Sekuriti makanan negara ke-39 terbaik di dunia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tahap sekuriti makanan negara masih berada pada tahap yang baik, iaitu pada kedudukan ke-39 dalam kalangan 113 negara yang dinilai oleh Laporan Global Food Security Index (GFSI) 2021.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata melalui penilaian The Economist Intelligence Unit (EIU), negara mencatat skor 70.1, iaitu pertambahan sebanyak 5.1 berbanding tahun 2020 yang juga menunjukkan peningkatan skor tahunan tertinggi.

- Advertisement -

Pada masa sama, katanya berdasarkan analisis bekalan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tempoh antara Januari hingga Jun lalu, bekalan makanan dalam negara adalah stabil dan kekal mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

“Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat gangguan dalam bekalan ayam pada pertengahan Mei lalu,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Sri Hasan Arifin (BN-Rompin) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasan meminta MAFI menyatakan pada tahap manakah sekuriti makanan di Malaysia pada masa ini dan sejauh manakah keberkesanan usaha kementerian menstabilkan harga bekalan makanan di pasaran yang semakin meningkat.

Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, MAFI melaksanakan pelbagai intervensi untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara yang turut menyumbang kepada kestabilan harga makanan.

Katanya, antara tindakan berkenaan ialah menyekat eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun lalu, melibatkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dan mewujudkan simpanan stok melibatkan 4,536 tan metrik untuk menstabilkan bekalan ayam oleh Lembaga Pertubuhan Peladang.

“MAFI juga mewujudkan simpanan stok ikan melibatkan 1,000 tan metrik oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan mempermudahkan proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan.

“Turut dimudahkan ialah cara Prosedur Import (IP) soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, MAFI juga mempercepatkan proses keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar DVS melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai lalu dengan proses kelulusan dalam tempoh tujuh hari bekerja, berbanding antara 30 hingga 90 hari sebelum ini.

Selain itu, katanya MAFI melaksanakan moratorium penguatkuasaan bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam supaya produktiviti di tahap optimum dan memberi bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada isi rumah kategori B40 dan RM50 kepada golongan bujang.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada kesinambungan bekalan makanan, malah secara tidak langsung menangani kenaikan harga makanan. – HARAKAHDAILY 26/7/22

- Advertisement -