
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia diminta agar memaparkan jumlah dan senarai sebenar serta kategori tahanan yang akan dihantar pulang melalui perundingan telah dibuat dengan pihak Kerajaan Myanmar.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Imigresen diharap memperincikan jumlah tersebut yang berstatus pelarian dan pemegang kad UNHCR di mana sebahagian besar berada di depoh-depoh tahanan.
“Adakah mereka itu etnik Rohingya, Shan atau Kachin? Berapa daripada jumlah itu adalah warga Myanmar yang sudah tamat tempoh dokumen mereka yang akan dihantar pulang? Berapa jumlah kanak-kanak dan wanita?
“Saya berpandangan bahawa pelarian yang mendapat perlindungan di sini ataupun pemohon suaka adalah tidak harus sama sekali dihantar pulang jika tidak mendapat keizinan daripada individu terbabit secara sah dan tidak boleh memaksa mereka untuk pulang.
“Kerana mereka masih dalam berstatus pelarian yang memohon perlindungan keselamatan di Malaysia. Saya bimbang jika perkara ini tidak ditangani dengan baik ia akan menimbulkan kesan kepada hak-hak kemanusiaan dan keselamatan kepada pelarian-pelarian tersebut.
“Saya juga minta sewajarnya pihak kerajaan menimbang dengan teliti perkara ini dan mengikut undang-undang antarabangsa berkaitan hak-hak pelarian yang diberi perlindungan,” rayu beliau yang juga aktivis kemanusiaan.
Maklumnya, beliau pernah memohon untuk pihak Imigresen meneruskan kembali perundingan dengan UNHCR di Kuala Lumpur dalam menguruskan permohonan ataupun hak-hak pelarian yang berada di depoh-depoh tahanan.
Kata beliau, kedua pihak perlu saling bekerjasama dengan langkah yang jelas untuk bersama bertanggungjawab menguruskan pelarian ini tanpa mengenepikan hak-hak pelarian tersebut dari segi undang-undang dan juga hak kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 14/2/2021




















