
SEWAKTU menulis rencana ini data menunjukkan kes positif COVID-19 di Malaysia mencapai angka 525,889 kes. Kes kematian pula meningkat ke angka 2,369. Kes positif harian mencecah angka 7,289. Di seluruh dunia lebih 168.032 juta kes positif, 149.372 juta sembuh dan 3.49 juta orang telah mati. Bilangan kes aktif di Malaysia ialah sebanyak 24,563 dan 204 pesakit berada di ICU. Penggunaan katil di ICU seluruh negara sudah melebihi 90 peratus. Di Lembah Klang pula sudah melepasi 125 peratus.
Kerajaan meletakkan sasaran 80 peratus penduduk negara ini menerima vaksin sebagai langkah mengatasi penularan wabak COVID-19. Pada 26 April 2021 hanya 38 peratus individu yang mendaftar untuk menerima vaksin. Dalam tempoh dua bulan akan datang, diharap peratus yang mendaftar meningkat ke angka 50 peratus. Sehingga 24 Mei 2021, kira-kira 2.3 dari 32 juta rakyat Malaysia sudah menerima vaksin. 1.4 juta telah menerima dos pertama, manakala 870,051 individu sudah lengkap menerima dos kedua. Berdasarkan populasi rakyat Malaysia, individu yang telah lengkap menerima vaksin tidak sampai 2 peratus.
Malaysia sedang berada dalam keadaan kritikal dan amat kelam-kabut menghadapi pandemik COVID-19. Kesannya amat ketara dari aspek kesihatan, ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran dan lain-lain. Namun begitu masih rancak lagi suara-suara; mempertikaikan SOP, dakwaan vaksin sebagai agenda Yahudi, mempertikaikan had bilangan jamaah di masjid, kadar kompaun dan lain-lain. Pengalaman menganggotai pelbagai WhatsApp group menunjukkan saban hari ada sahaja individu-individu yang mencari publisiti, berlagak lebih pandai dari mufti-mufti, lebih pandai daripada Pakar-pakar Kesihatan Awam dan lain-lain.
Individu-individu berkenaan menghasut dan menakut-nakutkan orang ramai agar; menolak vaksin, meremehkan SOP yang ditetapkan, menuduh golongan yang menyokong saranan kerajaan dengan pelbagai tuduhan. Dakyah dan hasutan tersebut serba sedikit berjaya mempengaruhi orang awam, dan golongan atasan. Antara kesan paling ketara dari dakyah tersebut ialah; hampir 10,000 penduduk Kelantan membatalkan temu janji mengambil vaksin sedangkan mereka sudah sudahpun mendaftar.
Masyarakat Melayu perlu mengambil iktibar dari sikap positif kaum Cina dan India terhadap vaksin. Tidak kedengaran di media sosial, kaum Cina dan India menolak program vaksin. Laporan akhbar menunjukkan kaum Cina dan India berebut-rebut untuk menerima vaksin secepat mungkin. Ada yang meminta disenaraikan menerima vaksin dari orang Melayu yang tidak hadir sewaktu program vaksin berjalan. Kesedaran dan keyakinan orang Cina dan India di Malaysia mengenai keperluan vaksin amat tinggi berbanding dengan kaum Melayu. Masyarakat Melayu juga perlu mengambil iktibar dari negara-negara maju yang berlumba-lumba memberi vaksin kepada rakyat masing-masing secepat mungkin.
Dilaporkan sudah 1 bilion penduduk dunia menerima vaksin. United Kingdom sebagai contoh, sudah pun memberi vaksin kepada 50 peratus rakyatnya. Israel musuh ketat umat Islam pula sudah memberi dua suntikan vaksin kepada 9.3 juta penduduknya yang merupakan separuh dari jumlah keseluruhan penduduk. Remaja-remaja Israel berumur 12 hingga 15 tahun dijangka menerima vaksin Pfizer pada bulan Mei ini. Di negara-negara miskin, mundur dan majoritinya umat Islam, program vaksinasi berjalan amat lambat. Puncanya ialah kemampuan negara membeli vaksin dan sikap negatif orang Islam terhadap vaksin.
Pemimpin-pemimpin politik beragama Islam, pemimpin-pemimpin NGO Melayu, ilmuan, cendekiawan dan agamawan Islam wajib memikul tanggungjawab melakukan sesuatu agar kekeruhan, kekeliruan, pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu tidak berterusan dan tidak menjadi semakin parah. Golongan ini sewajarnya berjuang dan berjihad; memandaikan, memajukan, mengkayakan, mengulamakkan dan memartabatkan bangsanya sendiri tanpa menzalimi kaum lain.
Amatlah mendukacitakan, setelah 64 tahun Merdeka, pemimpin-pemimpin Melayu berjuang untuk diri sendiri, menggunakan sokongan bangsa sendiri sebagai batu loncatan untuk berkuasa semata-mata. Setelah merdeka dan mendapat kuasa mereka menekan, menzalimi bahkan memusnahkan bangsanya sendiri. Mereka ibarat ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’, ‘harapkan pagar atau pegar, pagar atau Pegar makan padi.’ Ramai yang terlibat dengan rasuah, penyelewengan, mencuri harta negara, memusnahkan alam sekitar dan lain-lain. Berbanding dengan pemimpin kaum Cina dan India, meskipun mereka berlainan parti politik namun amat ketara sikap perkauman, kerjasama dan mengutamakan bangsa mereka dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Mereka berjaya memerdekakan bangsa mereka sedangkan pemimpin Melayu memegang kuasa dengan memijak, menipu, memperbodohkan dan memperhambakan bangsanya sendiri.
Umat Islam dilarang keras bercakap mengenai sesuatu tanpa maklumat tepat, melemparkan tuduhan tidak berasas, tuding-menuding jari sesama mereka, mendakwa menyaksikan perkara yang tidak disaksikan, mendakwa mendengar perkara yang tidak didengar, mendakwa tahu perkara yang tidak diketahui, berburuk sangka dan sebagainya. Larangan ini terkandung dalam ayat berikut:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًا
“Dan janganlah kamu berkata perkara yang kamu tidak ketahui, kerana sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu semuanya akan dipertanggungjawabkan.”
(Isra’: 36)
Dicadangkan setiap penerima maklumat negatif melalui media sosial segera memadamkan maklumat berkenaan dan tidak sekali-kali menekan butang forward atau share kepada orang lain. Jika semua orang bertanggungjawab terutamanya penerima pertama, pasti orang Melayu, khususnya orang Islam dapat membebaskan diri mereka dari pengaruh dan dakyah palsu yang melemahkan diri mereka sendiri.
Baju Melayu segak menawan,
Baju kebaya atas ampaian,
Wahai pemimpin, ulamak, cendekiawan,
Usahlah berbalah carilah penyelesaian.
Dari Kangar ke Sungai Petani,
Mengangkut padi dengan lori,
Bangsa sendiri tunjuk berani,
Bangsa lain I am sorry.
Panas suria sinaran terserlah,
Langit gelap ditutup mega,
Pemimpin, cendekiawan asyik berbalah,
Zionis datang baru terpinga.
Ke Kuala Lumpur membeli mesin,
Mesin dibuat dari tembaga,
Wahai bangsaku terimalah vaksin,
Habbatus sauda’ ambillah juga.
Lebai Kasim kuat berpuasa,
Makan sahur berlauk gelama,
Kuat Melayu, majulah bangsa,
Lemah Melayu, punahlah agama.
Salam hormat dari saya,
S.F. DATO’ ASAD AWANG
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/5/2021
Sumber asal: https://www.facebook.com/100003449003608/posts/3072277936230476/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











