Cabar Darurat: PH hina Agong

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan rasa kesal terhadap barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terus bersandiwara politik dengan cuba menanamkan persepsi negatif di kalangan rakyat mengenai Warta Darurat. 

Persepsi kononnya Warta Darurat yang telah disiarkan oleh kerajaan adalah dibuat tidak selari Perlembagaan Persekutuan dengan harapan rakyat akan bangkit menentangnya. Sedangkan segalanya telah diakui oleh pakar-pakar sebagai selaras dengan peruntukan-peruntukan perlembagaan dan duluan-duluan mahkamah.

Mengenai saman yang telah dikemukakan PH terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak berasas kerana Perdana Menteri boleh menjalankan fungsinya menasihati YDPA sepertimana dalam peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Maka nasihat mengenai penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sah. 

- Advertisement -

Walhal, bertarikh 9 Mei 1994 Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang waktu itu adalah Timbalan Perdana Menteri membentangkan satu rang undang-undang di Parlimen bagi memasukkan Fasal (1A) mengenai YDPA perlu mendengar, mengikut dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri ke dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Di sebalik pelbagai kritikan ke atasnya, Fasal (1A) ini kemudiannya diluluskan berkuat kuasa dari 24 Jun 1994.

Dalam pada itu, PAS menghormati hak pembangkang untuk membuat semakan di mahkamah, malah ini menunjukkan bahawa PH yakin dengan kebebasan sistem kehakiman negara. PAS percaya dengan badan kehakiman negara yang bertindak mengikut lunas undang-undang dalam menguruskan perbicaraan saman yang telah diberikan selaras dengan jaminan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak sesekali akan campur tangan dalam urusan mahkamah.

PAS juga berharap semua ahli parlimen samada kerajaan mahupun pembangkang agar bekerjasama dalam memerangi penularan COVID-19 sehingga kita berjaya sepenuhnya. Fahami dan hayati keluhan para barisan hadapan kesihatan yang berkorban masa serta emosi mereka bertugas untuk negara.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
27 Januari 2021 | 14 Jamadil Akhir 1442 – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -