkan kepada ghalabatu al-zhon, tidak menjadi kesalahan bagi pakar perubatan untuk membina hukum berdasarkan zhon yang ghalib seperti kata al-Mardawi Rahimahullah:

حَيْثُ قَبِلْنَا قَوْلَ الطَّبِيبِ : فَإِنَّهُ يَكْفِي فِيهِ غَلَبَةُ الظَّنِّ ، عَلَى الصَّحِيحِ مِنْ الْمَذْهَبِ

“Sekiranya kita telah menerima pendapat tabib (pakar), maka sesungguhnya memadai padanya berdasarkan zhon yang ghalib mengikut pendapat yang sahih daripada mazhab.” 

(Lihat al-Insaf, 2/311)

(2) Menjadi kewajiban apabila bertembung maslahat dan mafsadah, maka hendaklah kita mentahqiqkan yang lebih baik antara dua kebaikan dan menolak yang lebih jahat daripada dua kejahatan. Justeru, apabila didapati adanya sebahagian ubat-ubatan sedikit kesan, maka ia dimaafkan, jika sekiranya maslahat lebih banyak.

(3) Memberi suntikan vaksin COVID-19 salah satu daripada cara mengawal penyebaran wabak seperti ini. Justeru, ia amat bertepatan dengan kaedah:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار

“Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

(Riwayat Ibn Majah (2341) dan al- Daraqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal daripada Amr bin Yahya daripada bapanya daripada Rasulullah S.A.W, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Hadis Hasan.)

(4) Kaedah menyebut:

الْحَاجَةُ الْعَامَّةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ الْخَاصَّةِ

“Hajat yang umum setara dengan kedudukan dharurat yang khusus.”

Kaedah ini dinyatakan oleh Imam al-Haramain dalam kitabnya al-Burhan di mana beliau berkata: “Dan kami berpendapat untuk memberi peringatan sebelum nyata pendapat padanya dalam satu-satu perkara, iaitu sewaan harus yang keluar daripada qiyas dan kami namakannya sebagai juz’i pada bahagian yang pertama. Sesungguhnya pertukaran benda yang ada dengan benda yang tiada keluar daripada qiyas yang diraikan dalam bab pertukaran. Sesungguhnya qiyasnya itu tidak boleh diterima kecuali daripada dua benda yang ada tetapi dalam hal sewaan kepada tempat kerana perlu, sesungguhnya kami telah menyatakan bahawa hajat yang umum mengambil tempat darurat yang khusus pada hak individu. (Lihat al-Burhan, 2/82)

Kaedah ini telah diterima pakai oleh ramai ulamak seperti Imam al Ghazali, Ibn al-‘Arabi, al-Zarkasyi, Ibn Nujaim, al-Suyuti dan ramai daripada kalangan ulamak Maliki.

(5) Kaedah menyebut:

الْأَصْلُ اعْتِبَارُ الْغَالِبِ

“Asal bergantung kepada iktibar yang kebiasaan.”

Ini merupakan sebahagian daripada kaedah Syarak yang terpenting sehinggakan al-Zaqqaq al-Maliki dalam kitabnya al- Manhaj al-Muntakhab ila Qawa’id al-Mazhab menyebut:

وَغَالِبًا قَدِّمْ عَلَى مَا نَدَرَا … وَهُوَ شَأْنُ شَرْعِنَا فَكَثَرَا

“Dan yang ghalib hendaklah didahulukan daripada yang jarang, Dan itulah keadaan syarak kita, maka itulah yang paling banyak.”

Pendapat ini setara dengan pendapat Syaukani yang mengiktibarkan secara ghalib atau kebiasaan dalam masalah rawatan dengan racun. (Lihat Nail al-Autar, 9/67)

Dalam isu pengambilan vaksin COVID-19, telah teruji secara ghalibnya boleh memberi kesan yang baik. Hal ini telah diperakui oleh badan berautoriti dunia.

