Lombong NR-REE di Perak mula operasi Ogos ini

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hulu Perak dijangka dimulakan seawal Ogos ini dan hasil pertama dijangka dapat dikeluarkan November akan datang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata projek di Mukim Kenering itu dibangunkan melalui kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan kerajaan Perak.

- Advertisement -

Walaupun kelulusan yang diperlukan untuk pelaksanaan projek perintis telah diperolehi, katanya sehingga kini projek itu belum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

“Ini kerana pengusaha lombong tersebut ketika ini masih perlu menjalankan kerja pembangunan infrastruktur di kawasan tapak sebelum aktiviti perlombongan oleh dijalankan,” katanya menjawab soalan lisan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azrina meminta KeTSA menyatakan sejauh manakah usaha kementerian meneroka perlombongan REE dari aspek perundangan, kawal selia dan kemampanan operasi antara agensi penguatkuasaan, pemain industri dan pihak ketiga dalam memastikan kelestarian.

Takiyuddin memberi jaminan bahawa KeTSA sentiasa komited memastikan industri perlombongan NR-REE dilaksanakan berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan kemampanan.

Menurutnya, projek ini akan dilaksanakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Negeri Perak yang merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Pematuhan kepada SOP ini akan dipantau secara berkala sepanjang pelaksanaan projek perintis ini,” katanya.

Beliau berkata, dokumen SOP yang dibangunkan diperhalusi oleh jawatankuasa eksekutif dianggotai individu berpengalaman dan pakar dalam bidang berkaitan perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari serta turut disertai wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat industri.

Katanya, dokumen ini dijadikan sebagai rujukan oleh semua agensi kerajaan dan penggiat industri, terutama di Perak bagi memastikan industri ini mampu memberikan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, katanya KeTSA akan memastikan kawal selia yang rapi dibuat dengan menubuhkan jawatankuasa pemantau serta melantik penilai bebas bagi membuat pemantauan berkala serta membuat penilaian impak terhadap pelaksanaan aktiviti projek perintis.

“Penilaian ini melibatkan faktor utama seperti keselamatan penggunaan kaedah in-situ leaching, penilaian terhadap sumber air bawah tanah dan air permukaan, penilaian kondisi tanah dan tanaman, kos pengeluaran mineral, impak limpahan ekonomi setempat dan kesihatan masyarakat di sekitar kawasan projek,” katanya.

Beliau berkata, beberapa negeri seperti Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu, juga menunjukkan minat untuk melaksanakan aktiviti perlombongan NR-REE. – HARAKAHDAILY 26/7/22

- Advertisement -