KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman tersebut dibuat melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat.
Dalam kenyataan tersebut, Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN pada hari ini.
“Assalammualaikum kepada semua sahabat, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri bin Mokhtar, telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional pada hari ini, Rabu, 11 Disember 2024. Sekian. Harap maklum,” katanya dalam mesej ringkas kepada Harakahdaily.
Perletakan jawatan ini disifatkan agak mengejutkan memandangkan Dr Ahmad Samsuri dilihat sebagai antara tokoh utama PAS yang merupakan salah satu parti komponen dalam PN.
Selain itu, beliau dikenali sebagai pemimpin berprofil tinggi dalam PAS dan turut memegang jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pengurusan PN berhubung perkara ini. Punca perletakan jawatan ini juga masih belum didedahkan secara rasmi oleh Dr Ahmad Samsuri atau mana-mana pihak berkepentingan dalam PN. Sebarang spekulasi mengenainya masih belum disahkan.
PN dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Harakahdaily akan terus memantau perkembangan terkini berhubung isu ini. – HARAKAHDAILY 11/12/2024