Kaedah “  الاستحالة ” atau juga dikenali sebagai kaedah “ انقلاب العين ” atau disebut juga di sisi mazhab Hanbali dengan kaedah “ المنغمرة العين ”

Al-Istihalah merujuk kepada teori perubahan jirim atau zat sesuatu bahan kepada zat bahan yang lain di mana identiti asalnya tidak lagi dapat dikenalpasti untuk dikaitkan dengan zat bahan yang asal. (Lihat al-Muhalla, 7/418)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily mentakrifkannya sebagai perubahan sesuatu benda yang bernajis secara sendirian atau dengan melalui perantaraan. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/100)

Dalam erti kata lain, ia merupakan satu tindak balas kimia yang berlaku terhadap sesuatu bahan yang menyebabkannya bertukar menjadi bahan yang lain. Contohnya minyak atau lemak haiwan yang bertukar menjadi sabun selepas berlaku satu tindak balas kimia terhadap minyak atau lemak tersebut. (Rujuk al-Mawad al-Muharramah wa al-Najisah fi al-Ghiza’, hlm. 8)

Dalam isu ini juga, Ibn ‘Abidin telah memberi pandangan yang amat baik. Kata beliau: Sesungguhnya syarak telah meletakkan sifat kenajisan terhadap sesuatu benda. Hakikat sesuatu benda akan luput jika hilang sebahagian ciri-ciri asasnya. Apatah lagi jika hilang sama sekali ciri-ciri asasnya. Sebagai perbandingan, air mani adalah najis dan ia tetap najis apabila bertukar menjadi segumpal darah. Kemudian apabila ia bertukar menjadi seketul daging maka ia menjadi suci. Begitu juga dengan jus anggur. Ia adalah suci. Apabila ia bertukar menjadi arak maka ia dihukumkan najis. Apabila bertukar pula menjadi cuka maka ia bertukar menjadi suci. Maka jelaslah di sini bahawa proses istihalah memberi kesan hukum terhadap perubahan yang berlaku kepada sesuatu bahan. (Rujuk Radd al- Mukhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/217)

Konsep istihalah ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَإِنَّ لَكُمۡ فِی ٱلۡأَنۡعَـٰمِ لَعِبۡرَةࣰۖ نُّسۡقِیكُم مِّمَّا فِی بُطُونِهِۦ مِنۢ بَیۡنِ فَرۡثࣲ وَدَمࣲ لَّبَنًا خَالِصࣰا سَاۤىِٕغࣰا لِّلشَّـٰرِبِینَ

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(al-Nahl (66))

Dalam ayat ini, diterangkan mengenai kesucian susu yang dihasilkan oleh binatang ternakan serta ia adalah halal untuk diminum meskipun ia berada di antara najis dengan darah.

Proses istihalah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu:

(i) Perubahan fizikal dan kandungan seperti darah kijang yang bertukar menjadi kasturi.
(ii) Perubahan fizikal sahaja (daripada aspek luaran) seperti kulit binatang selain anjing dan babi yang berubah menjadi suci setelah melalui proses samak.
(iii) Perubahan kandungan sahaja seperti arak yang bertukar menjadi cuka. Secara fizikalnya, arak dan cuka tetap dalam bentuk cairan. Namun yang berbezanya adalah dari segi kandungan.

Dalam isu konsep Istihalah ini, para ulamak secara dasarnya telah bersepakat untuk menerimanya sebagai satu proses atau alat penyucian bahan bernajis. Namun dari sudut pemakaian proses ini, sebahagian ulamak ada yang memperluaskannya, manakala sebahagian yang lain mengehadkan pemakaiannya kepada kes-kes dan syarat tertentu sahaja. Perbezaan pandangan ini boleh diringkaskan seperti berikut:

(a) Mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazm: Istihalah merupakan salah satu proses yang membolehkan sesuatu bahan yang najis menjadi suci sama ada terjadi secara semulajadi ataupun melalui perantaraan iaitu percampuran dengan bahan lain atau aktiviti lain seperti pembakaran. Hujah mereka adalah bahawa zat asal sesuatu benda itu telah berubah kepada bentuk atau sifat lain.

