
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Sidang Assabiqun Se-Malaysia Kelantan akan menjelajah 14 kawasan Parlimen di negeri itu bagi memberi kefahaman mengenai ilmu perancangan harta menurut perspektif Islam.
Pengerusinya, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, dijangka dalam tempoh tiga bulan semua PAS kawasan di Kelantan diberi pendedahan mengenai kepentingan perancangan harta berpandukan hukum syarak.
“Kita mengambil langkah untuk mengadakan ‘roadshow’ di Kelantan dan seluruh negara bagi memberi kefahaman tentang perkara tersebut.
“Urusan yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini insyaAllah akan dapat dirungkai. Assabiqun bersama membantu kerajaan bagi memberi kefahaman kepada rakyat,” katanya selepas mesyuarat Sidang Assabiqun Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sidang Assabiqun Kelantan Md Ashari Mamat, setiausaha Dr Wan Nik Wan Yussof dan ketua-ketua Assabiqun kawasan.
Abdullah berkata, taklimat dan penerangan mengenai perancangan harta diketuai wakil Lajnah Ekonomi Assbiqun Dato’ Fauzi Haron dan Dato’ Abdul Hadi Awang Kecil.
Selain itu mereka turut dibantu sebuah entiti yang berpengalaman dalam pengurusan harta pusaka iaitu Hans Legasi Resources.
Menurutnya, pada 2016 dianggar terdapat lebih RM70 bilion harta beku kerana tidak dapat dipindah milik disebabkan masalah berkaitan harta pusaka.
“Masih ramai rakyat tidak tahu ke mana hendak pergi untuk selesaikan urusan harta pusaka mereka. Jadi Assabiqun tampil membantu membuka ruang kefahaman kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2022











