PAS Bentong terima ‘jongkong emas’ dari MCA

- Advertisement -

BUAH limau Mandarin yang dipanggil ‘kam’ dalam bahasa Kantonis bermaksud emas; ibarat satu kewajipan setiap kali Tahun Baru Cina tiba kerana ia melambangkan limpahan kekayaan kepada masyarakat Tionghoa. Warna limau yang keemasan bolehlah diibarat seperti memberi jongkong emas kepada orang lain.

Semalam, bertempat di Kawasan Perindustrian Bentong, PAS Kawasan Bentong telah menerima sumbangan 110 kotak ‘jongkong emas’ yang disumbangkan oleh Dato’ Seri Liow Tiong Lai dari MCA Bahagian Bentong.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah diiringi Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Mustapha Abu Bakar selaku Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan telah hadir menerima sumbangan limau tersebut daripada Tan You Seng iaitu Pegawai Khas kepada Pengerusi MCA Bentong itu.

“Terima kasih kami ucapkan kepada MCA Bentong khusus kepada Dato’ Seri Liow Tiong Lai atas kesudian menghadiahkan limau Mandarin kepada PAS Bentong.

“Bagi pihak PAS Bentong, saya berasa amat terharu. Sumbangan limau sempena Perayaan Tahun Baru Cina ini sangat memberi makna terutama dalam hubungan PAS dan MCA. 

“Ini membuktikan slogan PAS for All sememangnya difahami oleh semua pihak termasuk MCA. Ternyata tohmahan PAS hanya untuk orang Islam dan Melayu sahaja sudah jadi dogmatik politik tanpa kuku,” terang Khairuddin.

Dogmatik dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 bermaksud berkeras mem­per­juangkan pandangan peribadi tanpa meng­hiraukan bukti sedia ada dan mem­per­timbangkan pandangan lain yang mungkin benar 

Mungkin ramai khususnya di kalangan masyarakat Cina sudah sedia maklum, PAS Bentong telah banyak membantu mereka khususnya di Kampung Perting dan Ulu Perting yang terjejas dengan pandemik COVID-19 dalam siri penyerahan sumbangan PAS Bentong ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB 1.0) pada tahun lepas.

Ketika operasi penyerahan bantuan pandemik COVID-19 tersebut, masyarakat Cina menyambut kehadiran rombongan PAS dengan mesra sekali. Malah, ketua kampung mereka turut menjadi pembantu menunjuk arah jalan sepanjang program penyerahan sumbangan berlangsung.

“Hal ini memberi makna masyarakat Cina di Parlimen Bentong memang dah mesra dengan PAS dan tidak kekok berkawan atau berasimilasi bersama,” jelas Khairuddin lagi.

Dalam ucapan ringkas YDP PAS Bentong itu juga, beliau memaklumkan bahawa PAS adalah antara organisasi politik terawal membantu masyarakat Cina ketika banjir kilat melanda Taman Ketari di Bandar Bentong beberapa tahun lalu.

Khairuddin menyimpan harapan agar sumbangan ini akan menjadi pemacu kerjasama kedua-dua parti menjelang pilihan raya ke-15 yang bakal berlaku pada bila-bila masa bermula sekarang. 

“Semoga kerjasama ini akan berterusan bukan sahaja semasa sambutan Tahun Baru Cina sahaja tetapi juga sebagai kelangsungan yang lebih bermakna biarpun mencabar iaitu di dalam kerjasama politik. 

“Saya mewakili PAS Bentong ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan, ‘Selamat Tahun Baru Cina’ kepada masyarakat Cina yang bakal menyambut hari raya mereka pada minggu depan. Semoga Tahun Baru Kambing ini membawa kemakmuran hidup bersama,” ucap Khairuddin usai menerima serahan sumbangan limau Mandarin di sini, tengahari semalam.

Turut hadir sama membantu mengangkut ‘jongkong-jongkong emas’ untuk diagih-agihkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS kawasan dan ahli PAS Bentong adalah Setiausaha JPrD Ketari, Shahir Abdul Rahman. 

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 6/2/2021

- Advertisement -