(b) Mazhab Syafie dan Hanbali: Benda yang najis tidak menjadi suci dengan berubah sifat benda tersebut. Bagi mazhab Syafie, perubahan daripada sesuatu yang haram kepada suci atau halal hanya berlaku dalam tiga perkara sahaja:

(i) Arak yang bertukar menjadi cuka secara semulajadi,
(ii) Kulit bangkai binatang selain anjing dan babi menjadi suci apabila disamak dan;
(iii) Sesuatu yang berubah menjadi binatang hidup seperti bangkai berubah menjadi ulat kerana terjadi suatu kehidupan baru.

Dalam fatwa dan ijtihad semasa, kebanyakan fatwa-fatwa ulamak Timur Tengah didapati menggunakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi dengan memperluaskan penggunaan Istihalah. Perkara ini boleh dilihat melalui keputusan Nadwah Pengurusan Islam ke-8 dalam Ilmu Perubatan yang diadakan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Resolusi yang dicapai antara lain merumuskan:

(i) Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
(ii) Sabun yang dihasilkan melalui proses istihalah daripada lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah bersih dan harus digunakan.
(iii) Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah bersih dan harus digunakan.
(iv) Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.

(v) Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/660-665)

Dalam hal ini, ujian makmal diperlukan bagi memastikan apakah proses Istihalah itu benar-benar berlaku iaitu pertukaran ain atau zat. Ini kerana pandangan mata kasar sahaja tidak mampu untuk mengenalpasti apakah pertukaran zat dan ain bahan yang haram itu benar-benar berlaku.

Kenyataan Media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan isu penggunaan vaksin COVID-19

Kerajaan Malaysia seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Disember 2020, berusaha untuk meningkatkan pembelian vaksin COVID-19 agar boleh menampung keperluan imunisasi sehingga melebihi 80 peratus rakyat. YAB Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Selaras dengan pendirian pihak kerajaan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-raja.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.

Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak. Ini terbukti, kaedah pencegahan melalui vaksinisasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa MKI daripada tahun 1988 hingga 2013, iaitu:

(i) Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) (tahun 1988).
(ii) Imunisasi Hepatetis B (tahun 1988).
(iii) Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (tahun 1989).
(iv) Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (tahun 2002 dan dipinda keputusannya pada 2014).
(v) Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (tahun 2010).
(vi) Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).

Pada peringkat Antarabangsa, institusi-institusi fatwa dunia telah memfatwakan keharusan penggunaan vaksin. Antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Syarif menerusi Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar; [23] Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu yang dipengerusikan oleh Syeikh Ben Bayyah [24] dan Majma’ Fuqaha’ al-Syari’ah, Amerika yang dianggotai oleh Dr. Muhammad al-Zuhaily. [25] Hal ini saya akan perjelaskan lagi dalam majalah al-Bayan yang akan diterbitkan khusus mengenai isu ini.

Justeru, dalam isu pengambilan vaksin COVID 19 ini, ia merupakan ketetapan yang diambil oleh pihak kerajaan. Ini kerana, pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbangtara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti. Ini berdasarkan sebuah kaedah Fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَةِ

“Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah.”

Saya akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.”

Negara-negara Islam yang telah menggunakan vaksin COVID-19

Sekali lagi kami tegaskan bahawa vaksin COVID-19 seperti Pfizer adalah halal mengikut dapatan daripada tokoh-tokoh dan cendekiawan atau ahli ikhtisas kerana bahan kandungannya adalah selamat daripada najis. Menurut satu kenyataan atau fatwa yang ditandatangani oleh para cendekiawan daripada beberapa institusi Islam yang berpengaruh di UK, mereka menyatakan bahawa vaksin Pfizer BioNTech COVID-19 yang baru adalah halal kerana pemerintah telah mengesahkan bahawa ia tidak mengandungi komponen asal haiwan. Fatwa tersebut ditandatangani oleh ulamak Deobandi Yusuf Shabbir dan Mufti Shabbir Ahmad dari Darul Uloom Blackburn, Mufti Muhammad Tahir dari Darul Uloom Bury, dan perunding NHS Mawlana Kallingal Riyad.

