
Susunan ZULHAIDI MANSOR
JEDDAH: Arab Saudi kini dalam proses membina penempatan futuristik dan pintar dengan struktur berbentuk linear atau lurus, The Line sepanjang 170 kilometer khusus untuk menempatkan 9 juta penduduk, yang dilengkapi bangunan pencakar langit berkembar terpanjang di dunia, mencecah 120 km dikenali sebagai Mirror Line.
Putera Mahkota Saudi, Putera Mohamed bin Salman ketika mengumumkan mengenai perkara tersebut pada Isnin (25 Julai) berkata bahawa sebahagian besar reka bentuk struktur The Line dibina oleh dua bangunan Mirror Line berkenaan, yang dilengkapi permukaan bercermin kaca, menjulang pada ketinggian mencecah 0.5 km atau 500 meter (1,640 kaki) di atas paras laut – lebih tinggi daripada bangunan Empire State di New York.
Menurut laporan The Wall Street Journal, dua bangunan pencakar langit yang dibina selari antara satu sama lain membentuk Mirror Line itu bakal dihuni kira-kira lima juta daripada keseluruhan 9 juta penduduk The Line.
Reka bentuk Mirror Line membabitkan penglibatan utama syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Morphosis Architects dengan kerjasama sembilan konsultan kejuruteraan dan reka bentuk lain.
Pada ketika ini, sehingga 25 Julai 2022, jumlah populasi Saudi yang direkodkan sudah menghampiri angka 36 juta penduduk, iaitu seramai 35,928,770 orang. Ini bermakna tidak semua rakyat Saudi berpeluang menetap di The Line.

The Line merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang terdapat dalam pembinaan projek mega bandar raya pintar futuristik, Neom yang bakal menelan kos mencecah AS$500 bilion (RM2.2 trilion) – menjadikan kawasan padang pasir sebesar negara Belgium itu zon penempatan manusia masa depan berteknologi tinggi, pintar dan mesra alam, lapor Bloomberg.
Selain The Line, empat lagi pembangunan mega yang bakal dibina membentuk Neom terdiri daripada Neom Bay, Aqaba Region, Neom Mountain dan Neom Industrial City.
Diumumkan pada 2017, Neom merupakan projek mega utama Putera Mohammed yang kini sedang dibina di Wilayah Tabuk, di barat laut Arab Saudi yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Dirancang agar menggabungkan teknologi bandar pintar dan berfungsi sebagai destinasi pelancongan, tapak projek mega berkenaan terletak di utara Laut Merah, timur Mesir merentasi Teluk Aqaba, dan selatan Jordan.
Putera Mohammed menurut laporan TRT World pula berkata, projek The Line yang diumumkan pada 2021, yang terletak di bahagian tengah Neom itu dilengkapi sistem rel berkelajuan tinggi dengan transit hujung ke hujung dalam tempoh hanya 20 minit.
“Reka bentuk The Line sejauh 170 kilometer adalah bagi merangkumi bagaimana masyarakat bandar akan berada pada masa hadapan dalam persekitaran yang bebas daripada jalan raya, kenderaan dan pelepasan karbon (dari asap kenderaan),” jelas beliau.

Sehubungan itu, Bloomberg melaporkan bahawa Saudi akan menyuntik sebanyak 300 bilion riyal (RM357 bilion) untuk dana pelaburan bagi pembangunan infrastruktur The Line memetik kenyataan Putera Mohammed sebagai berkata bahawa dana berkenaan berpotensi berkembang kepada 400 bilion riyal.
Buat pertama kalinya, Putera Mohammed turut menggariskan butiran tentang cara beliau merancang untuk membiayai Neom yang merupakan salah satu projek pembinaan terbesar dan paling kompleks di dunia.
“Fasa pertama projek itu yang berlangsung sehingga 2030, bakal menelan kos 1.2 trilion riyal (RM1.4 trilion), dengan kira-kira separuh daripadanya dilindungi oleh dana kekayaan kerajaan Saudi, Public Investment Fund,” titah Putera Mohammed.

Kerajaan Saudi juga akan berusaha untuk mengumpul 600 bilion riyal lagi daripada dana kekayaan negara lain di rantau ini, termasuk daripada pelabur swasta di Arab Saudi dan luar negara, dan tawaran awam permulaan Neom sendiri di pasaran saham Saudi.
Majlis pengumuman putera mahkota pada Isnin (25 Julai) berkenaan dihadiri pelabur terkemuka global termasuk pengasas Bridgewater Associates, Ray Dalio; Tim Collins dari Ripplewood; Putera Saudi Alwaleed bin Talal; dan jutawan peruncitan Kuwait, Mohammed Alshaya.
Kerajaan Saudi juga merancang untuk melabur di negara jirannya, Mesir bagi melengkapkan projek mega Neom berkenaan, termasuk di kawasan pelancongan Sharm el-Sheikh, yang terletak di seberang Laut Merah dari Neom. – HARAKAHDAILY 26/7/2022




















