
BENTONG: PAS Kawasan Bentong tidak akan menggadai kerusi ditandinginya kepada pihak lain sebagaimana suara-suara sinikal yang cuba menimbulkan persepsi perkauman terhadap perkara tersebut.
Usikan nakal tersebut timbul menjadi perbincangan netizen di media sosial berikutan berita ‘PAS Bentong terima ‘jongkong emas’ daripada MCA‘ yang telah disiarkan di HarakahDaily bertarikh 6 Februari.
Rata-rata meluahkan kebimbangan bahawa PAS akan menyerahkan kerusi Parlimen Bentong yang pengundinya majoriti Melayu kepada MCA setelah menerima pemberian buah limau sempena Tahun Baru Cina itu.
Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah menjelaskan, PAS memiliki prinsip dalam perjuangannya di mana dalam soal pemberian dan kerjasama daripada mana-mana pihak dihargai dan diraikan.
Terang beliau, ia dalam rangka kolaborasi untuk kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengorbankan Islam yang menjadi dasar PAS, maka tidak timbul isu politik ‘balas budi’ disalahgambarkan itu.
“Politik PAS adalah berteras kebenaran dan jika ingin menjadi ‘juara’ adalah kepada usaha ke atas rakyat. Peranan PAS kini selaras tema ucapan dasar Presiden PAS iaitu ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’.
“Ia merupakan satu kerangka kerja yang begitu komprehensif merentas benua antarabangsa. Apatah lagi PAS kini adalah sebahagian kerajaan negeri di Pahang dan Kerajaan Pusat.
“Jadi kita beraksi membantu rakyat dan sedia pula bersama sesiapa sahaja baik NGO mahupun parti-parti politik di blok Muafakat Nasional, BN dan Perikatan Nasional,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Pahang.
Menurut beliau, PAS sepertimana juga pendekatan Nabi Muhammad S.A.W, sentiasa berpegang bahawa hanya Islam dapat melembutkan hati bangsa Arab yang keras serta dapat menyatukan perpecahan mereka.
Demikian itu katanya, implementasi sunnah tersebut dalam pendekatan toleransi kaum adalah sebahagian misi dakwah di mana usaha penyatuan turut meliputi ke atas kaum bukan-Islam yang tidak ekstrem.
“Golongan bukan-Islam juga punyai fitrah dan kemanusiaan yang bencikan kepada kezaliman dan kehidupan tidak bermoral. Termasuk menolak sikap melampau. PAS bukan semata-mata politik, tetapi juga berdakwah.
“Usaha dibuat ini adalah urusan dunia dan akhirat, kami hanya berusaha menunjukkan teladan baik melalui Islam. Jadi jangan risau, memberi dan menerima limau itu adalah tanda setiakawan dan hubungan.
“Parlimen Bentong milik siapa? Ia milik rakyat. Tangan andalah akan menentukan parti yang diyakini mampu mewakili dan membawa suara Bentong dalam Parlimen,” ujar beliau penuh jujur.
Jelas beliau yang mesra dipanggil ‘Cikgu’, urusan pembahagian kerusi untuk ditandingi nanti adalah diputus dan dimuktamadkan oleh kepimpinan PAS Pusat di mana pihaknya akan wala’ sepenuhnya.
Malah ujarnya, pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Bentong ditandingi PAS menerusi calon bukan-Melayu iaitu Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS, Balasubramaniam Nachiappan yang kini Senator Dewan Negara.
“Kami jika diarahkan pimpinan bertanding di mana-mana DUN atau Parlimen, kami bersedia. Malah, kami sedia membantu sesiapa sahaja calon dari mana-mana parti yang diputuskan di Parlimen Bentong.
“Cuma urusan pembahagian dan penentuan bertanding kerusi ini bukan ‘level’ (untuk diputuskan) PAS Kawasan, ini ‘level’ pihak atasan (PAS Pusat),” ujarnya cuba memahamkan dan berharap semua pihak bertenang.
Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa turut senada Khairuddin apabila menegaskan penjelasan bahawa kerusi pilihan raya bukan dicatur menerusi laman sosial, sebaliknya oleh syura pimpinan.
“Apatah lagi politik PAS bukan politik sempit, tetapi luas mencakupi tujuan akhirat. Politik yang merentas budaya, bangsa serta warna kulit. Dan kami meletakkan wala’ serta kesetiaan kepada pimpinan kerana mereka tahu yang terbaik.
“Jika kita ada cita-cita dan hasrat, rakan-rakan politik kita juga ada cita-cita dan hasrat. Jika kita ikhlas dan jujur dalam perjuangan membela rakyat dan berkhidmat untuk majukan negeri dan negara, bukan perjuangan peribadi, maka kita harus tenang dan rasional.
“Cukuplah 22 bulan Pakatan Harapan memerintah bila mana DAP sebagai ‘Abang Besar’ telah menimbulkan banyak keresahan dan kesusahan kepada rakyat,” ujar mengingatkan mara bahaya itu.
Akuinya, PAS Bentong mengambil maklum kerisauan disuarakan mengenai status menandingi kerusi tersebut, tetapi mengajak agar menyerahkan kebijaksanaan dan susunan strategi tersebut kepada pakar.
Sebaliknya beliau mengajak semua penyokong untuk teguh bersama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dengan memastikan tidak lagi berpecah hingga memberi ruang PH kembali ke tampuk kuasa.
PRU14 lalu kerusi Parlimen Bentong dipegang BN sejak sekian lama dirampas DAP termasuk juga di Temerloh, Kuantan, Indera Mahkota dan Raub, namun teraju negeri kekal kepada BN. – HARAKAHDAILY 14/2/2021




