Mereka berkata: “Kami telah menghubungi syarikat Pfizer untuk meminta huraian bahan-bahan yang telah dikongsi dengan kami. Ia juga boleh dirujuk di pautan ini. [26] Pada mulanya, satu-satunya bahan yang menjadi perhatian adalah kolesterol, kerana ia boleh bersumber daripada lemak haiwan walaupun biasanya ia bersumberkan daripada telur ayam. Kenyataan daripada pihak kerajaan yang disebutkan sebelumnya menegaskan bahawa ia tidak bersumber daripada lemak haiwan, dan oleh itu ia adalah halal. Syarikat itu juga telah mengesahkannya dalam e-mel kepada kami yang menyatakan: ‘Semua larutan yang digunakan dalam COVID-19 mRNA Vaccine BNT162b2 adalah sama ada daripada sumber yang berasal dari tumbuhan atau sintetik. Vaksin tersebut tidak mengandungi komponen haiwan.’ Perlu dinyatakan juga bahawa jawapan ini khusus untuk vaksin Pfizer BioNTech COVID-19 berdasarkan bahannya sekarang, dan tidak semestinya terpakai kepada vaksin lain yang akan datang.” [27]

Walaupun vaksin COVID-19 baru sahaja dikeluarkan dan negara-negara Barat telah menggunakannya termasuk negara China dan lain-lain, pengambilan suntikan vaksin COVID-19 juga ini telah dilakukan di negara-negara Islam. Antaranya:

(1) Arab Saudi – Vaksin Pfizer [28]
(2) Mesir – Vaksin Sinopharm [29]
(3) Jordan – Vaksin Pfizer [30]
(4) Turki – Vaksin Sinovac [31]
(5) Bahrain – Vaksin Pfizer [32] dan Vaksin Sinopharm [33]
(6) Kuwait – Vaksin Pfizer [34]
(7) Qatar – Vaksin Pfizer [35]
(8) United Arab Emirates (UAE) – Vaksin Sinopharm [36]
(9) Morocco – Vaksin Sinopharm [37]
(10) Oman – Vaksin Pfizer [38]
(11) Iraq – Vaksin Pfizer [39]
(12) Tunisia – Vaksin Pfizer [40]
(13) Indonesia – Vaksin Sinovac [41]
(14) Iran [42]
(15) Libya [43]
(16) Algeria [44]
(17) Brunei [45]

Tuntutan mengikuti arahan pemerintah

Dalam isu pengambilan vaksin COVID-19, ia turut terkait dengan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah. Ini kerana, pihak pemerintah dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling

mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbangtara faktor-faktor

yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti.

Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam. Justeru, selagi arahan pemerintah itu dilakukan untuk maslahah mereka, serta tidak bercanggahan dengan perintah Allah S.W.T, maka menjadi kewajipan untuk arahan tersebut dipatuhi. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ 

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kamu) kepada golongan Ulil Amri dari kalangan kamu.”

(al-Nisa’: (59))

Meskipun begitu, ketaatan ini terikat selama mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul-Nya S.A.W. Dalam erti kata lain, ketaatan hanyalah pada perkara yang makruf dan tidak pada perkara maksiat. Ini berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W, Baginda bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

“Tidak ada ketaatan pada kemaksiatan kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara yang makruf.”

(Riwayat Muslim (1840))

Dalam hal ini, dunia menunjukkan semua pemimpin sama ada dari dunia Islam atau sebaliknya berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi rakyat masing-masing dalam mengekang penularan pandemik ini. Justeru, tidak hairan apabila negara-negara kaya telah sanggup menempah vaksin dengan harga berbilion ringgit semata-mata untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat masing-masing.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami akhiri perbahasan ini dengan beberapa noktah yang berikut:

(1) Menjadi tuntutan kepada kita untuk merawat penyakit. Begitu juga, mengambil jalan pencegahan terlebih dahulu sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit. Antara lain dengan menggunakan suntikan vaksin COVID-19. Justeru, setiap langkah yang dilakukan itu merupakan suatu rawatan terhadap takdir Allah dengan menggunakan takdir-Nya yang lain. Ia sama sekali tidak bermaksud menolak takdir Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A:

نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَهِ إِلَى قَدَرِ اللَهِ

“Kita lari daripada takdir Allah menuju kepada takdir-Nya (yang lain).”

(Riwayat Al-Bukhari (5729))

(2) Kami tegaskan sekali lagi bahawa termasuk dalam proses rawatan adalah dengan mencegah sesuatu penyakit sebelum ia menimpa. Inilah konsep yang terdapat pada pengambilan vaksin. Iaitu sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan seseorang daripada ditimpa penyakit. Hal ini telah diterima ramai oleh pakar dunia termasuk WHO dan Kementerian Kesihatan seluruh negara di dunia ini.

(3) Sebarang usaha mencegah dan merawat penyakit berjangkit seperti COVID-19 adalah lebih ditekankan kepentingan dan keperluannya. Ini kerana, sekiranya ia tidak dirawat dan dicegah ia akan menyebabkan kemudaratan yang terhasil daripadanya menjadi lebih meluas. Sedangkan kaedah Fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار 

“Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

(4) Berkenaan dengan hukum penggunaan vaksin COVID-19, selama mana telah dipastikan bahawa tidak terdapat sebarang bahan-bahan haram yang digunakan dalam penghasilan vaksin tersebut, maka hukum asal pengambilannya adalah harus. Manakala sekiranya pengambilan vaksin tersebut terbukti berkesan dalam mencegah penyakit serta ternafi sebarang kemudaratan daripadanya, maka hukum pengambilannya adalah dituntut bahkan menjadi kewajiban apabila ditetapkan oleh pihak pemerintah.

(5) Dalam masa yang sama, sekiranya pemerintah membuat ketetapan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 ini kepada seluruh rakyat, khususnya kepada mereka yang terdedah dengan risiko jangkitan seperti pejuang barisan hadapan (frontliners) serta golongan yang berisiko, maka menjadi kewajipan untuk kumpulan ini mengambilnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ ، وَالْجُنُونِ ، وَالْجُذَامِ ، وَمِنْ سَيِّئِ الأَ سْقَامِ

“Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ ، وَالأَدْوَاءِ

“Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu yang mungkar, juga daripada segala keburukan serta daripada penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 5/1/2021

RUJUKAN:

[1] Pfizer Inc. merupakan sebuah syarikat farmaseutikal Amerika yang beribu pejabat di Bandar Raya New York, dengan ibu pejabat penyelidikannya terletak di Groton, Connecticut. Pfizer ialah salah satu syarikat farmaseutikal terbesar di dunia. Syarikat ini mengembangkan dan menghasilkan ubat-ubatan dan vaksin untuk pelbagai jenis disiplin perubatan, termasuk imunologi, onkologi, kardiologi, endokrinologi, dan neurologi. (wikipedia.org-Pfizer
[2] Rujuk https://www.pmo.gov.my/2020/12/perutusan-khas-mengenai-perolehan-tambahan-dos- vaksin-covid-19/ 
[3] Rujuk Kenyataan Media YAB Perdana Menteri mengenai Pembekalan Vaksin COVID-19 di pautan berikut https://bit.ly/3nIfLLD 
[4] Lihat http://www.myhealth.gov.my/imunisasi-fakta-dan-kemusykilan/ 
[5] Lihat http://covid19.kk.usm.my/index.php/artikel/bacaan-umum/95-covid-19-calon-vaksin-yang-telah-memasuki-fasa-klinikal 
[6] BioNTech SE (Biopharmaceutical New Technologies) ialah sebuah syarikat bioteknologi Jerman yang berpangkalan di Mainz yang membangunkan dan menghasilkan imunoterapi aktif untuk rawatan penyakit. Syarikat itu membangunkan calon-calon farmasi yang berdasarkan pada RNA duta (mRNA) untuk pemakaian imunoterapi kanser, vaksin melawan penyakit berjangkit dan terapi penggantian protein untuk penyakit jarang jumpa, dan juga membuat terapi sel, antibodi novel dan imunomodulator molekul kecil sebagai pilihan rawatan untuk kanser. (wikipedia.org-BioNTech)
[7] Moderna, Inc. ialah syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts, dengan berfokus pada penemuan dan pembangunan ubat-ubatan berdasarkan RNA duta (mRNA). Syarikat ini mencipta mRNA sintetik yang dapat disuntikkan ke tubuh pesakit untuk membantu pesakit membuat terapi sendiri. (wikipedia.org-Moderna)
[8] AstraZeneca plc ialah syarikat farmaseutikal dan biofarmaseutikal multinasional Anglo- Sweden. Pada tahun 2013, ia memindahkan ibu pejabatnya ke Cambridge, United Kingdom, dan menumpukan Kajian Penyelidikan dan Pembangunannya (R&D) di tiga tapak: Cambridge; Gaithersburg, Maryland, Amerika Syarikat (lokasi MedImmune) untuk menumpukan kepada biofarmaseutikal; dan Mölndal (berhampiran Gothenburg) di Sweden, untuk penyelidikan mengenai ubat kimia tradisional. (wikipedia.org-AstraZeneca)
[9] Sinovac Biotech Ltd. ialah sebuah syarikat biofarmasi yang berfokus pada penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan pengkomersialan vaksin-vaksin yang mencegah penyakit berjangkit manusia. Syarikat ini beribu pejabat di Beijing, China. (wikipedia.org-Sinovac_Biotech)
[10] Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya ialah sebuah institut penyelidikan kedoktoran Rusia yang beribu pejabat di Moscow. Setakat 2020 institut itu beroperasi di bawah naungan Kementerian Kesihatan Persekutuan Rusia.
[11] Lihat https://www.pmo.gov.my/ms/2020/12/kerajaan-bercadang-tambah-pembelian-vaksin- hingga-70-peratus-pm-muhyiddin/ 
[12] Lihat https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/m-sia-dalam-rundingan-beli-vaksin-covid-19- dari-rusia-pfizer/4551880.html 
[13] https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/long-termeffects.html dan https://www.reuters.com/article/us-health-coronavirus-australia australia-halts-local-covid-19-vaccine-development-due-to-hiv-false-positives-idUSKBN28K39 
[14] Imam al-Khattabi menyatakan, kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit- penyakit ini kerana ia mencacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan seumpamanya yang mana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/297) Kami pernah bertanya kepada Syeikh Muhamad ‘Awwamah berkaitan makna ‘penyakit-penyakit yang buruk atau berbahaya’. Menurutnya, ia adalah apa-apa sahaja penyakit teruk yang berbahaya seperti selsema burung, kanser dan sebagainya. Maka, virus korona yang sedang tular pada waktu ini juga boleh dimasukkan ke dalam penyakit-penyakit yang buruk sepertimana disebutkan di dalam Hadis atau doa di atas. (Berdasarkan pertemuan di kediaman beliau di Istanbul, Turki pada 27/1/2020).
[15] Doa ini dimulakan dengan nama Allah adalah untuk memohon perlindungan Allah daripada segala keburukan yang mana tidak akan memberi mudharat sesuatu pun dengan nama Allah apabila ia diucapkan dengan pegangan yang betul dan niat yang ikhlas. Di samping itu, tidak memberi mudharat dengan nama-Nya di dalam doa ini juga membawa maksud bahawa penduduk bumi berada di dalam keadaan aman dan selamat disebabkan keberkatan nama Allah serta keterikatan dengan-Nya. Samalah keadaannya kepada penduduk di langit bilamana mereka melazimi nama Allah dalam setiap perkara. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/234 dan Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 149)
[16] Hadis ini juga menunjukkan bahawa pemerintah boleh mengambil tindakan pencegahan dengan kaedah kuarantin terhadap rakyatnya agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A pernah menyebutkan Hadis ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar Hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab lalu membatalkan hasratnya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)
[17] Sungguhpun terdapat Hadis lain yang menggambarkan bahawa Nabi S.A.W pernah duduk dan makan bersama dengan mereka yang menghidapi penyakit kusta, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa terdapat kepentingan untuk menggabungkan antara keseluruhan Hadis-hadis tersebut dan tidak melihatnya pada satu aspek sahaja. Beliau berpandangan sungguhpun kedua-dua Hadis tersebut dilihat bercanggah, pandangan yang lebih sesuai adalah agama menganjurkan umatnya untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan sebagai tanda berhati-hati dalam menghadapi situasi penyakit berjangkit. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/327)
[18] Secara jelasnya, kita dilarang daripada menggunakan benda-benda yang najis dan haram bagi tujuan perubatan. Namun di dalam kitab al-Majmu’, dinyatakan bahawa larangan tersebut (berubat dengan yang haram dan najis) adalah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat- ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci (Lihat al-Majmu’, 9/50-51)
[19] Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)
[20] Surat Syeikh al-Azhar kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 22 Disember 2020.
[21] Surat Syeikh Abdullah bin Bayyah kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 21 Disember 2020. Badan Fatwa ini dipengerusikan oleh Ma’ali al-Allamah al-Syeikh Abdullah bin Bayyah. Antara anggotanya adalah; Dr Umar al-Dar’ie, Dr Salim Muhammad al-Daubi, Dr Abdullah Muhammad al-Ansari, Syeikh Ahmad Muhammad al-Syahi, Dr Ahmad al-Haddad, Fadhilah Syammah Yusuf al-Zahiri, Dr Amani Lubis, Dr Hamzah Yusuf Hanson dan Dr Ibrahim Abid al-‘Ali.
[22] Surat Dr. Muhammad al-Zuhaily kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 20 Disember 2020. Beliau merupakan salah seorang anggota Majma’ ini.
[23] Surat Syeikh al-Azhar kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 22 Disember 2020.
[24] Surat Syeikh Abdullah bin Bayyah kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 21 Disember 2020.
[25] Surat Dr. Muhammad al-Zuhaily kepada YB Menteri di JPM (HEA) berkenaan fatwa COVID-19 bertarikh 20 Disember 2020.
[26] https://assets.publishing.service.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/943249/Information_for_UK_recipients.pdf
[27] Rujuk https://5pillarsuk.com/2020/12/07/fatwa-pfizer-covid-19-vaccine-declared-halal/  
[28] https://www.arabnews.com/node/1776071/world 
[29] https://www.africanews.com/2020/12/12/egypt-receives-first-shipment-of-covid-19- vaccine// 
[30] https://www.arabnews.com/node/1777586/middle-east
[31] https://www.nst.com.my/world/world/2020/12/652060/turkey-start-using-chinas-covid-19-vaccine-after-strong-results 
[32] https://www.arabnews.com/node/1776071/world
[33] https://www.reuters.com/article/us-health-coronavirus-bahrain/bahrain-approves-registration-for-sinopharm-covid-19-vaccine-idUSKBN28N07Z 
[34] https://www.arabnews.com/node/1776666/middle-east 
[35] https://www.aljazeera.com/news/2020/12/23/qatar-begins-coronavirus-vaccination-campaign
[36] https://www.cnbc.com/2020/09/15/the-uae-approves-a-chinese-madecoronavirus- vaccine-for-emergency-use-.html
[37] https://www.africanews.com/2020/12/08/covid-19-morocco-to-import-millions-of-doses-of-sinopharm-vaccine//
[38] https://www.reuters.com/article/healthcoronavirus-vaccine-qatar/update-1-qatar-oman-to-receive-pfizer-biontech-covid-19-vaccine-this-week-idUKL1N2J109R 
[39] https://www.rudaw.net/english/middleeast/iraq/211220204 
[40] https://www.thestar.com.my/news/world/2020/12/16/tunisia-says-covid-19-vaccines-to-be-free-for-citizens
[41] https://www.channelnewsasia.com/news/asia/indonesia-jokowi-covid-19first vaccinated- free-vaccines-for-all-13783284 
[42] https://www.reuters.com/article/us-health-coronavirus-iran/iran-says-u-s-approved-its-funds-transfer-to-buy-covid-vaccines-idUSKBN28Y1NL
[43] https://www.libyaherald.com/2020/11/17/libya-to-purchase-us-9-6-million-worth-of-coronavirus-vaccine/ 
[44] https://www.thestar.com.my/news/world/2020/12/21/algeria-says-to-start-anti-coronavirus-vaccination-in-january-2021  
[45] https://thescoop.co/2020/11/24/brunei-likely-to-get-covid-vaccine-in-early-2021/

- Advertisement -